PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan melakukan rombakan besar-besaran dalam barisan Kabinetnya selepas setahun menerajui pentadbiran negara termasuk melantik lima menteri baharu bagi menyesuaikannya dengan situasi dan cabaran semasa.
Dengan berbaki empat tahun sebelum penggal ini berakhir, gandingan muka lama dan baharu dibawa masuk menyertai Kabinet di bawah kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja bekas menteri tetapi dalam kalangan teknokrat, ahli akademik dan junior politik.
Semua rombakan itu setelah mengambil kira latar belakang, pengalaman dan kelayakan serta wakil-wakil komposisi parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Lima menteri baharu
Lima menteri baharu ialah Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo.
Sementara itu, seorang lagi menteri baharu ialah Steven Sim Chee Keong yang naik pangkat mengetuai Kementerian Sumber Manusia.
Menarik perhatian adalah penyertaan Amir Hamzah iaitu teknokrat yang dilantik Senator sebagai Menteri Kewangan II untuk bergandingan dengan Anwar sebagai Menteri Kewangan, setelah melihat latar belakangnya yang pernah menjadi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) dari April 2019 hingga Februari 2021, sebelum ke KWSP.
Penyertaan Johari sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi pula ibarat sirih pulang ke gagang apabila Naib Presiden UMNO itu pernah menjadi Menteri Kewangan II ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Dua bekas menteri juga kembali dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Anwar semalam, dengan Dzulkefly sekali lagi menerajui Kementerian Kesihatan manakala Gobind pula diamanahkan di Kementerian Digital.
Tiga nama gugur
Rombakan Jemaah Menteri juga menyaksikan pengguguran tiga nama iaitu Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar sebagai Menteri Sumber Manusia; Ahli Parlimen Gelugor, Ramkarpal Singh yang sebelum ini Timbalan Menteri Jabatan di Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching (Timbalan Menteri Perladangan Dan Komoditi).
Ekoran pengguguran itu, Steven Sim dinaikkan pangkat daripada Timbalan Menteri Kewangan kepada Menteri Sumber Manusia manakala beberapa nama dibawa masuk antaranya bekas Menteri Sumber Manusia ketika era pentadbiran 22 bulan Pakatan Harapan (PH), M. Kulasegaran sebagai Timbalan Menteri Jabatan di Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).
Pada masa sama, rombakan Kabinet menyaksikan kewujudan empat kementerian baharu iaitu Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.
Bertukar tugas
Perkembangan itu menyebabkan beberapa menteri bertukar tugas iaitu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengetuai Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam yang dipecahkan daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim manakala Nik Nazmi Nik Ahmad pula diamanahkan di Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Perkara sama berlaku di Kementerian Komunikasi dan Digital yang dipecahkan kepada dua entiti baharu iaitu Kementerian Komunikasi diketuai Fahmi Fadzil manakala Gobind pula di Kementerian Digital.
Portfolio Wilayah Persekutuan yang sebelum ini bertaraf jabatan dikembalikan semula dan diketuai oleh seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Dr. Zaliha Mustafa yang sebelum ini adalah Menteri Kesihatan.
Secara umumnya, komposisi barisan menteri penuh dalam Kabinet Anwar merangkumi sembilan wakil PKR, UMNO (tujuh), Gabungan Parti Sarawak dan DAP (masing-masing lima), Parti Amanah Negara (dua), Gabungan Parti Sabah (satu), Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (satu) manakala dua lagi anggota Kabinet terdiri daripada golongan profesional.
Sementara itu, rombakan Kabinet menyaksikan penyertaan seorang ahli akademik yang mempunyai latar belakang undang-undang syariah iaitu bekas Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Zulkifli Hasan yang memikul amanah Timbalan Menteri di Jabatan Agama (Hal Ehwal Agama).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof. Datuk Dr. Sivamurugan Pandian berkata, rombaan Kabinet mengambarkan ‘misi kekal dan tawan’ Anwar dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang berbaki empat tahun.
Ambil kira situasi, cabaran ketidaktentuan ekonomi dan politik semasa
Katanya, perubahan senarai menteri dan timbalan menteri bukan menunjukkan prestasi lalu tidak cemerlang, sebaliknya bertujuan memperkukuh pasukan Anwar dengan mengambil kira dan melihat situasi serta cabaran ketidaktentuan ekonomi dan politik semasa.
“Kita lihat pecahan kementerian yang bertujuan memantap dan melicinkan perjalanan pentadbiran negara agar agenda rakyat terus diperkasa manakala mampu memenuhi tuntutan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, rombakan Kabinet tersebut tidak semestinya sempurna dan mungkin mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk Perikatan Nasional (PN) apabila menambah bilangan menteri daripada 28 kepada 31 orang dan seolah-olah melanggar manifesto PH untuk mengurangkan saiz Jemaah Menteri.
“Timbul perasaan tidak puas hati adalah lumrah dalam politik. Mungkin ada pihak mendakwa tidak mewakili kaum dan komposisi wilayah,” katanya.
Namun paling penting, kata beliau, kualiti tugas dan penyampaian semua anggota Jemaah Menteri untuk melaksanakan semua tugas serta bekerja sebagai satu pasukan Anwar. – UTUSAN










