Peruntukan Persekutuan, Muhyiddin malu runding dengan

Muhyiddin malu runding peruntukan Persekutuan dengan Anwar -Puad

MOHD. PUAD ZARKASHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa malu sekiranya PN mahu berunding dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan dengan peruntukan wakil rakyat gabungan itu. 

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyifatkan perkara itu dalam satu hantaran di Facebook ketika membangkitkan persoalan kenapa PN tidak mahu berunding. 

“Sudah tentu Muhyiddin malu jika PN berunding dengan Anwar Ibrahim pasal peruntukan wakil rakyat PN. Muhyiddin lebih rela tanggung risiko Ahli Parlimen Parti Bersatu sokong Anwar Ibrahim. 

“Lagi pun PN masih bernafsu untuk ambil alih Putrajaya melalui pintu belakang. Muhyiddin juga yakin dia boleh kembali jadi Perdana Menteri. Maka apa perlunya berunding?

“Tetapi paling pokok, Muhyiddin rasa amat aib dengan UMNO. Berunding dengan Anwar umpama mengemis pada UMNO kerana UMNO adalah ‘co pilot’ Kerajaan Perpaduan. Dia tahu UMNO bukan penumpang,” dakwanya. 

Sebelum ini, isu peruntukan ahli Parlimen pembangkang menjadi perdebatan hangat di Dewan Rakyat selain menjadi antara faktor utama lima ahli Parlimen daripada Parti Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri. 

Anwar sebelum ini menegaskan, beliau tidak pernah meletakkan syarat kepada mana-mana ahli Parlimen supaya mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan jika mahu mendapatkan peruntukan. 

Sebaliknya, kata Perdana Menteri, beliau hanya meminta pihak pembangkang untuk mengadakan rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof tetapi setakat ini belum ada perundingan rasmi dilakukan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×