Ringgit kekal lemah, cecah RM3.52 berbanding dolar Singapura

Ringgit kekal lemah, cecah RM3.52 berbanding dolar Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar AS hari ini apabila pelabur kekal berhati-hati sementara menunggu panduan ke hadapan dalam keadaan turun naik pasaran global, kata penganalisis.

Memetik laporan Bernama, pada pukul 9 pagi, ringgit susut kepada 4.6950/7025 berbanding dolar AS daripada 4.6920/6965 penutup semalam.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, unit tempatan itu dijangka diniagakan dalam julat yang ketat kerana pelabur bersedia untuk mencerna pengumuman dasar bank global.

Menurut beliau, tTumpuan hari ini adalah pada mesyuarat dasar Bank Jepun (BOJ) kerana peniaga mata wang sedang mencari petunjuk mengenai kemungkinan `keterbalikan’ dasar monetarinya yang sangat longgar.

“Kebanyakan pakar ekonomi menjangkakan BOJ mengekalkan kadar faedah penanda arasnya pada -0.1 peratus dalam mesyuarat ini.

“Bagaimanapun, berdasarkan panduan terkini oleh Rizab Persekutuan AS, unjuran pemotongan kadar kekal kukuh. Oleh itu, kami menjangkakan ringgit berbanding dolar AS kekal dalam julat sempit hari ini,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia menambah nilai berbanding pound sterling kepada 5.9411/9505 daripada 5.9434/9491 pada penutupan semalam. Bagaimanapun, ia lemah berbanding euro kepada 5.1269/1351 daripada 5.1232/1281, dan susut berbanding yen Jepun pada 3.2938/2993 daripada 3.2929/2960.

Mata wang tempatan juga diniagakan lebih rendah berbanding beberapa mata wang ASEAN.

Ia susut berbanding peso Filipina kepada 8.41/8.43 daripada kadar penutup Isnin pada 8.40/8.41, turun berbanding rupiah Indonesia kepada 302.6/303.3 daripada 302.4/302.9.

Ringgit hampir tidak berubah berbanding dolar Singapura pada 3.5248/5307 daripada 3.5249/5285 dan jatuh berbanding baht Thailand kepada 13.4335/4623 daripada 13.4042/4228 sebelumnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×