SAYA bersetuju dengan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, dan Ketua Pemuda, Dr. Akmal Saleh, bahawa pemimpin DAP perlu mengelakkan diri dari memberikan apa-apa kenyataan berbentuk provokasi yang boleh mencetuskan ketidakharmonian dan menyebabkan fokus kerajaan perpaduan terganggu.
Saya juga bersetuju dengan tulisan Dr. Syed Agil Alsagoff dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam akhbar ini semalam bahawa pemimpin DAP perlu berpegang kepada Perjanjian Persefahaman Kerjasama antara lima gabungan utama yang membentuk kerajaan perpaduan pada 16 Disember 2022 yang tidak mengandungi item untuk melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan (PBT).
Pemimpin DAP tidak menandatangani Perjanjian Persefahaman Kerjasama ini kerana yang berbuat demikian ialah Setiausaha Agung gabungan masing-masing, iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dari Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Masidi Manjun dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Datuk Loretto Padua Jr dari Parti Warisan.
Sebagai penandatangan, Setiausaha Agung lima gabungan ini, atau Pengerusi/Presiden gabungan yang menyaksikan penandatangan ini perlu bersuara bagi menegur pemimpin DAP yang memperjuangkan item yang tiada kerana ini bercanggah dengan kandungan perjanjian.
Kerajaan perpaduan juga telah menubuhkan Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang mula bermesyuarat di Menara Dato Onn pada 7 Februari. Salah satu daripada tiga jawatankuasa yang ditubuhkan ialah Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik yang memantau dasar-dasar kerajaan dan politik dengan mengambil kira pandangan dan manifesto setiap parti.
Apa guna ada sekretariat ini, dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi, ketua-ketua parti di bawah kerajaan perpaduan sebagai Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Fadillah Yusoff sebagai Setiausaha Agung dan Asyraf Wajdi sebagai Ketua Sekretariat jika pemimpin DAP lebih suka bersuara lantang tanpa mengikut saluran parti?
TEKAD
Kita juga telah melangsungkan Konvensyen Kerajaan Perpaduan di Dewan Merdeka pada 14 Mei lalu yang menghimpunkan pemimpin dan perwakilan dari 19 parti politik yang mendukung kerajaan perpaduan. Pada konvensyen ini, Anwar sendiri menandatangani Tekad Buat Malaysia yang sebelum itu dibacakan oleh Asyraf Wajdi.
Tekad Buat Malaysia hanya mengandungi lima ikrar setiap gabungan, iaitu:
■ Untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dengan memastikan peningkatan pendapatan melalui peluang usaha dan pekerjaan diperbanyakkan dalam semua sektor.
■ Untuk menjamin rakyat mendapat akses kepada pembelajaran dan perkhidmatan kesihatan yang tidak membebankan.
■ Untuk meningkatkan ketelusan dalam pentadbiran kerajaan dengan memastikan ketirisan perbelanjaan kerajaan dapat dihapuskan dan manfaat usaha pembangunan benar-benar dapat dirasai oleh rakyat terbanyak.
■ Untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan mengembalikan keyakinan pelabur yang akan meningkatkan kemakmuran negara dan meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa.
■ Untuk memastikan kerukunan hidup masyarakat majmuk dengan pendekatan keterangkuman yang menyatukan pelbagai kaum, agama dan wilayah dikembangkan bagi memastikan kestabilan negara dan perpaduan rakyat.
Apa guna bersusah-payah dilangsungkan konvensyen ini jika resolusi yang dilafazkan dan dipersetujui bersama tidak dihormati sama sekali oleh pemimpin DAP?
Dalam ucapan beliau di Majlis Amanat Perdana Menteri Membangun Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 19 Januari lalu, Anwar menggariskan keutamaan Malaysia Madani, iaitu:
■ Untuk membina sebuah masyarakat Madani yang bersifat ihsan, peduli dan merasai keperitan orang miskin dengan membasmi kemiskinan, baik miskin mahupun miskin tegar.
■ Untuk menstrukturkan semula ekonomi yang akan diasaskan kepada etika yang mampan, iaitu mengelakkan pembaziran dan kemewahan, membasmi ketirisan dan rasuah, menyegerakan bantuan dan prasarana rakyat serta pemerataan kekayaan secara saksama.
■ Untuk memulih dan menjana ekonomi dengan memberi galakan dan dorongan penuh kepada perusahaan tempatan yang berteraskan Madani untuk menyumbang kepada pertumbuhan dan menarik pelaburan asing yang juga berteraskan Madani untuk memastikan kesejahteraan rakyat.
■ Untuk memelihara rakyat daripada kancah perkauman serta meletakkan noktah terhadap usaha pihak yang menggunakan politik identiti untuk memecah-belahkan masyarakat.
PILIHAN RAYA PBT
Dalam ucapan beliau bertajuk Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti pada 27 Julai, Anwar menetapkan tujuh penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana yang mahu dicapai oleh Malaysia sebelum 10 tahun iaitu:
■ Malaysia berada di kedudukan antara 30 ekonomi terbesar di dunia.
■ Indeks Daya Saing Global di tangga ke-12 teratas dunia.
■ Peratusan pendapatan buruh mencapai 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan.
■ Kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh mencapai 60 peratus.
■ Indeks Pembangunan Manusia di tangga 25 teratas dunia.
■ Indeks Persepsi Rasuah di tangga 25 teratas dunia
■ Kemampanan fiskal dengan defisit fiskal mencapai 3 peratus atau lebih rendah.
Sekali lagi, mana item untuk melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan dalam mana-mana pecahan sasaran jangka sederhana Ekonomi Madani ini?
Atas dasar ini, saya berpendapat tiada keperluan untuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, mengadakan perbincangan dengan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, berhubung cadangan mengadakan pilihan raya PBT.
Cadangan pelaksanaan pilihan raya PBT seperti juga pengungkapan Impian Malaysia membabitkan Perdana Menteri bukan Melayu, bukan timbul secara kebetulan, tetapi ia adalah satu perancangan tersusun pemimpin DAP.
Semua ini hanya akan memberi laba politik kepada DAP kerana ia akan menguatkan sokongan pengundi bukan Melayu kepadanya sebaliknya akan mendatangkan bala politik kepada UMNO kerana ia akan melemahkan sokongan pengundi Melayu kepadanya.
Pemimpin DAP tidak boleh bersikap pentingkan parti sendiri dengan memperjuangkan sesuatu yang tiada dalam Perjanjian Persefahaman Kerjasama, resolusi Konvensyen Kerajaan Perpaduan dan dengan pernyataan-pernyataan dasar utama Kerajaan Perpaduan seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri.-UTUSAN
DATUK Norshida Ibrahim ialah Naib Ketua Wanita UMNO Johor dan Ketua Wanita UMNO Segamat.










