Lelaki maut dihempap dahan pokok durian ketika bergotong-royong

Lelaki maut dihempap dahan pokok durian ketika bergotong-royong

OTHMAN Kasim (kanan) bersandar pada sebatang pokok sebelum kejadian malang menimpanya di Kampung Lubuk Besar Hujung Bandar, Sik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Seorang lelaki maut dipercayai ditimpa dahan pokok durian yang patah ketika menebang pokok lain bersama beberapa penduduk di Kampung Lubuk Besar Hujung Bandar, di sini semalam.

Mangsa, Othman Kasim, 47, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, mangsa rebah dan tidak sedarkan diri sebelum penduduk menghubungi ambulans untuk bantuan.

“Kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang ketika mangsa bersama beberapa penduduk sedang menarik sebatang pokok yang telah ditebang, malangnya dahan sebatang pokok patah lalu menimpa kepalanya.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Sik untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abdull Razak berkata, tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Ketua Kampung, Mohd. Faizal Aziz, 42, berkata, ketika kejadian Othman bersama 10 penduduk bergotong-royong menebang tiga pokok di dalam kawasan kampung itu.

“Kami telah selesai menebang dua pokok mempelam pada awalnya, tinggal sepokok lagi iaitu pokok terap yang hendak ditebang.

“Sedang kami menarik pokok itu, ia menarik sekali pokok durian yang berada di tepinya dan kami tidak menyangka ia akan turut tumbang,” katanya.

Menurutnya, apabila ternampak pokok durian tumbang menghala ke arah penduduk kampung yang sedang menarik tali pokok yang ditebang itu, mereka segera lari menyelamatkan diri.

Namun malangnya, ketika cuba melarikan diri, mangsa terjatuh dan tidak sempat bangun menyebabkan dahan pokok durian menghempapnya.

“Sebelum itu pada sebelah pagi, kami juga bergotong-royong menebang pokok di kawasan surau, mangsa ketika itu banyak berdiam diri dan tidak riuh bercakap, tidak ceria seperti biasa apabila berjumpa.

“Petang semalam pun, mangsa hanya duduk menyendiri berhampiran pokok terap itu dan hanya melihat kawan-kawan lain mengikat pokok yang hendak ditebang,” katanya.

Sementara itu, jenazah Othman akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Hujung Bandar, petang ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×