MUKADIMAH
ISU berkaitan rakyat tanpa warganegara sebenarnya wujud di hampir setiap negeri di negara ini dan banyak memorandum diserahkan oleh pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk meminta satu keputusan jelas bagi menangani isu yang mendapat perhatian masyarakat dunia. Malah ia pernah tular di media sosial apabila media luar negara memainkan isu ini di Sabah sekali gus memberi tamparan hebat buat Malaysia.
Mengikut statistik sejak 2013 sehingga 21 Februari tahun ini, KDN menerima 132,272 permohonan kewarganegaraan dengan antara kes melibatkan anak-anak kepada pasangan yang tidak mendaftarkan perkahwinan.
Timbalan Dekan (Penyelidikan) Asia School of Business, PROFESOR MADYA DR. MELATI NUNGSARI dalam kajian hak asasi dan rakyat tanpa warganegara di Semenanjung yang dikomisyen oleh Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) pada 2021 dan diterbitkan pada awal tahun ini, antara lain mahu rakyat keseluruhannya memahami isu ini secara total dan mendesak pihak berkuasa supaya melakukan perubahan. Kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, beliau mengulas lanjut mengenai isu ini.
UTUSAN: Boleh ceritakan tentang kajian hak asasi dan rakyat tanpa warganegara di Semenanjung?
MELATI NUNGSARI: Laporan ini adalah percuma untuk dibaca orang awam dan boleh didapati di laman web Suhakam. Ini adalah laporan pertama menggunakan data terperinci untuk memberikan gambaran menyeluruh berkenaan isu rakyat tanpa warganegara di Semenanjung. Dalam kajian ini, kami telah menyemak dan meneliti sebanyak 220 artikel media, laporan NGO, dokumen sah dan penerangan daripada kerajaan di samping menemu bual 89 individu dari Semenanjung untuk memahami isu ini secara mendalam.
Apa impak isu ini kepada individu terlibat dan rakyat?
Beberapa contoh termasuk isu kesihatan mental dan fizikal akibat tekanan; ketiadaan akses kepada perkhidmatan awam seperti hospital dan sekolah kerajaan; masalah berkenaan pergerakan (tidak boleh memandu kereta, tiada passport dan terdedah kepada masalah dengan pihak berkuasa akibat tiada dokumen); tidak boleh diupah sebagai pekerja; rasa malu dan bersalah akibat stigma sosial serta trauma psikologi yang mendalam.
Setiap individu di sini adalah sebahagian daripada masyarakat Malaysia. Adakah kita patut bersyukur dengan keadaan ketidaksamarataan masyarakat? Ahli akademik telah lama faham bahawa masyarakat yang tidak sama rata memang akan menunjukkan prestasi ekonomi yang lebih teruk dalam jangka masa panjang.
Jikalau kita tidak menyelesaikan masalah ini, ia akan melarat dan membabitkan ramai generasi.
Adakah sijil kelahiran cukup untuk menjamin anda akan menjadi warganegara Malaysia? Apa yang menjadikan anda tanpa kerakyatan?
Pendek kata, seorang warganegara Malaysia adalah seorang yang mempunyai IC (kad pengenalan) berwarna biru. Sijil kelahiran tidak cukup untuk menjamin seseorang warganegara. Di atas setiap sijil kelahiran ada maklumat kewarganegaraan yang boleh jadi rakyat Malaysia atau tidak.
Ramai ingat sijil kelahiran cukup untuk membuktikan seseorang itu rakyat Malaysia, tapi memandangkan kewarganegaraan tidak diberikan hanya berdasarkan kelahiran di Malaysia sahaja, ini tidak benar. Sebagai contoh, seorang bayi yang lahir di Malaysia dan ditinggalkan di baby hatch yang mana kita tidak boleh mengesan asal usul ibu bapa bayi itu, ada kemungkinannya bayi itu menjadi individu tanpa kerakyatan.
Berapa jumlah individu yang tidak mempunyai kerakyatan di Malaysia?
Disebabkan isu kerakyatan ini tidak diiktiraf di Malaysia, tiada data yang wujud untuk menganggar berapa ramai sebenarnya individu tanpa kerakyatan. Bagaimanapun, kita tahu ramai menderita akibat masalah ini, mungkin dalam angka ribuan di Semenanjung dan mungkin lebih ramai lagi di Sabah dan Sarawak?
