PADA 15 Disember lalu, Mahkamah Persekutuan membuat satu keputusan janggal dengan memansuhkan Seksyen 498 Kanun Keseksaan (Seksyen 498) yang memperuntukkan mana-mana individu yang memikat atau membawa lari seorang perempuan yang bersuami dengan niat jenayah boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda, atau dengan kedua-duanya. Mahkamah Tertinggi turut memutuskan undang-undang tersebut sebagai tidak berperlembagaan atas alasan ia lapuk, kuno serta mendiskriminasi wanita.
Perdebatan timbul bagi menentukan sama ada keputusan hakim-hakim tersebut bersesuaian dengan norma setempat, agama dan budaya ketimuran masyarakat di Malaysia. Mana-mana insan yang waras akal fikirannya pasti dapat menilai peri penting sebuah undang-undang yang bertujuan memelihara kemaslahatan dan keharmonian rumah tangga. Keputusan sebegini dilihat terkebelakang kerana ia mendedahkan wanita kepada seribu satu bahaya apabila mana-mana lelaki kini bebas untuk menggoda mereka atas apa-apa tujuan, dengan apa-apa cara dalam keadaan wanita itu sudah pun bersuami.
Keadilan dan kesaksamaan total tidak dapat dicapai sekiranya kesamarataan jantina menjadi satunya-satunya aspek yang diambil kira ketika melaungkan kebebasan hak asasi manusia. Hatta, sebahagian besar pejuang hak asasi manusia turut gagal untuk membuat pertimbangan wajar sebelum mencadangkan pindaan atau pemansuhan sesuatu peruntukan undang-undang.
Tidakkah mereka lupa Seksyen 289 Akta Kanun Tatatacara Jenayah yang mengecualikan perempuan daripada hukuman sebat? Adakah mereka hilang ingatan akan kewujudan beberapa akta di peringkat persekutuan yang digubal khas bagi melindungi keluarga dan pasangan berkahwin seperti Akta Kanak-Kanak Pindaan 2016, Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 yang membebaskan para isteri dan anak-anak mereka daripada ancaman-ancaman dalam dan luar perkahwinan?
Justeru, pemansuhan Seksyen 498 membawa implikasi besar dalam sistem undang-undang Malaysia. Undang-undang keluarga dihakis sedikit demi sedikit sehingga nanti sekiranya benar pencapaian kepada kesamarataan jantina itu dikira paling agung, mungkin wanita pula boleh bertukar peranan atau fungsi dalam rumah tangga untuk menafkahi suami dan anak-anak.
Walhal, diskriminasi jantina di bawah Perlembagaan Persekutuan adalah dibenarkan kerana ia termasuk peruntukan yang mengawal selia undang-undang peribadi. Undang-undang peribadi meliputi perlindungan terhadap perkahwinan, penceraian, penjagaan anak dan hak harta pusaka. Apabila Seksyen 498 diputuskan sebagai tidak perlembagaan, maka undang-undang seolah-olah membenarkan golongan lelaki untuk berbuat sesuka hati dengan melanggar prinsip moraliti dan akhirnya mengakibatkan kacau-bilau dalam perkahwinan sesebuah pasangan. Hal ini jelas bertentangan dengan Perkara 8(5)(a) yang membenarkan diskriminasi jantina serta undang-undang am berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam dan moral.
PASAR LELONG ISTERI
Ketidakseimbangan nilai masyarakat akan terserlah sepertimana berlaku di Barat. Sejarah membuktikan seawal abad ke-17, masyarakat di sana sanggup menjual isteri di pasar tempatan yang turut dipanggil ‘pasar lelong isteri.’ Bahkan, si isteri memang berniat untuk menjual dirinya dan bersetuju sesama pasangan sebelum sesi tawar-menawar bermula.
Saya tertarik apabila hakim dalam keputusan pemansuhan Seksyen 498 ini berhujah bahawa undang-undang tersebut mirip undang-undang di zaman Victoria. Ketika itu, para isteri dinafikan hak kepada harta benda, pendapatan dan juga hak mendapat persetujuan daripada si suami. Walhal, situasi sebenar masyarakat di bumi bertuah ini langsung tidak menggambarkan penafian hak tersebut kerana wanita di Malaysia menikmati hak terhadap pewarisan harta, bebas mencari pendapatan, dilantik sebagai ahli politik, atau mengepalai mana-mana persatuan dan organisasi. Jelas, Seksyen 498 masih diperlukan atas sebab yang munasabah, iaitu perlindungan kepada si isteri daripada terjerat dalam perhubungan haram dan mengandung luar nikah.
Adapun tidak semua undang-undang pramerdeka perlu dimansuhkan atas dasar ia kuno atau lapuk. Sejak kedatangan Islam ke rantau Asia Tenggara pada abad ke-12, agama ini telah jauh lebih awal membebaskan wanita dari budaya kolot lagi jahiliyyah yang merosakkan institusi kekeluargaan diamalkan di Barat.
Firman Allah dalam surah al-Nahl ayat 97 bermaksud, “Barang siapa yang beramal soleh, lelaki atau perempuan sedang dia adalah seorang mukmin, maka Kami hidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan akan Kami beri pahala yang lebih baik dari apa yang mereka lakukan” menjadi sebaik-baik keterangan bahawa Islam begitu mengutamakan kesaksamaan jantina.
Oleh itu, apabila ada pihak yang cuba mengambil struktur sosial masyarakat Barat dahulu kala sebagai contoh dan kemudian diaplikasikan ke undang-undang setempat kini, bukankah ia kelihatan dangkal sekali? Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang penuh hikmah juga datang sejak beribu abad lamanya, maka adakah ia dikira lapuk dan isinya sudah tidak boleh digunapakai lagi?
Kesimpulannya, institusi kehakiman perlu menilai semula arah tuju kompas moral mereka dan mengelak daripada dipengaruhi gaya hidup dan fahaman yang dilaung-laungkan sebagai liberal, tetapi hakikatnya berada di luar norma institusi kekeluargaan dan keagamaan. Para hakim juga dinasihati agar mempertimbangkan kadar kes perceraian yang semakin meningkat sedangkan kadar perkahwinan menurun saban tahun.
Kewajipan suami adalah untuk melindungi isteri manakala si isteri wajib mentaati suami dalam hal-hal kebaikan. Kedudukan para isteri yang mulia di sisi suami melayakkan mereka untuk dinafkahi dan dijaga dengan sehabis baik bagi memastikan institusi keluarga kekal teguh berdiri dan kalis pihak yang cuba merobohkan mahligai perkahwinan dibina.-UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang; Setiausaha Kehormat Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ); dan Pengarah Komunikasi Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










