Tabik Ahli Parlimen UMNO tolak rundingan PN - Hassan

Tabik Ahli Parlimen UMNO tolak rundingan PN – Hassan

HASSAN ABDUL KARIM (kiri) melihat Sungai Masai di Kampung Masjid, Masai, Johor Bahru yang kerap melimpah ekoran hujan lebat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tindakan Ahli-Parlimen UMNO, khususnya dari negeri ini yang menolak rundingan dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menubuhkan kerajaan baharu selepas gabungan itu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman wajar dipuji.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, tindakan mereka menunjukkan rasa tanggungjawab untuk tidak menumbangkan kerajaan sedia ada di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya lihat mereka ada kredibiliti dan tanggungjawab. Memang diakui mereka ada masalah dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, tetapi itu masalah dalaman parti.

“Begitu juga dengan apa yang saya tahu daripada PKR (Parti Keadilan Rakyat), DAP dan Amanah (Parti Amanah Negara) di negeri ini semua setia dengan Kerajaan Perpaduan,” katanya ditemui selepas melawat kawasan banjir di Kampung Masjid, Masai, dekat sini hari ini.

Selasa lalu, Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman dilaporkan mendakwa terdapat pemimpin PN cuba menarik sokongan ahli Parlimen UMNO di negeri ini untuk membentuk kerajaan Pusat yang baharu, namun ditolak mentah-mentah.

Sabtu lalu, akhbar melaporkan spekulasi lebih 10 Ahli Parlimen blok kerajaan bakal beralih sokongan terhadap PN untuk membentuk kerajaan baharu sebenarnya adalah lebih kuat dan realistik berbanding ura-ura tambahan Ahli Parlimen PN bakal berpaling tadah daripada blok pembangkang itu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, spekulasi itu bukan sekadar cakap kosong susulan beliau dimaklumkan terdapat perbincangan secara dalaman dalam kalangan pucuk pimpinan tertinggi berkenaan perkara itu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin menjadi wakil rakyat PN kelima daripada Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri selepas Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Mengulas lanjut, Hassan berkata, tidak ada sebab ahli Parlimen UMNO di Johor berbuat demikian setelah memikirkan kesukaran untuk menubuhkan kerajaan baharu termasuk bakal berdepan dengan Yang di-Pertuan Agong.  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×