KLUANG: Minta dibungkuskan nasi lemak untuk dijadikan bekalan serta bersedekah kepada kawan-kawan menjadi petanda seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kluang pergi menghadap Ilahi.
Permintaan yang tidak pernah dilakukan sepanjang bertugas menjadikan tanda tanya kepada ibunya, Siti Bahayah Abdul khalid, 37.
Menurut Siti Bahayah, Muhammad Shahrul Haiqal Nazrol Douglas, 18, mula bertugas sebagai anggota APM selepas menamatkan persekolan awal tahun ini.
Katanya, apabila arwah yang juga anak sulung daripada enam beradik itu secara tiba-tiba membuat permintaan tersebut, ia menimbulkan tanda tanya.
“Pada petang 1 Oktober itu, saya turutkan permintaannya walaupun tercetus rasa bimbang apatah lagi mengetahui akan pulang agak lewat daripada penugasan.
“Apa yang dibimbangkan menjadi nyata apabila menerima panggilan telefon daripada adiknya bahawa Shahrul sudah tiada akibat kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah kira-kira pukul 2 pagi 2 Oktober lalu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Siti Bahayah berkata demikian selepas menerima faedah caruman iaitu Faedah Pengurusan Mayat dan Faedah Orang Tanggungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kluang di kediamannya di Lorong Dua, Kampung Baru, Kluang, semalam.
Ujarnya, apa yang menyedihkan adalah walaupun arwah sudah tiada, jasanya pada keluarga akan kekal sepanjang hayat dan manfaat ini akan digunakan sebaikbaiknya untuk perbelanjaan persekolahan adik-adiknya yang berusia antara tiga hingga 17 tahun.
Sementara itu, Pengurus Perkeso Kluang, Jainuddin Hamzah berkata, Muhammad Shahrul Haiqal layak menerima faedah caruman selepas mencarum dalam Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) AKTA (789).
Tambahnya, sebagai Orang Berinsuran, waris (ibu/bapa) layak menerima Faedah Orang Tanggungan sepanjang hayat manakala adik-adiknya sehingga berusia 21 tahun atau ijazah pertama jika melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT). – UTUSAN











