Pembeli Perodua, Toyota terpaksa tunggu lama?

Skandal Daihatsu: Pembeli Perodua, Toyota terpaksa tunggu lama?

SETAKAT ini masih belum ada arahan lanjut tentang penangguhan serahan atau penarikan balik kereta Perodua di pasaran. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skandal Daihatsu Motor Co. Ltd. dijangka me­­­­n­ye­­babkan pembeli kereta je­­nama Perodua dan Toyota ter­paksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan kenderaan yang ditempah.

Dua jenama itu adalah antara lima jenama kenderaan yang akibat skandal itu dengan tiga lagi adalah Daihatsu, Mazda dan Subaru.

Ekoran itu pengedar perlu menunggu pengesahan terlebih dahulu sebelum boleh membenarkan kenderaan mereka berada di jalan raya.

TANGGUH

Ia susulan subsidiari Toyota Motor Corporation itu telah menangguh sementara penghantaran semua model yang sedang dalam pengeluaran di Jepun dan di luar negara berikutan penemuan isu keselamatan.

Siasatan jawatankuasa bebas pihak ketiga berhubung isu prosedur mendapati masalah pada 174 item dalam 25 kategori ujian, di samping ketidaktera­turan lapisan pintu pada April terma­suk semasa ujian pelanggaran sisi pada Mei lepas.

Bagaimanapun, semakan Utusan Malaysia dengan beberapa ejen jualan Perodua mendapati, tiada arahan tangguh serahan kereta dikeluarkan setakat ini dan semua urusan serahan dan tempahan berjalan seperti biasa.

Sementara itu, persatuan pengguna menggesa Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) dan UMW To­yota Motor (UMWT) memang­gil balik kenderaannya susulan ‘ketidakaturan prosedur’ semasa menjalankan ujian kese­lamatan itu.

NYAWA

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr. T. Saravanan berkata, tindakan itu perlu diambil ke­rana ia melibatkan keselamatan nyawa pengguna.

Bagaimanapun, katanya, inisiatif itu hanya dilakukan atas dasar sukarela oleh pengeluar kenderaan kerana Malaysia tidak mempunyai recall law atau undang-undang memang­gil semula kereta bermasalah yang turut dikenali sebagai lemon law.

“Kalau boleh, panggil balik kenderaan untuk semak jika ada apa-apa masalah. Ia perlu dilakukan oleh panel bebas dan bukannya pusat servis kelolaan jenama itu.

“Sebab kalau hantar pusat servis mereka, dikhuatiri akhirnya cakap tiada isu. Jadi apabila ada panel bebas, maka boleh pantau, audit dan sahkan sama ada bermasalah atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut, Dr. Saravanan berkata, sudah tiba masanya Malaysia mempunyai lemon law mandatori bagi menjaga kepentingan awam.

Katanya, tanpa undang-undang itu, negara ketika ini tidak boleh memaksa apa-apa jenama untuk panggil balik produk mereka yang bermasalah dan hanya mengharap ihsan mereka semata-mata.

“Kita sudah desak pelaksanaan lemon law sejak 2010, tetapi sehingga sekarang masih tiada komitmen ditunjukkan.

“Sekarang ini kita sudah ada kes untuk keselamatan, maka lemon law perlu diteliti dan ia bukan sahaja meliputi kereta, tetapi barangan elektronik.

“Kerajaan kena pertimbang. Orang bayar berpuluh ribu ringgit untuk beli kereta dan apabila ada skandal keselamatan, masanya kuat kuasa lemon law untuk pastikan pengguna dibela, kita tidak boleh harap syarikat mematuhi piawaian ditetapkan,” katanya.

UJIAN

Dalam pada itu, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKP KL), Samsudi Mohd Fauzi berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu memperkasakan ujian Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA).

Katanya, Institut Keselamatan Jalan Raya (Miros) juga perlu memperkasakan ujian impak kemalangan empat arah iaitu depan, belakang, kiri serta kanan dengan minimum kelajuan 80 kilome­ter sejam.

“VTA perlu merangkumi semua ujian lain dan bukan sekadar memandu di jalan raya dan lulus,” katanya.

Tambah beliau, waranti yang diberi syarikat perlu didaftarkan di bawah kementerian yang berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebagai satu bentuk perlindungan pengguna.

“Pengguna sering hadapi masalah untuk buat tuntutan atas alasan ada item yang tidak termasuk dalam waranti dan macam-macam lagi,’’ katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×