PETALING JAYA: Cadangan membentuk jawatankuasa khas bagi memantau guru yang tidak menyokong kerajaan adalah satu tindakan yang salah, tidak masuk akal dan tidak selari dengan matlamat kerajaan dalam pendidikan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang menegur individu yang memberi cadangan berkenaan yang dianggap sebagai tidak demokratik.
Beliau berkata, cadangan adalah sesuatu yang tidak selari dengan matlamat kerajaan di peringkat akhir bagi mewujudkan kebahagiaan kepada rakyat dan dalam konteks ini adalah guru.
“Jangan jadikan guru sebagai isu kerana semasa bertugas dan berada di sekolah, guru sudah terikat dengan peraturan sedia ada iaitu mendokong kerajaan hari ini.
“Ini tidak masuk akal kalau nak tubuh pemerhati pantau guru yang tidak sokong kerajaan.
“Kami tidak tahu petunjuk apa yang digunakan oleh individu tersebut yang menyebabkan beliau memberikan kenyataan tersebut. Jika elemen keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dijadikan kayu ukur, guru hanyalah 430,000 orang daripada 22 juta warga negara yang layak mengundi,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, PKR Johor mencadangkan Kementerian Pendidikan (KPM) membentuk jawatan kuasa khas bagi memantau guru yang tidak menyokong kerajaan.
Perwakilan dari Johor, Haryati Abu Nasir berkata, ini ekoran terdapat aliaran membimbangkan dalam kalangan penjawat awam yang secara terbuka menunjukkan penentangan terhadap kerajaan.
“Kami mohon KPM, ada baiknya wujud jawatan kuasa pemerhati kerana ada aliran membimbangkan dalam kalangan kakitangan yang tak menyebelahi kerajaan perpaduan,” katanya.
Aminuddin berkata, pihak kerajaan perlu terus membuktikan mereka serius dalam usaha menyelesaikan pelbagai isu yang membelenggu profesion keguruan bagi memastikan kaum guru berada dalam status ‘bahagia’ dalam menjalankan tanggungjawab.
Dalam pada itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-GURU), Mohd Azizee Hasan berkata, tiada keperluan untuk tubuh jawatan kuasa khas bagi memantau guru yang tidak menyokong kerajaan dan tindakan ini mengulangi cara lama iaitu politik ugut dan mengancam penjawat awam.
“Hak mengundi dan memilih parti itu adalah hak demokrasi dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen. Jadi perlu ada ruang kebebasan dan hak bersuara itu perlu mengikuti landasan perlembagaan.
“Tugas kerajaan memastikan dasar-dasar itu difahami dan dijayakan oleh semua penjawat awam serta jika ada mana-mana penjawat awam yang melanggar peraturan, pihak kerajaan boleh mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut peraturan tatatertib sedia ada,” katanya ketika dihubungi.
Mohd Azizee berkata, setiap penjawat awam terikat dengan peraturan- peraturan sebagai penjawat awam di bawah Peraturan 21(I), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, pegawai awam dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan mesti mematuhi dasar-dasar dan polisi kerajaan.
“Jadi, tiada keperluan tubuh jawatan kuasa khas kerana sudah ada pekeliling dan peraturan berkaitan menghalang penjawat awam terlibat dengan aktiviti politik atau memakai mana-mana lambang parti politik.
“Jika ada penjawat awam nak aktif politik perlu ikut syarat-syarat yang digariskan dalam peraturan penjawat awam dan tidak perlu tubuh jawatankuasa tersebut,” katanya. – UTUSAN










