Kita pandai cakap saja, nak buat jauh sekali

Kita pandai cakap saja, nak buat jauh sekali

RAMAI hanya pandai berkata-kata, namun tidak banyak bertindak, baik dari dalam mahupun dari luar untuk menyubur semula sebuah parti yang sudah berusia lebih tujuh dekad. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPOHON bunga di dalam pasu terletak di pinggir anjung. Kelihatannya terbiar tanpa dipedulikan sesiapa. Kalau pun ada yang cuba memberi sekilas perhatian, mereka sekadar melemparkan kata-kata sebagai menegur, menyaran, berjanji dan tidak kurang cuba mencari-cari punca kesilapan sesiapa atau mana-mana pihak sehingga membuatkan pokok bunga itu semakin kering dan layu.

Ramai yang berlalu melewati pokok bunga di dalam pasu itu antaranya berkata, “Kenapa pokok itu dibiar begitu? Sepatutnya disiram dan ditabur sedikit baja.” Seorang lagi datang lalu berkata, “Sepatutnya ada pihak yang mengambil tanggungjawab menyelenggara pokok di dalam pasu itu.”

Berlalu pula seorang insan lain lalu menuturkan, “Cantik bunga itu kalau dijaga dengan elok alangkah baiknya.” Dan, seorang lagi yang melewatinya berkata, “Wah, nanti bila ada masa terluang pokok bunga ini akan saya bantu untuk dipulihkan supaya kembali segar.”

Entah berapa ramai lagi insan yang datang dengan hanya melihat, menutur dan berlalu pergi begitu sahaja. Nyatanya, mereka hanya mampu melempar kata-kata tanpa bertindak sewajarnya.

Demikianlah kenyataan dan kecenderungan yang ada dalam kehidupan masyarakat hari ini. Ramai yang tahu mengkritik, menegur dan mengata, tetapi tidak banyak inisiatif diambil untuk memperbetul keadaan.

Dalam kiasan di atas, apa salah misalnya, kalau mereka yang melewati pokok bunga di dalam pasu itu mengambil secedok air lalu menyiramnya? Atau menabur sebarang unsur baja untuk memastikan pokok itu kembali segar? Barangkali, inilah yang disebut sebagai ‘hipokrasi’, iaitu hanya bercakap tetapi keberatan atau tidak sanggup buat.

Dalam ehwal politik negara, ketaranya ramai yang memilih untuk mengecam dan mencari keburukan pihak lawan tanpa cuba mencari jalan penyelesaian terbaik dan berkesan. Lalu, ramai menganggap masalah yang berlegar sekarang bukan untuk melihat apa punca masalah untuk dilerai, dirumuskan dengan tepat tetapi lebih kepada pertelagahan peribadi dan puak.

Mereka mengesampingkan pokok permasalahan. Masing-masing dikatakan mempunyai agenda kepentingan tersendiri dan bukan pun berpaut pada perjuangan sebenar.

Apatah lagi, ada pula kecenderungan mahu meraih kemenangan dengan bersandarkan kelemahan dan kepincangan pihak lawan tanpa cuba mempamer atau membuktikan keupayaan sebenar yang dimiliki. Keadaan ini dapat diukur oleh rakyat apabila puak mereka yang terbabit diberi mandat memerintah negeri atau negara. Suasana seolah-olah meletakkan rakyat rasa terpedaya atau tertipu.

Kalau benar jujur memperjuangkan kepentingan bangsa, agama dan tanah air, tentu semua pihak bersedia mereda sentimen, mengetepi soal peribadi dan puak, sebaliknya berlapang dada merumuskan cara terbaik bagi mengukuhkan kuasa politik bagi memerintah negeri dan negara agar survival dan kedaulatan agama dan bangsa terjamin kukuh. Jangan hanya pandai mencemuh atau sengaja mencipta keburukan tetapi lihatlah sudut kebaikan dan cantumkan perpaduan menjadi suatu kekuatan.

PARTI POLITIK

Ada sebuah parti politik yang banyak berjasa kepada negara dan masih disayangi khususnya oleh orang Melayu, juga dikatakan sedang mengalami nasib yang sama dengan kisah sepohon bunga di dalam sebuah pasu seperti di atas. Ramai hanya pandai berkata-kata, namun tidak banyak bertindak, baik dari dalam mahupun dari luar parti untuk menyubur semula parti yang sudah berusia melebihi tujuh dekad itu.

Malah, banyak lagi sektor yang sering dilihat wujudnya sikap hipokrasi dalam kehidupan harian. Ada ibu bapa menyalahkan guru kerana gagal mendidik anak-anak mereka dengan akhlak yang baik. Padahal mereka tidak melihat kegagalan sendiri dalam mentadbir urus institusi keluarga.

Penceramah atau pendakwah agama menyalahkan masyarakat kerana kurang memberi sambutan terhadap kuliah-kuliah agama, padahal cara penyampaian mereka kurang menarik dan banyak berunsur mengugut, bukan menghidup minat orang ramai terhadap peluang yang sentiasa terbuka dalam mencari reda dan rahmat Allah SWT.

Seorang ketua jabatan atau agensi asyik memarahi atau menyalahkan petugas bawahan kerana gagal menghasilkan mutu kerja yang berkesan atau tidak mencapai matlamat. Sedangkan beliau sendiri tidak mahir dalam mengatur gerak kerja dengan jelas, tersusun dan berstruktur.

Ada juga sudut di mana rakyat sering menyalahkan kerajaan atau pemerintah sedangkan mereka sendiri tidak banyak mengambil perhatian serius untuk mema­jukan kehidupan sendiri seperti dalam aspek mendapatkan pendidikan tinggi, meneroka bidang keusahawanan, sedangkan banyak infrastruktur di sekeliling mereka yang sedia membantu.

Konflik Israel-Palestin jelas mempamerkan sikap hipokrasi masyarakat dunia terutama dalam kalangan kuasa-kuasa besar khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Perkara ini kerap disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Banyak pihak saban hari hanya pandai bersuara, menyeru, menggesa, mengecam, mengutuk, menyelar, mengharap, mencadangkan sedangkan masyarakat Islam Palestin di Gaza terus terbiar, diserang bertubi-tubi tanpa mendapat sebarang pembelaan.

Menghampiri tiga bulan, tidak banyak malah tiada pun kedengaran kritikan dalam kalangan mereka yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia di Malaysia yang bangkit mengecam tindakan ganas rejim Israel ke atas Gaza!

Tidak tahulah apa bentuk ketamadunan dunia yang ada ketika ini sehingga sanggup membiarkan makhluk bernyawa bernama manusia termasuk kanak-kanak, wanita dan golongan tua di Palestin diperlakukan begitu ganas, kejam oleh Zionis Israel. Mereka seolah-olah dinafikan hak untuk hidup dengan serangan tanpa henti, dimusnahkan hak mendapat rawatan, dihalang mendapatkan bekalan makanan dan perubatan serta bermacam ancaman kezaliman lagi.

Sebaik pegangan dalam kehidupan adalah bersikap jujur pada diri sendiri, mengenal segala kebaikan, menolak segala keburukan manakala hipokrasi hanya menghasilkan kekosongan. – UTUSAN

DATUK Sayuti Mukhtar ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×