Kenapa seramik buatan tangan malar segar? - Utusan Malaysia

Kenapa seramik buatan tangan malar segar?

Barangan seramik perlu melalui proses pengeringan sebelum dibakar dalam tanur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seramik bahan ekpresi seni sarat dengan sejarah yang panjang. Ia digunakan dalam pelbagai tujuan dan dihasilkan dengan pelbagai kaedah pembuatan.

Perkembanganya sangat pesat dan bersifat automatik dengan bantuan teknologi terkini.

Industri pembuatan seramik kian matang malah pengeluaran peralatan atau barangan seramik kini lebih sempurna dan kurang faktor kecacatan serta pembaziran dalam pengeluaran yang bersifat massa.

Yang mana ia mampu menghasilkan barangan seramik sangat ringan, seragam, tanpa kecacatan, seterusnya mampu menghasilkan barangan seramik murah dan berfungsi dengan baik.

Relevankah pengusaha seramik menghasilkan barangan seramik secara buatan tangan yang memakan masa dan mempunyai ciri-ciri ketidaksempurnaan dalam penghasilannya?

Dengan mengambil kira teknologi moden kini yang semakin sempurna adakah seramik buatan tangan ini masih signifikan?

1. Seramik dan makanan
Seramik buatan tangan merujuk kepada objek atau barangan dihasilkan tangan seseorang yang berkemahiran melalui proses memanipulasi bahan mentahnya iaitu tanah liat. Pembuatannya tidak hanya tertumpu kepada faktor keperluan ‘utiliti’ dan hanya sebagai satu ‘platform’ untuk makanan disajikan sahaja, sebaliknya merangsang pengalaman artistik dalam merasa, melihat dan seterusnya menikmati makanan disajikan di atasnya.

Kesan-kesan jari (fingermarks) terdapat pada seramik buatan tangan ini secara tidak langsung memberikan nilai estetika secara visual dan melengkapkan presentasi makanan dihidangkan.

Apabila kita menggunapakai barangan seramik buatan tangan ini, kita menjadi lebih sensitif dengan karekteristik barangan tersebut. Bukan sahaja rasa sentuhan dan tekstur di permukaan tetapi juga kepada berat seramik tersebut sebagai tambahan kepada pengalaman artistik.

Makanan dihidangkan di atas seramik buatan tangan, mempengaruhi visual sekali gus merangsang deria rasa. Pengalaman ini kurang berlaku pada seramik dihasilkan dengan pengeluaran massa.

Proses pembuatan seramik yang memakan masa ini, seolah-olah boleh disamakan dengan proses penyediaan makanan itu sendiri yang memerlukan kemahiran, ketelitan dan tumpuan.

2. Tekun hasilnya
Pembuatannya memerlukan ketekunan, kemahiran dan tumpuan yang teliti dan cermat. Prosesnya bermula daripada penyediaan tanah liat yang melibatkan proses pengulian tanah liat dengan teliti bagi memastikan tiada buih udara (air bubble) di dalamnya. Ia bagi memastikan proses pembentukan yang lancar dan tanah liat tersebut menjadi mudah lentur.

Proses awal ini sangat penting kerana akan mempengaruhi kemampuan dan keupayaan (workability) tanah liat dalam penghasilan yang terakhir.
Seniman atau pengkarya memulakan proses pembentukan barangan seramik dengan menggunakan alatan tertentu.

Di sinilah bermulanya kreativiti dan kemahiran pengkarya itu diterjemahkan melalui medium tanah liat.

Apabila barangan yang dihasilkan itu betul-betul kering, barangan akan dimasukkan ke dalam tanur bagi tujuan pembakaran bisque.

Tanah liat yang melalui proses pembakaran dengan suhu tertentu akan berubah menjadi keras dan dipanggil seramik.

Suhu dan jangka masa pembakaran memberi kesan terhadap barangan tersebut.

Lebih tinggi suhu yang dikenakan, barangan akan menjadi lebih keras dan tahan lama.

Suhu yang lebih rendah, menjadikan barangan tersebut lebih rapuh dan poros.

Biasanya suhu dan cara pembakaran, bergantung kepada keselesaan dan pengalaman pengkarya.

Seterusnya barangan seramik akan disapukan gerlis dan dibakar semula bagi tujuan kemasan akhir.

Gerlis ialah selapisan nipis kaca di letakkan di permukaan barangan seramik bagi tujuan ketahanan, dekorasi dan juga tujuan kalis kelembapan.

Ia boleh dikenakan di permukaan barangan seramik dalam pelbagai warna, tekstur dan stail mengikut kehendak pengkarya.

Pengkarya berpengalaman dan berkemahiran tinggi mampu menghasilkan pelbagai jenis gerlis yang mampu menjadikan barangan seramik lebih menarik dan bernilai tinggi.

Satu ciri penting dan utama bagi seramik buatan tangan ini ialah setiap satu barangan yang dihasilkan bersifat unik. Hal ini menjadikan hasil seramik ini bukan sahaja sebagai satu karya seni malahan memberikan suatu perasaan istimewa dan bermakna kepada yang memilikinya.

3. Terapi diri
Seramik buatan tangan turut mampu berfungsi sebagai terapi dan boleh juga dianggap suatu meditasi melalui keunikan prosesnya.

Proses pengulangan semasa membentuk tanah liat menjadi hasil seramik, memberikan ketenangan buat pengkarya.

Selain fokus, minda perlu tenang dan jelas sewaktu berkarya.

Kemajuan teknologi seramik yang dihasilkan melalui pengeluaran massa yang moden, tidak melunturkan tradisi pembuatan seramik buatan tangan.

Ia sentiasa mendapat tempat di hati peminatnya dan kekal relevan sepanjang zaman.

Pengkarya-pengkarya seramik buatan tangan ini akan sentiasa mencipta dan menghasilkan karya dan barangan seramik yang unik dengan menggunakan teknik yang diwarisi berkurun-kurun lamanya dan semestinya tak lapuk dek zaman.

—-
Khairul Nizan Mohd. Aris adalah Pensyarah Kanan dan Pengamal Industri Seramik, UiTM Shah Alam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×