PRK Kemaman bukti UMNO dalam bahaya jika terus bersama DAP

PRK Kemaman bukti UMNO dalam bahaya jika terus bersama DAP

JIKA pengundi UMNO, DAP, PKR dan Amanah keluar mengundi dalam PRK Kemaman 2 Disember lalu, maka calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (kiri) dikatakan tidak sepatutnya hanya memperoleh 27,778 undi tetapi berada dalam lingkungan 46,875 undi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA pihak memperkecilkan majoriti 37,220 undi diperoleh calon Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman dengan menyifatkannya tidak sebesar majoriti sebahagian calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022.

Calon-calon PH ini seperti Gobind Singh Deo yang menang majoriti 124,619 undi di Damansara, V. Ganabatirau majoriti 91,801 undi di Klang, Datuk Seri Mohamad Sabu majoriti 73,998 undi di Kota Raja atau Syahredzan Johan majoriti 69,701 undi di Bangi.

Tindakan memperkecilkan majoriti kemenangan Ahmad Samsuri begini tidak bagus kerana Damansara, Klang, Kota Raja dan Bangi adalah kawasan majoriti pengundi bukan Melayu yang sentiasa menjadi kubu kuat PH.

Dalam PRU14 pada 9 Mei 2018 pun calon-calon PH menang dengan majoriti besar di situ, iaitu Tony Pua di Damansara (106,903 undi), Charles Santiago di Klang (78,773 undi), Mohamad di Kota Raja (71,142 undi) atau Dr. Ong Kian Ming di Bangi (68,768 undi).

Apa yang lebih penting diperhatikan ialah tahap perubahan dalam undi majoriti antara sesuatu PRU atau PRK di kawasan majoriti pengundi Melayu kerana pengundi Melayu adalah tonggak kepada politik Malaysia.

Tahap perubahan dalam undi majoriti di Damansara, Klang, Kota Raja dan Bangi antara PRU15 dan PRU14 tidak banyak berubah, malah pertambahan majoriti di Kota Raja hanyalah 2,856 undi manakala di Bangi sebanyak 933 undi.
Sebaliknya, tahap perubahan dalam undi majoriti di Kemaman adalah besar daripada 27,179 undi (PRU15) menjadi 37,220 undi (PRK setahun selepas PRU15).

Ini memberikan bayangan bahawa kemasukan UMNO/Barisan Nasional (BN) ke dalam Kerajaan Perpaduan bersama-sama PH yang termasuk di dalamnya DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) tidak menguntungkan UMNO sebaliknya memberi kesan negatif kepada parti itu.

Pada PRU15, undi calon BN, Datuk Seri Ahmad Said ialah 38,535, manakala undi calon PH, Hasuni Sudin 8,340. Jika pengundi UMNO, DAP, PKR dan Amanah keluar mengundi, maka calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor tidak sepatutnya hanya memperoleh 27,778 undi tetapi berada dalam lingkungan 46,875 undi.

Apa yang berlaku ialah sama ada pengundi UMNO dalam PRU15 tidak keluar mengundi atau tidak mengundi Raja Mohamed Affandi kerana tidak bersetuju dengan kerjasama BN-PH atau pengundi PH tidak keluar mengundi atau tidak mengundi Raja Mohamed Affandi atas sebab-sebab yang hanya mereka sahaja tahu.

REFERENDUM
Walau apa pun puncanya, kehilangan 19,097 undi kepada BN-PH dalam tempoh kira-kira setahun adalah perkara besar dan boleh menjejaskan kestabilan kerajaan perpaduan.

Jangan lupa, kejatuhan kerajaan PH pada 24 Februari 2020 bertitik tolak daripada keputusan PRK Tanjung Piai pada 16 November 2019 yang meyakinkan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) waktu itu bahawa keberadaan mereka bersama DAP dalam PH boleh membawa bala besar kepada parti mereka dalam PRU15 sekali gus mendorong mereka menarik diri dari PH.

Dalam PRU14, calon Bersatu, Datuk Dr. Mohamed Farid Md. Rafik menang dengan majoriti 524 undi di Tanjung Piai, tetapi dalam PRK tersebut, calon Bersatu, Karmaine Sardini kalah dengan majoriti 15,086 undi.

Ini mengulangi keputusan PRK Semenyih pada 2 Mac 2019 dalam mana calon Bersatu, Aiman Zainali, kalah dengan majoriti 1,914 undi walaupun calon Bersatu, Bakhtiar Mohd. Nor menang dengan majoriti 8,964 undi dalam PRU14. Calon Bersatu kalah di peti-peti undi majoriti Melayu dalam kedua-dua PRK ini.

Perkara sama tidak mustahil berlaku kerana dalam kalangan beberapa penyokong dan pemimpin UMNO, sudah ada cakap-cakap bahawa parti itu perlu memikirkan semula dengan lebih serius keberadaannya bersama DAP dalam kerajaan perpaduan yang dikira merugikan mereka. PH dikira hanya memerlukan UMNO untuk kelangsungan kerajaan perpaduan tetapi pada masa sama tidak mahu melihat UMNO kuat sehingga boleh mengatasi kekuatan PH.

Terdapat spekulasi UMNO dalam bahaya, akan mengalami penolakan lebih besar dalam kalangan pengundi Melayu jika ia terus bergabung dengan PH dan DAP dalam kerajaan perpaduan. Bila UMNO berada dalam kerajaan perpaduan, pemimpinnya tidak boleh lari daripada terpalit dengan segala kritikan yang dilemparkan kepada kerajaan perpaduan.

DAP dengan pendirian dan sikapnya pula terus ditolak oleh pengundi Melayu termasuk antaranya ketidaksenangan pemimpinnya dengan Minggu Solidariti Palestin dan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah seluruh negara. Pemimpin DAP seperti Tan Sri Lim Kit Siang pula terus-terusan membuat kenyataan mengenai ketiadaan halangan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri.

Apakah penolakan besar pengundi Melayu ini memungkinkan adanya ahli-ahli Parlimen kerajaan perpaduan yang mula berfikir untuk mengambil langkah lebih berani bagi meninggalkan blok Kerajaan Perpaduan sebelum ia mula karam? Hanya masa akan menentukan.-UTUSAN

DR. Mukhtaruddin Musa ialah Pengarah Bahagian Penyelidikan Yayasan Strategik Lestari (YSL).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×