BILA disebut tentang permata, sudah pasti kita membayangkan sesuatu yang bernilai tinggi dan berharga. Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk didapati serta memberi sinar kepada empunya. Namun, apa dimaksudkan sebagai mahasiswa permata negara pula adalah bagaimana kita melihat golongan mahasiswa khususnya yang bakal bergelar graduan menjadi suatu golongan harapan buat negara kita.
Jika tiada golongan ini, mana mungkin negara kita mampu mempunyai para cendekiawan hebat mahupun pakar serta profesional dalam pelbagai bidang dan sektor yang wujud. Oleh kerana itulah mahasiswa perlu dilihat sebagai satu permata yang berharga buat negara kita.
Kendatipun begitu, realiti hari ini, adakah benar bahawa graduan dilahirkan hari ini nilainya setara dengan kebolehan yang disumbangkan kepada tempatnya berkhidmat? Persoalan ini perlu dilihat dalam konteks pekerjaan ditawarkan kepada golongan ini sama ada berbaloikah purata gaji yang diterima oleh mereka.
Melihat kepada keadaan ini, perhatian saya tertumpu pada satu kenyataan yang disebutkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam ucapannya ketika merasmikan Persidangan Pasaran Kerja Graduan (PPKG), baru-baru ini, “Universiti perlu memfokuskan kepada bagaimana hendak memastikan graduan mendapat gaji premium RM4,000 sebulan. Ini adalah satu usaha bertepatan dalam hendak menyelesaikan persoalan adakah graduan menerima gaji yang setimpal dengan apa yang mereka ada seterusnya mengangkat nilai permata negara ini ke arah yang lebih baik.”
GAJI PREMIUM
Seiring dengan cabaran ekonomi waktu kini dan perlunya satu anjakan paradigma dalam menyelesaikan masalah pendapatan rakyat, garisan rujukan bagi tangga gaji sesuai kepada lepasan universiti yang akan bekerja dijadikan sebagai matlamat utama membangunkan nilai hidup rakyat bermaruah. Fokus untuk memastikan graduan ini mendapat gaji premium tidak boleh tertumpu pada kelompok-kelompok tertentu. Namun, perlu untuk diperluaskan kepada semua graduan mengikut kepada kesesuaian bidang mereka.
Menetapkan gaji premium semata-mata sudah pastinya tidak akan berkesan jika para graduan tidak dipadankan dengan pekerjaan yang sesuai dengan mereka. Oleh demikian, antara inisiatif dilakukan juga termasuklah mewujudkan satu platform digital Pengurusan Kebolehpasaran Graduan (GEM) yang membolehkan pengguna terutamanya graduan lepasan universiti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memohon peluang latihan amali dan pekerjaan serta memudahkan industri mengenal pasti siswazah yang memenuhi kriteria.
Inisiatif ini juga diharapkan dapat membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan untuk mencari tempat kerja yang sesuai, termasuk menangani isu ketidaksepadanan pekerjaan dengan kemahiran, gaji permulaan, nilai tambah dan pelbagai lagi. Kami di peringkat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) juga merasakan bahawa sudah tiba masanya untuk KPT dan universiti lebih memfokuskan kepada meningkatkan nilai hidup graduan dengan bayaran yang lebih bermaruah demi menjamin kelangsungan kehidupan baharu mereka setelah tamat belajar.
Dalam konteks ini, nilai graduan tidak hanya dapat diukur dari segi akademik, tetapi juga dampak positif yang mereka berikan pada pembangunan negara. Mahasiswa permata negara harus dianggap sebagai pelaburan jangka panjang yang nilai sumbanganya dapat terus berkembang seiring waktu.
Dengan meningkatnya fokus pada peningkatan nilai graduan, kita dapat memastikan bahawa mahasiswa permata negara tidak hanya memberikan sinar pada masa sekarang, tetapi juga menjadi penyuluh kepada masa depan negara yang lebih cerah. – UTUSAN
PENULIS ialah Setiausaha Kerja Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK).










