Buktikan kekecewaan ANAK tidak benar

Buktikan kekecewaan ANAK tidak benar

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan keyakinan beliau ke atas kemampuan Ahmad Shabery Cheek (kiri) untuk menerajui Felda.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGUMUMAN pelantikan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pada 1 Julai lalu disambut dingin oleh Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK). Penasihat ANAK, Datuk Mazlan Aliman menyatakan kekecewaan kerana ‘orang luar’ masih dikekalkan untuk menjaga kepentingan warga Felda berbanding cerdik pandai dan aktivis Generasi Baharu Felda yang dilihat lebih mampu mengelakkan insiden aset Felda dijarah.

Dalam ucapan pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Felda di Gua Musang, 23 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun secara terbuka menyatakan keyakinan beliau ke atas kemampuan Ahmad Shabery untuk menerajui Felda.

Tegas Anwar, beliau percaya pelantikan Ahmad Shabery untuk menerajui Felda adalah keputusan terbaik berdasarkan pengalaman serta rekod kerja, sekali gus membantu kerajaan menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi Felda.

“Jika pengurusan Felda dilakukan dengan baik dan peneroka juga memberi kerjasama baik, kita percaya peluang untuk menyelesaikan masalah pemilikan tanah berkait waris peneroka Felda membabitkan generasi kedua dan ke atas adalah sangat cerah,” kata Anwar.

Pertemuan saya dan beberapa kawan dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan Ahmad Shabery pagi Jumaat lalu menunjukkan keyakinan Anwar ke atas keupayaan beliau untuk mengemudi Felda tidak tersilap. Dalam pertemuan ini, pengalaman serta rekod kerja beliau sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Menteri Belia dan Sukan serta Setiausaha Parlimen Kementerian Luar Negeri terbukti berguna dalam membantu Felda.

Ahmad Shabery ternyata mempunyai visi yang jelas untuk memartabatkan kembali kedudukan gah Felda dan warganya dengan beberapa perancangan bersifat jangka pendek dan jangka panjang membabitkan pengurusan organisasi dan masa depan Felda.

Tentu ramai masih ingat, sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Ahmad Shabery berjaya menganjurkan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) terbesar dari 1 hingga 11 Disember 2016. MAHA adalah acara dwitahunan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS). Sebelum Ahmad Shabery dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada 29 Julai 2015, MAHA 2014 memperoleh RM152 juta jualan dan perjanjian jualan.

Bagaimanapun, MAHA 2016 mencipta sejarah tersendiri dengan mencatat hampir empat juta pengunjung dan memperoleh lebih RM350 juta jualan dan perjanjian jualan selain mencipta satu trend baharu yang mengikis imej pertanian dengan generasi tua. Dalam MAHA 2016, 40 peratus pembabitan orang muda dalam pameran sama ada sebagai peserta kem atau usahawan tani serta kemasukan program agrotainment untuk memikat golongan sasar baharu pengunjung sekali gus mengubah landskap pertanian.

Pengalaman menguruskan MAHA 2016 digunakan Ahmad Shabery untuk melakukan perkara sama kepada sambutan Hari Peneroka setiap 7 Julai bermula 2024 di mana sambutan ini akan dipanjangkan selama tiga hari berbanding sehari sebelum ini.

1,000 RUMAH

Untuk Sambutan Hari Peneroka Felda 2023 di MAEPS pada 7 Julai lalu, tidak banyak mampu dilakukan Ahmad Shabery untuk mengubah keadaan kerana beliau hanya dilantik memegang jawatan Pengerusi Felda tidak sampai seminggu sebelumnya. Sambutan Hari Peneroka Felda 2023 ini tetap berlangsung meriah dengan kehadiran Anwar, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Di dalamnya, Anwar mengumumkan lapan program dan rancangan penambahbaikan untuk meningkatkan kualiti hidup warga peneroka dari pelbagai aspek seperti kesihatan, transformasi digital, pembekalan air bersih, subsidi diesel dan perumahan generasi baharu.

Bagaimanapun, untuk Sambutan Hari Peneroka Felda 2024, Ahmad Shabery awal-awal lagi membuat persiapan ke atasnya, termasuk dari segi mengumpul dana dengan menganjurkan beberapa kejohanan sukan bagi tidak mengganggu dana Felda. Sambutan tersebut menyasarkan 500,000 pengunjung dengan peneroka Felda dari setiap kawasan Felda memperagakan produk istimewa mereka termasuk makanan tetapi fokusnya juga untuk menarik anak-anak peneroka yang bermastautin di luar kawasan Felda.

Ia akan memuatkan pelbagai pengisian baharu yang menarik bagi membolehkan golongan peneroka membina jaringan dengan komuniti perniagaan luar serta kem disediakan bagi memberikan latihan dan pendidikan jangka pendek kepada anak-anak peneroka.

Usaha untuk memberikan wajah baharu kepada Sambutan Hari Peneroka Felda ini diharapkan akan menimbulkan kebanggaan warga Felda dengan identiti mereka, membolehkan mereka mendapat pulangan ekonomi serta menjadikannya acara tahunan yang dinanti-nanti.

Banyak lagi perancangan lain yang ada dalam fikiran Ahmad Shabery untuk warga Felda. Antaranya untuk mewujudkan skim perumahan baharu berskala besar dengan 1,000 rumah di tanah milik Felda dengan kos lebih murah bagi mewujudkan pusat aktiviti baharu. Ini berbanding amalan sekarang yang hanya mewujudkan sekitar 100 rumah di sesuatu kawasan yang tidak mampu menjana aktiviti ekonomi berskala besar di persekitaran selain tidak mampu sepenuhnya untuk mengatasi masalah perumahan.

Termasuk dalam perancangan juga ialah untuk lebih memberdayakan pertubuhan berkaitan Felda seperti Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) dan Permuafakatan Siswa/Siswi Felda (PERSADA) yang wujud di universiti awam.

Pendekatan Ahmad Shabery yang pernah menjadi pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya, iaitu untuk merawat masalah di Felda kita memerlukan diagnostik yang betul, mungkin akan membuktikan kekecewaan ANAK ke atas beliau adalah salah. – UTUSAN

PENULIS ialah Pegawai Tadbir di Pusat Pembangunan & Perkhidmatan Pelajar, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×