KELAPA sawit telah bertapak lebih 100 tahun di negara ini dan menjadi penyumbang kelima terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan paling utama dari sektor pertanian. Pada 2020, eksport industri ini bernilai RM73.25 bilion dan meningkat kepada RM102.95 bilion (2021) dan RM137.89 bilion (2022). Januari hingga Oktober tahun ini, eksport minyak sawit sahaja bernilai RM51.4 bilion.
Eksport minyak sawit dan produk-produk berasaskan minyak sawit telah membantu negara dalam berhadapan krisis ekonomi akibat pandemik Covid-19.
Harga yang lebih murah dan jaminan bekalan berterusan menjadikan minyak sawit keluaran Malaysia mendapat permintaan tinggi dari seluruh dunia.
Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) diperkenalkan sejak 2013 dengan tiga prinsip utama, iaitu keseimbangan di antara keperluan manusia, kelestarian alam sekitar dan penjanaan keuntungan. Pensijilan MSPO diperlukan untuk memastikan produk berasaskan sawit Malaysia yang dihasilkan adalah mampan dan diterima di pasaran global.
Menerusi MSPO yang dipertingkatkan atau MS2530:2022, keperluan alam sekitar telah diperkukuh dengan memasukkan konsep Nilai Pemuliharaan Tinggi (HCV), iaitu keperluan perlu dipatuhi oleh pekebun kecil yang mana mereka dikehendaki mengurus kawasan HCV dalam kebun sawit.
Pekebun kecil perlu menjalankan penilaian untuk mengenal pasti kawasan HCV, melaksanakan langkah untuk melindungi dan memulihara kawasan ini, dan menyepadukan pengurusan HCV ke dalam perancangan dan operasi guna tanah mereka. Pematuhan kepada keperluan HCV adalah penting bagi pekebun kecil untuk mencapai pensijilan MSPO dan memastikan amalan mampan dalam industri minyak sawit.
Melihat kepada kepentingan pengurusan biodiversiti dan HCV dalam pensijilan MSPO, Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) telah mengambil inisiatif menaja program latihan biodiversiti dan HCV kepada pekebun-pekebun kecil sawit. Program latihan ini dibiayai sepenuhnya MPOGCF dengan kerjasama Sime Darby Plantation (SDP) dan Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) dengan peruntukan RM200,000 untuk 2022 hingga 2024.
Ia merupakan sumbangan MPOGCF kepada pekebun-pekebun kecil dalam meningkatkan kesedaran mengenai biodiversiti dan HCV di kebun kelapa sawit yang menjadi salah satu komponen penting dalam pematuhan bagi memohon dan mengekalkan pensijilan MSPO. Latihan-latihan diadakan di Kelantan, Johor, Perak dan Negeri Sembilan sepanjang 2022 dengan jumlah peserta kira-kira 200 orang.
ULAT BUNGKUS
Pakar-pakar biodiversiti dari SDP diberi tanggungjawab mengajar pekebun kecil keperluan melindungi, memelihara dan memulihara biodiversiti dan kawasan-kawasan HCV dalam kebun kelapa sawit seperti yang ditetapkan MSPO; pengurusan bersepadu makhluk perosak iaitu ulat bungkus, ulat api, kumbang badak, tikus dan babi hutan serta kawalan biologi bagi mengurangkan penggunaan bahan kimia dan racun serangga.
Contoh kawalan biologi atau kaedah hijau seperti membiak spesies serangga seperti sycanus dichotomus yang merupakan pemangsa kepada ulat bungkus dan ulat api, penggunaan kulat metarhizium bagi membunuh larva kumbang badak, dan burung pungguk jelapang (tyto alba) bagi mengawal populasi tikus di ladang.
Pada 2023, program latihan ini diteruskan dengan penilaian biodiversiti dan HCV bagi menilai dan mendokumenkan kepelbagaian biodiversiti di dalam dan sekitar kebun sawit pekebun kecil. Tujuan utama penilaian ini adalah untuk menilai tahap kesedaran pekebun-pekebun kecil berkenaan pengurusan biodiversiti di kebun sawit mereka, mengenal pasti ancaman terhadap kawasan HCV pada aras landskap dan potensi kepentingan ekologi dalam landskap.
Kehadiran pelbagai spesies flora dan fauna di kebun sawit pekebun kecil menyumbang kepada kepelbagaian biologi dan nilai ekologi di kebun mereka. Tumbuhan seperti senduduk (melastoma malabathricum), peria (momordica charantia), dan daun sirih (piper betel) menjadi sumber makanan dan tempat perlindungan bagi serangga, burung dan mamalia. Tumbuhan seperti ara songsang (asystasia gangetic) dan paku uban (nephrolepis biserrata) dapat menarik spesies burung seperti lang kuik (spilornis cheela), pekaka belukar (halcyon smyrnensis), dan tiung batu (eurystomus orientalis).
Pelbagai spesies burung termasuk pekaka belukar, itik belibis (dendrocygna javanica) dan pipit eurasia (passer montanus) penting dalam mengekalkan keseimbangan ekologi, menyokong pendebungaan dan mekanisme penyebaran benih.
Kehadiran flagship spesies iaitu lotong cenekah (presbytis femoralis) sebagai penunjuk tahap kesihatan keseluruhan ekosistem.
Biodiversiti yang berbeza di kebun sawit dipengaruhi oleh faktor seperti saiz kebun, amalan guna tanah, kepelbagaian habitat, landskap sekitar dan aktiviti manusia. Menerusi pengurusan biodiversiti dan HCV secara berkesan, pekebun kecil ini dapat menyumbang kepada pemeliharaan ekosistem, menyokong kewujudan bersama manusia-hidupan liar dan lebih bersedia berhadapan satu lagi peraturan oleh Barat, iaitu Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR). – UTUSAN
Penulis ialah Eksekutif Konservasi Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF).










