SHAH ALAM: Pengorbanan graduan orang kurang upaya (OKU) yang memandu sendirian selama dua jam dari rumah untuk menghadiri kuliah pada setiap minggu amat berbaloi apabila berjaya menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Norfarrah Syahirah Shaari yang merupakan pempengaruh dalam media sosial merupakan satu-satunya OKU tanpa kedua-dua belah tangannya bergraduasi dalam bidang Diploma Pentadbiran Awam dari UiTM Kampus Seri Iskandar, Perak.
Menurutnya yang memulakan pengajian pada 2017 secara separuh masa itu, impiannya untuk memiliki kelulusan peringkat pengajian tinggi hanya bermula selepas dia memiliki sebuah kereta.
Malah, hajat tersebut dipendam wanita bertubuh kecil itu sejak tamat persekolahan pada 2005 selepas menyedari kekurangan dialami menyukarkannya untuk bergerak apatah lagi menempuh perjalanan selama dua jam dari Bagan Datuk ke Seri Iskandar.
“Itu cabaran terbesar saya dalam keadaan begini. Jadi pada awalnya saya cuma pendam hasrat dan memilih untuk bekerja sebagai pembantu tadbir dekat Kolej Komuniti Teluk Intan sehinggalah dapat membeli sebuah kereta.
“Kemudian yang menjadi pembakar semangat untuk saya sambung pengajian adalah melihat kawan-kawan yang bergraduasi serta individu senasib seperti saya yang mampu menamatkan pengajian sehingga peringkat lebih tinggi, jadi kenapa saya tidak?,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tambahnya, kejayaan menamatkan pengajian bukanlah langkahnya seorang diri tetapi berterusan menerima dorongan daripada kedua orang tuanya, adik beradik, para pensyarah dan rakan-rakan.
Terdahulu, Norfarrah Syahirah, 35, menjadi graduan terakhir dan tumpuan ramai pada sidang akhir Istiadat Konvokesyen Ke-98 UiTM dekat Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) di UiTM Shah Alam dan menerima diplomanya kelmarin daripada Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibudin.
Anak ke lapan daripada sembilan beradik itu baru mendirikan rumah tangga pada Julai lalu dengan pasangan pilihan hatinya, Zulfadli Syahrul, 33, yang turut hadir bersama ibunya, Naimah Yusup menyaksikan detik istimewa dia menyarung jubah dan menaiki pentas konvokesyen.
Mengulas perancangannya pada masa hadapan, Norfarrah berhasrat untuk meneruskan pengajian ke peringkat sarjana muda, namun masih memikirkan bidang yang sesuai dan diminati.
“Selain itu, saya pun baru berkahwin jadi saya kena sesuaikan juga dengan tanggungjawab sebagai isteri apatah lagi bila ada anak nanti. Bagaimanapun saya tetap akan menyambung pengajian kerana itu cita-cita dan mahukan peningkatan dalam kerjaya.
“Terima kasih kepada semua yang banyak mendorong saya, membantu secara langsung dan tidak langsung, terutama ibu bapa yang sentiasa mendoakan saya, pensyarah yang tidak jemu memberi nasihat. Semua itu amat membantu memudahkan pengajian saya,” ujarnya. – UTUSAN










