Jangan biar panas baran ‘makan’ diri

Jangan biar panas baran ‘makan’ diri

TINDAKAN panas baran Mohd. Nazri menyebabkan dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan akibat melanggar maut seorang pelajar tingkatan lima.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEJADIAN tragis menimpa Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, pelajar sekolah yang maut dilanggar dan diseret sejauh lebih lima meter oleh sebuah kereta dipandu pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden (DSP), Mohd. Nazri Abdul Razak, 44, mencetuskan kemarahan orang ramai.

Tetapi sejak berlakunya kejadian ini, orang ramai mula menyuarakan kebimbangan apabila pihak yang sepatutnya menjaga keselamatan pula menjadi punca kepada kematian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu. Integriti pihak berkuasa dipertikai dan dipandang semakin rendah, itu tidak termasuk amalan rasuah dan sebagainya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Pun begitu, kehadirannya di mahkamah pada 18 Disember lalu bagi menghadiri prosiding kes berkenaan diiringi lima anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) lengkap memakai topeng muka dan berpakaian gelap selain waktu ketibaan sebenarnya tidak dapat dipastikan, seolah-olah wujud dwistandard walaupun dinafikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak dengan mengatakan prosedur itu hanya kawalan ketat memandangkan kes tersebut menjadi perhatian ramai.

Masih panas, beberapa hari sebelum kejadian malang ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara selama 16 tahun terhadap bekas pekerja teknologi maklumat (IT), Yew Wei Liang atas kesalahan menyebabkan kematian pengurus bank, Syed Muhammad Danial Syed Syakir di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Bangi, empat tahun lalu. Nampaknya kes-kes amukan di jalan raya masih tidak menjadi pengajaran buat pemandu kenderaan.

Benarlah orang kata, apabila memandu, kita seolah-olah menjadi orang lain lebih-lebih lagi badan dan fikran sudah letih akibat kerja, tekanan berada dalam kesesakan lalu lintas dan mungkin berdepan pelbagai masalah.

Bagi Pegawai Psikologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd. Redzuan Zamberi, kelakuan tertuduh perlu dilihat pada sifat seorang manusia yang gagal mengawal emosinya hanya disebabkan bunyi bising ekzos dan jangan sesekali membabitkan lencana atau uniform yang menjadi kebanggaan negara.

Dari sudut psikologi, Mohd. Redzuan berpendapat, pelaku berdepan anger avoidance, iaitu menyembunyikan kemarahan dan adakalanya tidak sedar bahawa dia sedang marah.

“Saya melihat perasaan marah atau baran itu datang dari keadaan pelaku. Ia seperti ada sesuatu perkara yang boleh mencetuskan emosi melampau. Ia mungkin berkaitan kehidupan masa lampau atau sesuatu yang berlaku dalam hidupnya sehingga dia betul-betul terganggu kerana berdasarkan tindakan pegawai polis itu, dia seolah-olah ada trauma untuk bertindak balas.

“Contohnya kes buli, sama ada dia atau orang terdekat dibuli, seseorang itu akan bertindak di luar kawalan atau kemarahan melampau kerana pernah berdepan situasi tersebut.

“Justeru, sekiranya menyedari sesuatu yang tidak kena pada sikap kita atau orang terdekat, tolong dapatkan rawatan atau berjumpa kaunselor untuk mengetahui tahap tekanan atau anxiety dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambahnya, pendapat itu diperkuatkan lagi apabila pelaku ego untuk berjumpa dan meminta maaf dengan keluarga mangsa sebaliknya isterinya yang berdepan dan meminta maaf bagi pihaknya dan keluarga selain mendedahkan suaminya itu memiliki sikap panas baran sedangkan sebagai pegawai polis, dia boleh bertindak secara rasional.

KAWALAN EMOSI
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, kesukaran atau trauma, bukan alasan untuk seseorang bertindak di luar kawalan seperti mengamuk di jalan raya sehingga menyebabkan kematian. Justeru, Pakar Perunding Psikiatri, Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC), Profesor Madya Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari meminta pemandu untuk sentiasa mengawal emosi kerana di jalan rayalah emosi seseorang mudah remuk.

Katanya, perkara pertama perlu dipraktikkan adalah amalan mindfulness dengan memberi fokus kepada pemanduan. Ia boleh dilakukan dengan mengelak daripada menggunakan gajet, media sosial atau perbualan telefon kerana boleh mengubah fokus dan emosi seseorang khususnya kepada perkara yang negatif atau menambahkan tekanan emosi.

Sebelum memandu, perlu tenangkan perasaan dengan mengambil nafas yang lancar dan terurus. Jangan mulakan pemanduan dengan gelojoh atau tergopoh-gapah. Jika ada perasaan marah atau jiwa terganggu sebelum memandu, elakkan daripada memulakan pemanduan.

“Elakkan berlaku pertelingkahan atau pertengkaran ketika memandu. Penumpang kenderaan tidak harus menganggu emosi pemandu dengan perkara-perkara yang boleh menimbulkan risiko. Jika emosi pemandu terganggu, ia akan mempengaruhi corak pemanduan.

“Selain itu, jangan mudah rasa tercabar dengan sikap pengguna jalan raya yang lain. Hakikatnya, jalan raya digunakan oleh ramai orang yang sangat berlainan karakter dan tingkah laku. Pilihlah untuk bersikap bertoleransi atau bertolak ansur serta bersederhana kerana kita semua berkongsi jalan dengan pengguna lain,” ujarnya.

Muhammad Muhsin menambah, pengguna perlu bijak mengawal emosi dengan tidak bertindak melulu jika emosi terganggu kerana sesuatu tindakan tanpa memikirkan kesan tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah.

“Jika berhadapan dengan emosi mencabar semasa memandu, praktikkan pemikiran yang boleh menenangkan emosi seperti jika ada pelanggaran undang-undang oleh pengguna lain, jangan kita turut sama lakukan perkara sama atau lebih serius. Fikirkan, mungkin mereka memandu laju kerana sebab tertentu, mungkin mereka yang lain langgar undang-undang kerana tidak terdidik dengan baik, mungkin mereka ada urusan penting dan sebagainya,” jelasnya.

Pemandu juga boleh memastikan suasana ketika pemanduan sentiasa kondusif seperti tidak bising, suhu sesuai, tempat duduk kereta yang selesa, mendengar muzik menenangkan ataupun berzikir atau beristighfar jika ada perkara tidak menyenangkan semasa pemanduan.

Setiap kejadian pasti ada hikmahnya. Jangan biarkan sikap panas baran beraja dalam diri sehingga memusnahkan kehidupan, pasangan atau rakan kita. Bertindak awal sebelum terlambat kerana besar kemungkinan sikap ini boleh diwarisi oleh anak-anak di kemudian hari.

Selain itu, ajarlah anak sejak kecil untuk sentiasa beradab dan berakhlak agar tidak menjadi trigger point kepada kemarahan orang lain.-UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×