Malakoff bantu KTMB jimat bil elektrik

Malakoff bantu KTMB jimat bil elektrik

HASBI Habibollah (tiga dari kiri) bersama Naib Pengerusi Eksekutif Malakoff, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh (dua dari kiri) pada majlis memetrai perjanjian pemasangan solar panel antara KTMB, RAC dan Malakoff di Putrajaya. - UTUSAN/MOHD HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dijangka dapat menjimatkan kos elektrik sehingga 30 peratus sebulan menerusi pemasangan sistem solar panel di 15 fasilitinya di seluruh negara.

Penjimatan itu diperolehi menerusi konsesi pemasangan solar panel selama 21 tahun antara KTMB, Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan anak syarikat Malakoff Corporation Bhd, Radiance Sdn. Bhd. (Radiance).

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, secara keseluruhan, KTMB menanggung kos elektrik bulanan di semua fasilitinya sekitar RM3.6 juta sebulan.

Beliau berkata, menerusi kerjasama itu, KTMB dapat menjimatkan kos sekitar RM9.17 juta setahun sepanjang 21 tahun konsesi bersama anak syarikat Malakoff itu.

“Radiance dipilih berdasarkan kredibiliti dan pengalaman yang luas dalam industri solar dan syarikat itu diberi kepercayaan memasang, mengoperasi dan menyenggara sistem solar panel di 15 lokasi berpotensi milik RAC untuk tempoh 21 tahun.

“Saya difahamkan, kolaborasi seumpama ini merupakan yang pertama dimeterai oleh Malakoff Corporation Bhd. dengan agensi kerajaan,” katanya ketika berucap pada majlis memeterai perjanjian perjanjian pemasangan solar panel di sini, semalam.

Katanya, fasa pertama pemasangan solar panel membabitkan 15 lokasi termasuk sembilan buah stesen kereta api antaranya di Stesen Keretapi Batu Gajah, Stesen Keretapi Bukit Mertajam dan Stesen Keretapi Tanjong Malim selain lima buah depot iaitu Depot Seremban dan Kempas Baru serta satu kemudahan Park and Ride (Stesen Keretapi Kajang).

Hasbi berkata, buat permulaan, Stesen Keretapi Tanjong Malim di Perak akan menjadi lokasi perintis bagi pelaksanaan projek ini dan akan mula dipasang bermula suku pertama 2024.

Menurutnya, bagi fasa pertama, jumlah kapasiti penjanaan tenaga yang disasarkan adalah sebanyak 1,426 kWp (kilowatt peak) ataupun hampir mencecah 1.5 MWp (Megawatt peak).

“Seterusnya, RAC turut merancang fasa kedua inisiatif tenaga boleh baharu (TBB) ini di 17 lokasi lain membabitkan 16 stesen kereta api dan satu kemudahan Park & Ride di Selangor, Negeri Sembilan dan Perlis menjelang suku ketiga 2024.

“Bagi fasa ketiga pula, dijangka 25 lokasi lagi akan dipasang dengan sistem solar panel di mana kajian kebolehlaksanaan inisiatif ini sedang dijalankan,” katanya.

Katanya, TBB telah muncul sebagai satu daripada sumber penjanaan tenaga yang paling cepat berkembang dan dijangkakan akan menjadi sumber tenaga terbesar pada tahun 2040. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×