PETALING JAYA: Pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baharu akan diumumkan dalam masa terdekat.
Menurut dana pencen itu, ia berikutan pelantikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Menteri Kewangan II, berkuat kuasa hari ini, susulan rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
KWSP berkata, sepanjang perkhidmatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Amir Hamzah telah memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan kejayaan KWSP, serta memberikan komitmen yang tinggi terhadap kecemerlangan dan inovasi.
“Antara pencapaian utama beliau termasuk memimpin KWSP melalui pelbagai kitaran ekonomi dan cabaran, dan mencapai pertumbuhan positif dalam pendapatan pelaburan secara konsisten.
“Hala tuju strategik dan kepimpinan beliau nyata berkesan dalam mengekalkan daya tahan pelaburan dan operasi KWSP, selain memastikan KWSP menjadi tunggak kepada jaminan persaraan yang teguh untuk ahli KWSP,” katanya dalam kenyataan.
KWSP berkata, pihak Lembaga, pengurusan dan seluruh kakitangan KWSP mengucapkan tahniah kepada Amir Hamzah atas pelantikan sebagai Menteri Kewangan II dan yakin bahawa kepimpinan beliau akan menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi negara. – UTUSAN










