TVET pertanian, perladangan yang masih terpinggir

TVET pertanian, perladangan yang masih terpinggir

KEKURANGAN tenaga kerja dalam ladang kelapa sawit yang mencecah 40,000 orang mengakibatkan sektor sawit kerugian besar. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGUMUMAN rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri baru-baru ini meletakkan satu harapan baharu kepada saya yang sudah berpengalaman luas dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khususnya sektor pertanian dan perladangan. Sedikit kelegaan dan menyimpan harapan baharu apabila beberapa tokoh yang saya kenali secara peribadi dilantik menerajui beberapa kementerian berkaitan kerangka kerja saya seperti Steven Sim Chee Keong (Menteri Sumber Manusia), Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir (Menteri Pendidikan Tinggi) dan Arthur Joseph Kurup (Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan).

Tatkala nama mereka diumumkan Perdana Menteri, saya menghantar mesej kepada Steven dan Arthur. Alhamdulillah, mesej saya dijawab sebagai tanda persahabatan. Namun, saya masih menunggu Zambry menjawab panggilan telefon saya yang sudah berkali-kali tidak diangkat.

Saya tidak mahu menjadikan respons telefon itu sebagai penilaian terlalu awal atau bersifat peribadi kepada mereka kerana umum mengetahui seluruh Kabinet ini sebenarnya sedang mengalami ujian dan peluang kedua (mungkin terakhir) daripada rakyat.

Selain Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Menteri Perladangan dan Komoditi), kesemua kenalan rapat saya ini menjadi harapan yang sangat besar untuk membawa perubahan segera kepada TVET sektor pertanian dan perladangan. Setelah saya sangat bosan dengan sikap tidak acuh banyak pihak sebelum ini yang menjadikan TVET dalam kedua-dua sektor ini terpinggir begitu teruk. Walhal, isu sekuriti makanan dan komoditi perladangan bukanlah perkara kecil dari aspek keterjaminan makanan, malah sumber ekonomi utama negara.

Sepertimana sedia maklum, saya sudah terlibat dengan TVET sejak lebih 25 tahun. Sebahagian besar fokus saya adalah pertanian dan perladangan. Pengalaman menjayakan pelbagai dasar kerajaan berkaitan, termasuk dilantik menganggotai pelbagai jawatankuasa peringkat kerajaan membolehkan saya menilai kelemahan dan memberikan syor untuk meningkatkan penyertaan tenaga mahir dalam dua sektor ini terutama dalam kalangan generasi muda.

Setiap tahun, kita masih membincangkan keperluan kritikal terhadap tenaga kerja kedua-dua sektor ini. Akibat mengambil jalan mudah dengan menggaji pekerja asing, usaha meningkatkan penyertaan golongan belia melalui TVET masih pada tahap sangat lemah.

Kekurangan tenaga kerja dalam perladangan terutama kelapa sawit sejak tahun lalu mencecah 63,000 orang mengakibatkan sektor sawit kerugian RM20 bilion dalam tempoh setahun. Sektor pertanian yang dilaporkan mempunyai 240,000 pekerja sektor pertanian tahun lalu, hanya 15 peratus diceburi golongan belia tempatan. Bakinya diisi warga emas atau tenaga kerja asing.

Rekod Jabatan Imigresen pada 2019 menunjukkan kira-kira 70 peratus daripada 156,334 pekerja asing aktif di negara ini adalah dalam subsektor tanaman. Masalah ini bukan sahaja memberi pelbagai kesan buruk kepada ekonomi negara, malah sampai ke satu tahap wujudnya kartel warga asing yang sukar untuk dikawal.

UNESCO

Saya lebih suka mengulas TVET dari definisi sebenar termasuk peringkat antarabangsa seperti takrifan Forum Ekonomi Dunia (WEF), Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) hinggalah Kod Amalan Akreditasi TVET (COPTA) Malaysia yang antaranya menegaskan TVET adalah bidang latihan kemahiran berasaskan pekerjaan bagi membolehkan individu mempunyai keupayaan bekerja dalam bidang berkaitan (bukan dalam kerangka akademik).

Rentetan kenyataan tersebut, angka pengukur utama kepada jumlah pekerja mahir diperakukan antaranya Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.
Jika dilihat statistik JPK dalam tempoh 10 tahun (2012-2022), jumlah keseluruhan pensijilan SKM dalam perladangan dan pertanian hanyalah sekitar 8,391 dalam semua tahap (tidak menggambarkan bilangan graduan sebenar kerana orang yang sama turut memiliki pelbagai tahap dalam tahun sama).

Pada tahun ini, data JPK sehingga September 2023 menunjukkan bilangan semua pensijilan dalam pertanian, perhutanan dan perikanan hanyalah 2,153 daripada keseluruhan pensijilan SKM dalam semua bidang iaitu 63,000. Ini menunjukkan bawah 3.5 peratus pensijilan berkaitan dua sektor ini dikeluarkan bagi tahun ini dan tahun-tahun sebelumnya berbanding bidang-bidang lain.

Rekod 2012-2022 membuktikan hanya 950 pensijilan SKM Penyelia dan Operasi Ladang Sawit dianugerahkan oleh JPK. Sedangkan saya sendiri pernah menganugerahkan hampir 1,000 graduan SKM setahun ketika era aktif kami sekitar 2008-2012. Apabila swasta seperti kami tidak memainkan peranan, penyertaan aktif dan produktif tidak berlaku lagi.

Pelbagai cadangan telah dikemukakan kepada pelbagai pihak seperti JPK, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), namun hampir semuanya menemui kegagalan kerana pelbagai faktor utama. Antaranya ketua-ketua jabatan tidak melihat pembangunan sumber manusia tempatan dalam kedua-dua sektor ini sebagai isu sangat meruncing untuk negara yang perlu ditangani, sikap tolak-menolak antara agensi yang akhirnya tiada siapa bertindak, ketua-ketua jabatan yang bukan berlatar belakang serta memahami aspek teknikal khususnya TVET dan jalan mudah semua pihak termasuk majikan untuk menggaji pekerja asing.

Lebih malang, berlaku sindrom kebelakangan ini seolah-olah anti untuk bekerjasama dengan institusi latihan swasta sehingga ada tender terbuka latihan perladangan dibatalkan saat akhir. Kononnya agensi mahu melaksanakannya sendiri walaupun hakikatnya mereka tiada kapasiti untuk melakukannya dan kos jauh lebih tinggi jika dijalankan sendiri.

Akhirnya, majikan merungut sudah hampir habis 2023, latihan kemahiran perladangan masih belum terlaksana seperti sepatutnya kerana ketua-ketua jabatan tidak faham kaedah pelaksanaan TVET pertanian dan perladangan, kekangan dan jalan penyelesaian.

Maka sudah tiba masanya kita perlu menghentikan sikap bodoh sombong selama ini yang semakin merugikan negara. Kami yang berpengalaman sudah dapat melihat bencana masa depan bakal menjadi semakin parah. Kembalikan kegemilangan kerjasama kerajaan dan pusat latihan swasta untuk meningkatkan TVET pertanian dan perladangan secara cepat, cekap, jimat dan berkesan. Selamatkan Malaysia sebelum terlambat. – UTUSAN

PENULIS ialah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×