Dekati ulama sementara nampak - Utusan Malaysia

Dekati ulama sementara nampak

Penjagaan ilmu berlaku dengan cara mengulangkaji, beramal dengan ilmu yang ditimba dan bertakwa kepada Allah. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“TUAI padi antara masak. Esok jangan layu-layuan. Intai kami sementara nampak. Esok jangan rindu-rinduan”. 

Gurindam ini mengingatkan kita jangan melepaskan peluang untuk berkasih dan mengambil manfaat daripada seseorang kerana pasti apabila sampai masanya dia akan meninggalkan kita buat selama-lamanya. 

Mungkin orang mengira insan yang dimaksudkan di dalam pantun tradisional itu adalah sepasang kekasih. 

Namun bagi saya, para ulama adalah lebih utama untuk diperlakukan seperti diminta dalam pantun klasik ini kerana ada satu hadis Rasulullah SAW yang mengingatkan kita bahawa rebutlah peluang mendampingi ilmu dan ulama kerana akan datang waktu ilmu akan digenggam semula oleh Allah SWT. 

Hadis saya maksudkan adalah yang direkodkan di dalam Sahih al-Bukhari: Daripada (Saidina) Abdullah bin Amr bin al-‘As, beliau telah berkata: Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: 

“Sesungguhnya Allah tidak akan menggenggam ilmu secara cabutan yang Dia mencabutnya daripada para hamba. Sebaliknya Dia akan menggenggam ilmu dengan cara genggaman terhadap para ulama. Sehinggalah apabila Dia tidak mengekalkan seorang ulama pun, [maka ketika itu] manusia telah mengambil kepala-kepala yang bodoh. Lalu mereka telah ditanya lantas mereka pun telah memberikan fatwa tanpa ilmu. Maka mereka telah menjadi sesat dan mereka telah menyesatkan.” 

KETERANGAN HADIS 

Hadis ini menjelaskan bahawa Allah SWT tidak akan menghilangkan ilmu dengan cara Allah menjadikan para ulama lupa terhadap ilmu pengetahuan yang ada pada mereka. 

Sebaliknya Allah akan mencabut dan menghilangkan ilmu dengan cara mengambil nyawa para ulama. 

Akhirnya yang tinggal hanyalah mereka yang jahil dalam hal ehwal agama Islam. 

Ketika itu manusia akan melantik pemimpin daripada kalangan orang jahil sehingga akhirnya pemimpin yang jahil ini memberikan fatwa dan pendirian yang tidak disuluhi dengan cahaya ilmu. 

Natijahnya, pemimpin tersebut sesat daripada kebenaran bahkan mereka turut menyesatkan rakyat mereka daripada berada di atas jalan keredaan tuhan. 

Bicara Rasulullah SAW ini menggalakkan kita selaku umat Islam mengambil peluang dalam menuntut ilmu pengetahuan daripada para ulama. 

Kewujudan para ulama di hadapan mata kita sepatutnya diambil sebagai peluang keemasan dalam meraih dan menadah ilmu sebelum mereka dipanggil pulang oleh Allah SWT. 

Para ulama semestinya didekati dan ditauladani, bukannya diperangi dan dimusuhi. 

HARGAILAH ILMU 

Hadis ini menuntut kita menjaga ilmu dipelajari. Penjagaan ilmu berlaku dengan cara mengulangkaji, beramal dengan ilmu yang ditimba dan bertakwa kepada Allah. 

Al-Imam al-Shafie pernah mengadu kepada guru beliau yang bernama Waki’ tentang lemahnya hafalan beliau. Gurunya meminta agar al-Imam al-Shafie meninggalkan maksiat yang mengundang murka Allah SWT. 

Al-Imam al-Shafie mengabadikan untaian nasihat yang sangat bernilai ini dalam sepotong syair bermaksud: 

Aku mengadu kepada (guruku) Waki’ akan buruknya hafalanku. Maka beliau menunjukkan kepadaku jalan iaitu (dengan cara) meninggalkan maksiat. 

Beliau menyatakan kepadaku bahawa sesungguhnya ilmu adalah cahaya dan cahaya Allah tidak akan dihidayahkan kepada pelaku maksiat. 

AMBIL HUKUM 

Hadis ini turut mengingatkan kita tentang kejahatan orang yang bukan ahli dalam hukum-hakam Islam, namun memandai-mandai memberi fatwa. 

Sedangkan mereka bukanlah orang berautoriti dalam memberikan fatwa dan penjelasan berkenaan dengan hukum syarak. 

