Presiden lagikah Mat Sabu?

Presiden lagikah Mat Sabu?

SAMA ada Mohamad Sabu atau Mujahid Yusof (kiri) yang bakal memimpin Parti Amanah Negara (Amanah), mereka perlu meneruskan legasi Rahmah Allahyarham Salahuddin Ayub. – GAMBAR MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA bakal mengemudi Parti Amanah Negara (Amanah) yang mempunyai lebih 200,000 ahli ini?

Dengan pemilihan parti dilangsungkan serentak dengan Konvensyen Nasional Amanah 2023 bermula esok hingga Ahad, mungkinkah berlaku kejutan terbesar? Masih presidenkah Datuk Seri Mohamad Sabu atau Mat Sabu, 69, atau menjadi milik orang lain?

Dalam pemilihan sesi 2019-2022 lalu, Mat Sabu diangkat presiden parti meskipun hanya berada di kedudukan ketujuh tertinggi daripada undian perwakilan.

Kali ini bertempat di Klang, Selangor, sejumlah 124 calon akan merebut 27 tempat ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah dalam pemilihan mengisi penggal 2023-2026.

Selain Mat Sabu, Naib Presiden yang menyahut cabaran bertanding adalah Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dan Adly Zahari serta Pengarah Strategi Amanah yang juga Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad.

Berpegang kepada realiti semasa, siapapun yang terpilih meneraju Amanah kali ini harus menetapkan hala tuju parti yang jelas dan tersusun dalam menggapai kejayaan. Amanah tidak boleh lagi menjadi cuma parti pelengkap kepada sekutunya, PKR atau sekadar melukut di tepi gantang. Apalagi dengan munculnya kelibat UMNO dalam kerajaan perpaduan.

Dengan kedudukan kerusi Parlimen diraih Amanah yang menguncup dari 11 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 kepada berbaki lapan sahaja dalam PRU15, November tahun lalu, Amanah harus buka mata dan berbuat sesuatu.

Tiga asas utama perlu dijadikan teras dalam memenuhi kehendak strategi dalaman dan luaran parti itu. Tiga aset Amanah yang sangat berharga adalah Dasar Rahmahtan Lil Alamin (RLA), ahli dan kepimpinan Amanah.

Dasar RLA adalah asas kepada segala kewujudan Amanah. Islam yang menjadi teras perjuangan ditegaskan sebagai sebuah perjuangan bercirikan Rahmatan Lil Alamin (Fasal 3.2).

Jadi, menjadi tanggungjawab semua memahami, menghayati dan menyampaikan dasar ini dalam semua gerak kerja parti.

Tanweer, Modul Asas Memperkasakan Ahli Amanah (Mampan) dan Akademi Kepimpinan Wawasan Amanah (AKWAM) pula menjadi platform penting untuk mencapai kefahaman, penghayatan bagi menyampaikannya di dalam dan di luar parti.

RAHMAH
Secara luaran, peluang untuk melaksanakan dasar Rahmah hendaklah diperkukuh dan diterjemahkan dalam setiap cabang kerajaan yang diwakili Amanah, baik di persekutuan mahupun di negeri.

Segala aktiviti parti, tindakan dan penyelesaian konflik dalaman perlu tunduk kepada prinsip akhlak dan adab rahmah. Untuk ahli, kepemimpinan parti perlu memelihara, menjaga dan menyantuni ahli di semua peringkat melalui lawatan, kunjungan, pertemuan dan mendengar rintihan serta permasalahan mereka.

Parti perlu menyelesaikan konflik dalaman secara berstruktur melalui tindakan proaktif. Ini sebelum mana-mana tindakan disiplin diputuskan sebagai ikhtiar terakhir ke atas mana-mana ahli.

Ahli Amanah juga patut diberi peluang menyuarakan pandangan, pendapat dan menegur kepimpinan secara demokratik. Ini dilakukan dengan mengikut adab-adab organisasi dan akhlak Rahmah yang ditetapkan.

Kebajikan ahli harus didahulukan dalam apa sahaja peruntukan kebajikan. Satu dana khas aktivis parti perlu diwujudkan khusus kepada mereka yang menyampaikan dasar RLA dalam keadaan mereka memerlukan sokongan parti.

