“DAN Tuhanmu telah perin-tahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘ha’, dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah Al Isra 23)
Adalah suatu yang tidak dipertikaikan bahawa ibu bapa mempunyai kedudukan tinggi dalam agama. Malah ia adalah satu perintah Allah SWT supaya ibu bapa wajib dilayan sehabis baik. Kedudukan ibu bapa yang tinggi membuatkan tidak tercapai dek akal apabila akhbar sering melaporkan berkenaan kes ibu dan bapa dikasari malah ada dibunuh oleh anak sendiri yang sepatutnya menjaga kebajikan mereka.
Timbul persoalan, di manakah kedudukan kita selaku masyarakat dalam mencegah dan memperbaiki keadaan sebegini?
Apabila terdapat kejadian ibu bapa dicederakan atau dibunuh oleh anak kandung sendiri, ia sering dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah. Ada kejadian yang mana anak mencederakan ibu atau bapa yang enggan memberikan wang kepada mereka untuk membeli ‘bekalan.’ Lebih parah, ada kes ibu bapa dibunuh kerana si pelaku berada dalam keadaan khayal dan mendengar suara-suara yang menyuruh anak-anak ini membunuh ibu dan bapa sendiri.
Misalnya, dalam kejadian terbaru seorang anak disiasat kerana dikatakan membunuh ayah dan ibu yang merupakan warga emas. Suspek juga dikesan mempunyai rekod kesalahan lampau melibatkan jenayah dadah.
Ini bukan isu atau kes baharu, cuma masyarakat harus memainkan peranan proaktif dalam mencegah daripada berleluasanya kes ini. Kes kematian atau kecederaan melibatkan ahli keluarga merupakan petunjuk terdapat kekosongan dalam segmen keluarga dan masyarakat kita. Lebih parah, kejadian yang dilaporkan ini sering kali dikaitkan dengan pelaku beragama Islam.
Secara ideal, Muslim mempunyai kefahaman yang lebih terhadap keperluan menghargai dan memuliakan ibu bapa.
Pendapat ulama berkenaan pengharaman penyalahgunaan dadah adalah jelas. Ia merupakan pandangan yang mantap. Oleh demikian, sistem kekeluargaan dan masyarakat perlu sentiasa diikat seiring asas agama. Di sini, masyarakat berada dalam keadaan perlu ambil tahu untuk usaha pemulihan mana-mana anggotanya yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah.
MANTAP
Undang-undang berkenaan dengan dadah juga adalah jelas dan mantap.
Undang-undang ini merupakan terjemahan kesungguhan kerajaan dalam menangani jenayah dadah daripada terus berleluasa yang merupakan musuh negara sejak 1983. Namun, selepas berperang lebih tiga dekad, musuh yang nyata ini masih gagal ditangani dengan baik walaupun pelbagai polisi dan inisiatif dilakukan oleh kerajaan.
Dua perundangan yang selalu digunakan adalah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283) untuk mencegah dan merawat penagih. Ini termasuk perintah yang boleh diberikan oleh majistret bagi menahan penagih di pusat pemulihan bagi tempoh dua tahun sebagaimana dinyatakan dalam Seksyen 6(1) Akta 283.
Saya percaya, selain iltizam kerajaan menerusi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), masyarakat wajib memainkan peranan lebih agresif.
Banyak pertubuhan menawarkan rawatan pemulihan kepada penagih. Sekiranya rawatan pemulihan dianggap sebagai hukuman, maka negara akan berhadapan kesukaran untuk membawa keluar masyarakat daripada isu ketagihan dadah. Isu ini terbukti akan membawa masuk dan membuka lebih besar ruang kepada berlakunya jenayah lain dalam masyarakat.
Istilah buang keluarga atau buang masyarakat terhadap penagih tidak akan menyelesaikan sama sekali isu penyalahgunaan dadah. Ia juga tidak upaya memberikan jaminan penagih-penagih ini tidak akan melakukan lain-lain jenayah untuk mendapatkan sumber bekalan. Institusi keluarga dan masyarakat ironinya akan runtuh sekiranya isu ini tidak ditangani dengan baik. Ini tidak termasuk pelbagai dadah generasi baharu yang digunakan untuk berhibur.
Kita sendiri banyak menghabiskan masa dalam mencari punca penagihan dadah. Terdapat pendapat bahawa pengedar perlu dicantas terlebih dahulu. Ada pula berpendapat penagih ini perlu ditangani dahulu sebelum pengedar atau tokan dadah. Ia seperti kisah telur dan ayam, mana satu yang wujud terlebih dahulu? Ini tidak akan berupaya menyelesaikan masalah ini secara tuntas. Sebaliknya pemerkasaan institusi keluarga dan persekitaran iaitu masyarakat yang baik akan mengurangkan risiko jenayah ini.
Tuntasnya, masyarakat perlu terlibat dalam usaha mewujudkan keadaan kejiranan yang selamat. Jenayah yang berlaku dalam rumah sebelah kita mungkin akan berlaku pada keluarga kita sekiranya tidak ditangani isu pokok. Inilah juga alasan mengapa agama tidak boleh dipisahkan dalam hukum bermasyarakat, iaitu menjaga maqasid syariah untuk kebaikan semua. – UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA); dan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).