Di dalam disiplin ilmu fiqh, orang yang berhak mencari gali hukum-hakam syarak hanyalah ulama yang sampai ke tahap Ijtihad (kepakaran dalam bidang fiqh) yang mereka ini dikenali dengan panggilan ‘mujtahid’ atau ‘faqih’. 

Maka apabila seseorang itu bukanlah orang yang sampai ke tahap Ijtihad, sekalipun dia merupakan seorang ulama, dia tetap wajib merujuk pandangan para fuqaha yang sampai ke tahap Ijtihad. 

Sekiranya seseorang yang bukan mujtahid ketika ingin mengetahui hukum-hakam fiqh terus merujuk kepada al-Quran dan hadis, lalu dia terus berpegang dengan kefahamannya tanpa dia merujuk pandangan para fuqaha terlebih dahulu, dia sebenarnya melakukan kesilapan dalam disiplin ilmu fiqh dan dia termasuk dalam golongan berfatwa tanpa disuluh dengan ilmu. 

Menurut guru saya Fadilah al-Shaykh Sayyid bin Shaltut al-Shafi’iyy: 

Seseorang bukan mujtahid yang terus merujuk al-Quran dan hadis untuk mengetahui hukum fiqh tanpa dia merujuk kepada golongan fuqaha, dia sebenarnya termasuk dalam ancaman membuat pembohongan terhadap Rasulullah SAW. 

Ini kerana apabila seseorang yang tidak layak berijtihad terus mengambil kesimpulan daripada makna yang difahaminya daripada al-Quran dan al-hadis, berkemungkinan makna yang difahaminya bukanlah sebenarnya kehendak Allah dan Rasul-Nya. 

Akhirnya dia mendakwa kefahaman difahaminya merupakan kehendak Allah dan RasulNya, sedangkan yang berlaku mungkin adalah sebaliknya. Inilah makna penipuan terhadap Rasulullah SAW. 

DUA GOLONGAN 

Seruan agar umat Islam tidak berpegang dengan mana-mana mazhab fiqh sebaliknya terus kepada al-Quran dan al-hadis adalah satu seruan yang tidak mendasari ilmu Islam khususnya ilmu Usul al-Fiqh secara dalam dan seakan-akan tidak mengetahui tahap kemampuan manusia dalam berhadapan dalil-dalil fiqh. 

Fadhilah al-Shaykh Prof. Dr. ‘Aliyy bin Jum‘ah iaitu mantan Mufti Kerajaan Mesir pernah mengajak kita agar menginsafi kewujudan perbezaan bagi tahap keilmuan dimiliki oleh manusia dalam berhadapan dalil-dalil syarak. 

Beliau berkata: “Orang awam pada zaman para sahabat dan para tabiin satu ketika dahulu apabila berlaku kepada mereka satu perkara baru atau berlaku kepada mereka sebarang perkara, mereka akan bersegera menuju kepada para sahabat dan para tabiin (yang sampai ke tahap Ijtihad) untuk mereka bertanya kepada para mujtahid tersebut tentang hukum Allah pada perkara yang baru timbul itu. 

“Para mujtahid (pula) menjawab persoalan-persoalan mereka (yang bertanya) tanpa para mujtahid tersebut mempertikaikan tindakan orang awam yang bertanya. Tidak (pula) dinukilkan daripada para mujtahid tersebut bahawa mereka menyuruh individu-individu yang bertanya agar mereka sendiri berijtihad untuk mereka mengetahui hukum.

Maka (apa yang berlaku) itu adalah satu Ijmak daripada para sahabat dan para tabiin bahawa sesiapa yang tidak mampu untuk berijtihad, maka jalan untuk dia mengetahui hukum-hakam adalah (dengan cara) dia bertanya kepada orang yang mampu untuk (berijtihad dalam mengenal pasti) hukum-hakam. Maka tindakan mempertanggungjawabkan masyarakat awam dengan ijtihad adalah satu percanggahan dengan al-Ijmak al-Sukutiyy (yang telah pun berlaku)”. 

Kita perlu menyedari fuqaha Islam sama ada bermazhab dengan mazhab Hanafi, Maliki, Shafie, Hanbali dan sebagainya telah meneliti dalil-dalil fiqh sebelum mereka mengeluarkan pandangan mereka dalam sesuatu masalah fiqh. 

Sekalipun para fuqaha berbeza pendapat dalam sesuatu isu, perbezaan pandangan mereka adalah bertunjangkan dalil-dalil syarak dan bukannya berdasarkan hawa nafsu. 

PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×