Bernafasnya Awang Batil di era digital

Bernafasnya Awang Batil di era digital

ROMLI Mahmud merupakan satu-satunya penggiat seni persembahan Awang Batil yang menerima pengiktirafan daripada UNESCO dengan gelaran Orang Warisan. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMLI Mahmud, satu nama yang mungkin tidak dikenali sebilangan besar masyarakat pelbagai kaum di negara ini tetapi dalam kalangan pentadbir budaya dan penggiat seni tradisional, nama itu disebut dengan penuh penghormatan. Beliau merupakan satu-satunya penggiat seni persembahan Awang Batil yang menerima pengiktirafan daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dengan gelaran ‘Orang Warisan’, suatu penghormatan yang mengukuhkan lagi kedudukan dan pengaruh beliau dalam dunia seni tradisional dalam dan luar negara.

Awang Batil merupakan satu seni persembahan tradisional masyarakat Melayu di Perlis yang sering menjadi penghias suasana dalam majlis-majlis seperti kenduri dan perayaan. Lazimnya, jalan cerita Awang Batil mempunyai unsur hiburan dan jenaka serta dikuatkan lagi dengan penampilannya dalam pakaian tradisional pelbagai warna yang diperagakan dengan serban besar serta memakai topeng atau hiasan muka. Keunikan persembahan Awang Batil ditambahkan lagi dengan irama bunyi yang dimainkan menggunakan batil, sejenis belanga diperbuat daripada tembaga.

Awang Batil berperanan sebagai pencerita dan penghibur masyarakat yang menjadikannya tidak hanya suatu watak dalam cerita rakyat tetapi menjadi sebahagian daripada identiti budaya Melayu. Persembahan Awang Batil pada masa kini tidak begitu diminati generasi muda dan dikhuatiri akan mengalami proses kepupusan jika tiada perancangan untuk menyuntik unsur baharu dan moden pada persembahan ini.

Usaha memodenkan persembahan Awang Batil melalui proses pendigitalan menggunakan teknologi digital seperti penggunaan MetaHuman atau meta manusia berupaya menjadi pemangkin untuk persembahan Awang Batil kekal relevan di era digital. Teknologi meta manusia merupakan perisian dibangunkan Unreal Engine, sebuah syarikat yang membangunkan pembuatan avatar digital bagi mewujudkan visual realiti.

Teknologi ini dimanfaatkan dalam pembuatan filem, permainan video dan aplikasi realiti maya (VR) bagi memberi kesan mendalam pada aspek penampilan, ekspresi dan gerakan. Syarikat Lightstorm Entertainment, milik pengarah filem Titanic dan Avatar, James Cameron antara syarikat terawal yang menerokai penggunaan teknologi meta manusia dalam penghasilan filem Avatar untuk menghidupkan watak-watak fiksyen masyarakat Na’vi dalam filem itu.

PLAYSTATION 5

Kebolehan MetaHuman membolehkan watak imaginasi seorang penulis dapat dihidupkan menerusi bantuan teknologi digital bagi kelihatan realistik dan berekspresi. Walaupun teknologi manusia meta masih baharu dan tidak digunakan secara komersial di Malaysia, ia telah digunakan secara meluas dalam industri permainan video seperti Red Dead Redemption 2 bagi permainan video Playstation 5. Selain permainan video ini, permainan video Death Stranding 2 yang dibangunkan Kojima Productions, turut memperlihatkan keupayaan mencipta watak manusia yang kelihatan hidup di alam nyata.

Penggunaan teknologi meta manusia dilihat mampu menginovasikan persembahan Awang Batil supaya kekal relevan dalam kalangan generasi muda. Melihat pada jumlah penyertaan anak-anak muda dalam penggunaan platform kecerdasan buatan seperti Midjourney, ChatGPT dan sebagainya, anak-anak muda di Malaysia yang menceburi bidang tersebut sebenarnya mempunyai keupayaan menghasilkan teknologi digital yang sama dan berkualiti.

Pendekatan sedemikian menyediakan ruang integrasi moden antara penonton dan pelakon menerusi teknologi realiti maya. Ia juga dapat membantu menyampaikan mesej dengan lebih berkesan menerusi penggunaan format yang lebih menarik dan sesuai dengan selera generasi kini.

Proses pendigitalan seni budaya tradisional dapat meningkatkan lagi nilai daya saing serta membawa cerita-cerita rakyat dan legenda Melayu ke dalam dunia yang lebih hidup dan berwarna-warni. Menerusi pendekatan ini, penggiat seni seperti Romli Mahmud akan kekal relevan dan dihargai oleh generasi muda dan keunikan seni persembahan Awang Batil akan dapat juga dihayati oleh peminat seni antarabangsa melalui tontonan dalam talian. Pendekatan ini turut menjadi pemangkin ke arah mewujudkan kesinambungan seni persembahan tradisional di luar rantau ASEAN.

Kesimpulannya, pendekatan baharu dalam menggabungkan seni tradisi dengan dunia digital membuka peluang untuk anak-anak muda berganding bahu dengan penggiat seni tempatan menghasilkan kandungan-kandungan digital bagi memelihara keunikan dan keaslian warisan budaya masyarakat Melayu. Dalam masa sama, mereka kembali mengenali dan menghargai budaya tempatan sendiri. – UTUSAN

PENULIS ialah Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Produk Seni Budaya, Jabatan Kebudyaan & Kesenian Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×