DALAM kejohanan Sukan Asia 2023 di Hangzhou, China, Oktober lalu, Malaysia mendapat enam pingat emas dan berada di tangga ke-14 secara keseluruhan. Turun satu daripada tujuh pingat emas yang diperolehi di Jakarta-Palembang pada 2018 serta kekal di tangga ke-14.
Dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara, kedudukan kita adalah ketiga di belakang Thailand dan Indonesia. Perkara ini tidak menghairankan kerana budaya bersukan dalam kalangan rakyat Malaysia juga semakin menyederhana dari mata 53.1 (2018) kepada mata 52.0 (2022) mengikut kajian oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia.
Tambahan daripada itu, Malaysia adalah negara paling obes dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara dengan 15.6 peratus mengikut Tinjauan Populasi Dunia. Daripada angka ini, wanita dewasa memiliki pecahan tertinggi, iaitu 18.64 peratus berbanding lelaki dewasa, kanak-kanak lelaki dan wanita mengikut Pengesan Obesiti Global. Malahan dijangkakan pada 2035, sebanyak 41 peratus rakyat Malaysia akan menjadi obes.
Apakah itu obesiti? Obesiti adalah kadar pengumpulan lemak yang tidak normal atau berlebihan di dalam badan yang membawa risiko kepada kesihatan. Obesiti memiliki tiga kesan buruk iaitu masalah kesihatan, meningkatkan kos kesihatan dan menjejaskan ekonomi negara. Terdapat lebih daripada 200 penyakit yang dikaitkan dengan obesiti. Antaranya darah tinggi, kolesterol tinggi, kencing manis dan penyakit kardiovaskular. Obesiti boleh menyebabkan pengurangan kadar produktiviti pekerja, peningkatan kadar tidak hadir bertugas dan kenaikan perbelanjaan tahunan.
Dari segi ekonomi negara, pada 2017, kos rawatan penyakit yang berpunca daripada obesiti dianggarkan sebanyak RM17 bilion daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Kajian sebelum ini mendapati sekurang-kurangnya lapan faktor yang menyebabkan obesiti ini berlaku.
Faktor-faktor tersebut adalah kurang aktiviti fizikal; amalan diet kurang sihat; pengambilan kalori berlebihan; polisi mengutamakan perniagaan dan perdagangan; amalan persekitaran; keadaan perubatan; urbanisasi; kurangnya pengiktirafan; dan keturunan. Namun dua faktor utama yang boleh dikawal adalah kurangnya aktiviti fizikal dan amalan pemakanan sihat.
Oleh itu, bagaimana hendak mengatasi isu ini? Bagi saya, kita boleh mengatasinya dengan meningkatkan aktiviti fizikal dan mengawal pemakanan. Di Malaysia, kedua-dua aktiviti ini telah pun digariskan di bawah Dasar Sukan Negara 1999 dan 2009 serta Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia 2003 dan 2021.
SERANGAN JANTUNG, STROK
Bagi mencapai kedua-dua dasar tersebut, peruntukan kewangan diberikan melalui Rancangan Malaysia. Antara program yang dilaksanakan melalui Dasar Sukan Negara adalah Program 1Murid 1Sukan, Hari Sukan Negara dan Fit Malaysia manakala Dasar Pemakanan Kebangsaan diwujudkan kerana kematian disebabkan penyakit tidak berjangkit semakin meningkat dalam kalangan rakyat. Penyakit tidak berjangkit ini adalah penyakit kardiovaskular (seperti serangan jantung dan strok), kanser, pernafasan kronik (seperti penyakit pulmonari obstruktif kronik dan asma) serta diabetes.
Di peringkat individu, penyelesaian praktikal bagi isu obesiti adalah lebih mudah iaitu mengamalkan gaya hidup sihat. Gaya hidup sihat termasuk melakukan latihan fizikal yang kerap, mengatur tabiat tidur, mengamalkan pemakanan seimbang dan mengawal masa di skrin gajet. Kelebihan kerap mengadakan latihan fizikal sememangnya tidak dapat dinafikan. Dengan melaksanakan latihan fizikal, badan kita akan lebih cergas. Apabila badan cergas, kita akan berasa lebih tenang, kurang tertekan, lebih muda kerana proses penuaan menjadi perlahan dan produktif di tempat kerja.
Masa yang paling optimal untuk latihan fizikal mengikut Jurnal Obesiti 2023 adalah waktu pagi antara pukul 7 hingga 9. Jenis latihan fizikal terpulang kepada pilihan masing-masing, yang penting dapat mengeluarkan peluh. Antara latihan fizikal yang mudah adalah bersenam, berjalan, berenang dan berjoging.
Selain mengadakan latihan fizikal yang kerap, penting untuk kita mengawal pemakanan. Pemakanan terkawal melindungi kita daripada penyakit tidak berjangkit. Mengikut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), pemakanan yang sihat terdiri daripada empat jenis iaitu makanan ruji seperti beras, barli dan gandum; kekacang; sayuran; dan buah-buahan serta makanan daripada haiwan seperti daging, ikan, susu dan telur.
Universiti Harvard turut menggariskan pemakanan seimbang terdiri daripada separuh pinggan sayuran dan buah-buahan; suku pinggan bijirin serta suku pinggan protein; makanan disediakan menggunakan minyak tumbuhan secara sederhana; dan meminum air kosong, teh atau kopi.
Kesimpulannya, bagi meningkatkan kecemerlangan sukan negara, seharusnya rakyat mulakan dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat. Semoga dengan peningkatan jumlah rakyat sihat dan cergas dapat mewujudkan kumpulan bakat yang lebih ramai untuk dipilih bagi mewakili negara di peringkat tertinggi. Sekiranya tidak sampai ke peringkat tertinggi, sekurang-kurangnya negara kita memiliki jumlah pekerja sihat dan cergas yang lebih tinggi. Ini seterusnya dapat menjadi pemangkin kepada produktiviti negara agar lebih kompetitif dan berdaya saing. – UTUSAN
DR. Salehuddin Md. Dahlan ialah Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Kandungan Program Penilaian Kepimpinan Primer, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).