Pada masa sama, penglibatan ahli mewakili parti dalam setiap pencalonan perlu dilakukan secara sistematik dan telus. Ia supaya tidak timbul soal pilih kasih mahupun menafikan peluang setiap potensi ahli.

Permudahkan juga ahli untuk mendapat akses maklumat parti dari Wisma Amanah tanpa diskriminasi.

Dari sudut kepimpinan, parti perlu memastikan tiada agenda peribadi menguasai mana-mana tahap kepimpinan melainkan kepentingan parti didahulukan. Elakkan terpalit dengan isu moral termasuk perempuan, pegawai bermasalah, lemah pengurusan serta tidak serius dalam menjaga parti dan akar umbi.

Amanah jika hendak terus bernafas dan sukses, kepimpinannya perlu dilantik secara merit. Persaingan hendaklah secara sihat dan menguntungkan parti.

Kepimpinan bertindak sebagai penyampai keputusan parti dan keperluan organisasi secara beramanah dan berkesan. Kesinambungan kepimpinan dibentuk melalui AKWAM bagi mempersiapkan kader kepimpinan masa depan parti lalu menyambung cita-cita RLA. Tetapi kalau hingga hendak pengerusikan mesyuarat yang bertaraf nasional pun sekejap tidak sampai 10 atau 15 minit, kemudian keluar, itu suatu bebanan kepada rakan-rakan seperjuangan.

PENENTU
Keputusan pemilihan kali ini akan menjadi penentu sama ada Amanah mampu berdiri dengan kuat sendiri tanpa harus bergantung pada kekuatan Pakatan Harapan (PH) atau sokongan bukan Melayu. Parti perlu berusaha untuk memperkuatkan kewibawaan dan kepercayaan orang Melayu dengan menyuarakan isu-isu yang relevan kepada masyarakat Melayu.

Kepimpinan parti perlu lebih profesional dan berkarisma tinggi selaras dengan keadaan semasa bagi memastikan Amanah relevan. Dalam era politik yang mencabar seperti sekarang, kepimpinan parti perlu memiliki kebolehan dan kemahiran yang tinggi dalam mengendalikan cabaran dan mencapai matlamat parti. Ini akan memastikan Amanah dapat menarik sokongan dari rakyat dan bersaing dengan parti-parti lain dalam arena politik. Amanah memerlukan pemimpin yang berkaliber serta dihormati, bukannya pemimpin retorik dan sembang kencang.

Amanah perlu menjelaskan kepada rakyat bahawa mereka adalah sebuah parti yang berdiri dengan prinsip sendiri dan tidak hanya sebagai budak suruhan parti tertentu.

Mereka perlu menunjukkan kebebasan dan keberaniannya dalam menyuarakan pendapat dan memperjuangkan isu-isu penting untuk orang Melayu. Rata-rata masyarakat Melayu akan berkata Amanah tidak relevan untuk mereka. Oleh itu nafas dan suara baharu amat ditagih bagi menjamin kemampanan parti.

Amanah perlu meningkatkan kesedaran dan pemahaman rakyat mengenai prinsip perjuangan parti. Mereka perlu menjalankan program dan aktiviti yang dapat menyampaikan prinsip perjuangan secara jelas kepada rakyat. Penglibatan aktif dalam masyarakat juga perlu dilakukan untuk memperkuatkan hubungan dan komunikasi dengan rakyat bagi menyedarkan masyarakat bahawa Amanah adalah parti Amanah, bukan budak suruhan DAP!

Dan selaras dengan dasar Rahmah yang menjadi tonggak parti, Amanah perlu meneruskan legasi Rahmah Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub. Jangan sesekali terfikir mahu dilenyapkan atau ‘dibunuh’ program yang diberi sanjungan dan memberi manfaat kepada rakyat ini.

Dengan kekalahan tiga Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar, Khalid Abdul Samad serta Mujahid dalam PRU15 tempoh hari, adakah Mat Sabu yang menang bergaya pula di Kota Raja akan terus diberi mandat oleh perwakilan parti untuk sekali lagi menerajui parti?
Perwakilan boleh tepuk dada, tanya selera masing-masing.-UTUSAN

DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×