Mengharap Kemaman bertambah ‘nyaman’

Mengharap Kemaman bertambah ‘nyaman’

DARI aspek ukhuwah dan penyatuan ummah, pengundi Kemaman boleh sahaja memilih parti yang dapat merentasi perbezaan jenama bagi menampilkan semangat melebarkan persahabatan. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DESIRAN ombak menghempas pantai, bersama deru bayu menghembus nyaman, dijajari persekitaran berbukit bukau, menjadikan Kemaman yang terletak di persisiran Laut China Selatan antara daerah paling segar dan indah di Semenanjung.

Segar dari segi persekitaran alam, namun dikatakan akan lebih ‘nyaman’ dan menarik jika suasana politiknya berpaut pula pada yang bertunjang kukuh, berdahan merimbun.

Pihak yang mengungkap kata-kata ini menjuruskan pengertiannya kepada politik yang berlatar belakangkan pemegang kuasa di peringkat Pusat. Ini memudahkan lagi Kemaman dibangun dan dimajukan sesuai dengan asas sumber yang ada di daerah itu. Potensi memajukan Kemaman amat besar. Semua orang tahu, Kemaman merupakan ‘bandar minyak’ utama di Semenanjung.

Malah, ada yang mengandaikan Kemaman akan mendapat lebih tumpuan jika di situ akan wujud sebagai satu-satunya kawasan di Terengganu yang politiknya selari dengan peneraju politik Persekutuan. Jika tidak, Terengganu seolah-olah terus menutup pintu secara abstraknya untuk berada pada situasi ‘seimbang’ dengan aspirasi kerajaan Pusat.

Bukan bermaksud menimbulkan isu ‘menganak-tiri’, tetapi treatment tetap berbeza. Aliran kerjasama dan pengurusannya tentulah lebih mudah.

Apa pun, terpulang kepada rakyat Kemaman membuat pilihan pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Sabtu ini.

Huraian biasa yang dapat dicatat, arena politik kepartian bukan baharu bagi rakyat Malaysia. Dengan warna dapat dibeza lambang, dengan slogan dapat dibezakan ketulenan dan dengan keberkesanan boleh dibezakan keupayaan.

Seruan yang selalu didengar, “Pilihlah parti yang mempunyai bukti kemampuan mentadbir urus negeri dan negara dengan berkesan dan menepati keperluan rakyat.” Janji perlu berupaya ditunai dan ditepati. Kehidupan semakin berhadapan ujian dan cabaran. Masa berlalu tidak perlu dipersia-siakan dengan retorik dan sekadar slogan menyedapkan pertuturan.

Satu sudut lagi yang perlu dilihat ialah kecenderungan mencari kemenangan dengan memburuk-burukkan lawan. Lihat pada realiti, bukan pada kata dan caci. Pihak yang suka mencari-cari kesalahan orang lain belum tentu melambangkan pihaknya lebih bagus dan berupaya. Jadi, jangan mudah tertipu dan terpesona.

UKHUWAH

Beberapa isyarat dapat dihantar oleh pengundi Kemaman pada PRK ini. Dari aspek ukhuwah dan penyatuan ummah, mereka boleh sahaja memilih parti yang dapat merentasi perbezaan jenama bagi menampilkan semangat melebarkan persahabatan. Boleh mempamerkan sikap mahu saling berkerjasama. Tambah lagi, hanya berbeza pada jenama tetapi tetap berlandaskan sebangsa dan seagama.

Perkembangan semasa dunia sepatutnya memberi banyak pengajaran dan peringatan. Cukup-cukuplah dengan sengketa dan pertelagahan. Waspada dan insafi keperluan sebenar khususnya dalam aspek penyatuan ummah demi jaminan survival masa kini dan masa depan. Bersatu padu sesama sebangsa seagama, bukan bermakna untuk memusuhi sesiapa. Namun, terimalah hakikat bahawa kekuatan hanya boleh dibina atas nama saling bersefahaman dan bekerjasama.

Tidak salah memberi laluan kepada tokoh yang belum ada jawatan dalam politik. Ini boleh memberi peluang yang lebih mudah bagi seseorang bergelar Yang Berhormat menjalankan tugas secara lancar dan efisien. Tegasnya, walaupun bukan suatu hal yang asing, namun pemerhati politik berpendapat, pertindihan tugas dibimbangi boleh mengakibatkan terjejas tumpuan di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.

Mengenai kerusi Parlimen, semakin banyak yang memihak kepada kerajaan memerintah, semakin tinggi keyakinan umum termasuk dunia luar terhadap kestabilan politik negara. Pelabur asing tentu lebih berminat melabur di negara yang iklim politiknya segar dan stabil. Pelaburan merupakan sektor penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi negara selain menawarkan banyak peluang pekerjaan kepada warga tempatan.

Agenda pembangunan negara seperti terkandung dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) serta perancangan yang mengiringi Belanjawan 2024 memerlukan asas sebuah kerajaan kukuh dan stabil agar segalanya dapat dilaksana dan dijayakan dengan berkesan.

Terus-terusan membesarkan perbezaan tidak menemukan titik penyelesaian yang menguntungkan sesiapa.

Justeru, rebut sahajalah mana-mana peluang ke arah merapatkan perhubungan sesama sendiri. Apa salah jika kedatangan tahun baharu 2024 membawa suasana baharu dalam konteks kerjasama politik? Dan isyarat sinar baharu itu mungkin boleh bermula pada PRK Kemaman, Sabtu ini. Terserahlah! Bayangkan yang indah, hargai yang ada. Ketepikan soal bertelagah, kestabilan negara perlu diutamakan. – UTUSAN

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×