Mengapa banyak permohonan untuk menjadi warganegara ditolak?
Ada dua isu utama dalam masalah ini. Pertama, disebabkan beban kerja untuk permohonan kerakyatan yang sangat tinggi. Beberapa lapis permohonan dan borang perlu diisi. Terdapat senarai semak yang sangat panjang dalam proses ini dan jikalau tidak lengkap satu pun borang atau proses, individu ini akan menghadapi masalah.
Kedua, berkenaan pelaksanaan dasar yang tidak sekata. Kebanyakan permohonan akan melalui kaunter di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di mana pemohon akan menghadap budi bicara pegawai di kaunter sama ada permohonan mereka akan difailkan, diterima atau tidak.
Apa boleh dilakukan orang awam untuk membantu golongan ini?
Kita telah melihat bila orang ramai membuat bising dan peka tentang sesuatu isu, maka ahli politik dan dasar akan lagi terdesak untuk menangani rungutan itu. Bak kata aktivis dan pelukis, Fahmi Reza, rakyat adalah bos. Oleh sebab itu, saya alu-alukan orang ramai membaca laporan penuh kami untuk memahami kemelaratan masalah ini yang kita perlu mendesak pihak berkuasa supaya lakukan perubahan. Kita boleh menyalurkan perasaan tidak puas hati kepada wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau ahli Parlimen untuk bertindak. Kita boleh menjadikan dunia dan masyarakat kita lebih baik.
Antara kes adalah anak-anak kepada pasangan yang tidak mendaftarkan perkahwinan. Adilkah bagi kanak-kanak tersebut dinafikan hak sedangkan Malaysia meratifikasi Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak pada 17 Februari 1995?
Seharusnya bertanya kepada diri sendiri, apakah tanggungjawab kita kepada orang yang tinggal dalam sempadan kita? Umumnya, orang berfikir tentang perkara ini dari tiga pandangan iaitu tanggungjawab ekonomi, moral atau etika dan undang-undang.
Pada saya, terdapat beberapa perkara untuk menyokong ketiga-tiga tanggungjawab itu tetapi yang paling penting, terdapat tanggungjawab manusia kepada manusia untuk melindungi kanak-kanak yang tinggal di Malaysia daripada akibat buruk yang tidak pernah mereka pilih untuk diri mereka sendiri. Jika hati kita boleh hancur untuk kanak-kanak yang mati di Gaza, mengapa kita tidak boleh memberikan ihsan yang sama kepada kanak-kanak yang hidupnya sangat sukar di negara ini kerana dasar awam?
Ada yang kata kalau beri kewarganegaraan akan jejas aspek sosial negara. Tapi kalau diteruskan juga akan memberi kesan kepada sosial dan ekonomi serta dalam masa sama kerajaan masih perlu menanggung kos tambahan untuk golongan yang tidak diiktiraf ini. Adakah ia boleh dianggap kerugian berganda buat kerajaan?
Individu tanpa status atau orang yang tidak berdokumen tidak menerima sebarang bantuan daripada pihak berkuasa awam. Mereka dilayan sama seperti warga asing di Malaysia.
Anak-anak mereka tidak boleh menghadiri sekolah awam, mereka membayar kadar asing di hospital dan mereka tidak mempunyai perlindungan tambahan daripada penguatkuasaan undang-undang.
Selain itu, ramai pendatang asing tanpa izin selalunya dianggap tidak mempunyai kewarganegaraan. Jadi, mereka tidak menikmati perlindungan daripada kedutaan mereka yang mungkin anda dan saya nikmati apabila kita berada di negara asing.
Tambahan pula, bantuan daripada NGO tempatan atau CSO (organisasi masyarakat sivil) diutamakan untuk rakyat Malaysia yang mempunyai dokumentasi, jadi mereka juga tidak menerima banyak sokongan daripada sumber tersebut.
Walaupun tidak menerima bantuan, mereka masih bekerja secara haram dalam ekonomi kita dengan melakukan banyak pekerjaan penting yang kebanyakannya tidak akan dilakukan oleh rakyat Malaysia sendiri. Jadi, bagi mereka ia satu eksploitasi. – UTUSAN










