Pampasan berkaitan tanah tertinggi di Amanah Raya

Pampasan berkaitan tanah tertinggi di Amanah Raya

AHMAD FEIZAL SULAIMAN KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Amanah Raya Bhd. (Amanah Raya)  sedang melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan dana tertangguh sebanyak RM459 juta setakat 30 September 2023 dapat diserahkan kepada waris yang berhak dengan segera.

Dana tertangguh itu sebahagian besarnya berupa wang pampasan tanah milik si mati.

Untuk rekod, pampasan berkaitan tanah merupakan sumber tertinggi dana tersebut iaitu dengan anggaran sebanyak RM285 juta (62 peratus).

Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya, Ahmad Feizal Sulaiman Khan berkata, masalah pengagihan berlaku disebabkan maklumat lengkap mengenai penerima atau waris kepada dana tertangguh (sudah mempunyai penama) tidak diberikan kepada Amanah Raya oleh pihak yang menyalurkan wang tersebut.

“Selain itu, terdapat masalah penerima dana tertangguh tidak dapat dikesan akibat telah berpindah dari alamat asal, berhijrah ke luar negara dan sebagainya. Ada juga penerima yang tidak memberikan kerjasama untuk Amanah Raya meneruskan urusan pentadbiran.

“Terdapat juga masalah seperti penerima atau waris dana tertangguh ini dapat dikesan namun, penerima menolak bahagian tersebut kerana jumlah yang agak kecil.

“Sumber dana tertangguh ini adalah pusaka si mati yang berupa wang pampasan tanah yang telah dibayar oleh kerajaan apabila tanah si mati dibangunkan. Dana tertangguh adalah akaun khas yang menempatkan dana yang belum dituntut oleh waris si mati,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya baru-baru ini.

Jelas Ahmad Feizal lagi, Amanah Raya hanya berperanan sebagai pemegang amanah kepada Dana Tertangguh tersebut sehingga serahan dibuat kepada waris yang sah.

Secara amnya, dana tertangguh telah wujud sejak tahun 1921 dan pada masa itu Amanah Raya dikenali sebagai Jabatan Pemegang Amanah Raya dan Pegawai Pentadbir Pusaka.

Pada tahun 2016, Dana tertangguh secara rasmi diletakkan di bawah satu jabatan khusus yang kini dikenali sebagai Jabatan Pengurusan Dana Tertangguh.

Dalam pada itu, Amanah Raya menjelaskan, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi menjejaki waris kepada dana tertangguh tersebut.

“Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah pemprofilan semula fail-fail dana tertangguh mengikut punca, tempoh masa pemegangan, jumlah dana dan lain-lain, merangka tindakan lanjut termasuk menjejaki dan menghubungi waris atau orang yang berkepentingan (sekiranya masih berhubungan), penghebahan secara berkala dan berterusan melalui media sosial, media cetak dan elektronik.

“Selain itu, pihak kami juga menyediakan carian dan hebahan menerusi kaunter bergerak cawangan  Amanah Raya di seluruh negara. Kami juga turut menyediakan portal semakan dana tertangguh bagi memudahkan orang awam untuk menyemak sama ada mereka merupakan penerima dana tertangguh.

“Pihak Amanah Raya juga turut melaksanakan kerja lapangan bagi menjejak waris mengikut kesesuaian dan keadaan semasa,” katanya.

Dalam pada itu, pihak Amanah Raya tiada mengenakan fi semasa proses tuntutan dana tertangguh kecuali terdapat permohonan pentadbiran pusaka yang baharu.

“Bagi yang mahu menuntut pihak kami memerlukan seperti nama, nombor kad pengenalan, dan alamat terakhir si mati dan maklumat waris dengan mengemukakan permohonan seperti nama, nombor kad pengenalan, alamat terkini waris, sijil faraid dan beberapa dokumen lain mengikut keperluan kes,” katanya.

Kepada mana-mana waris dana tertangguh boleh melayari laman sesawang Amanah Raya di www.amanahraya.my.

 

INFO:

Apakah pentadbiran pusaka?

– Pentadbiran pusaka merupakan proses pengagihan aset alih dan tidak alih perniagaan si mati kepada waris- waris yang berhak. Ianya meliputi penyelesaian liabiliti simati dengan pihak ketiga.

Mengapa wasiat penting untuk anda?

– Wasiat adalah tanggungjawab anda kepada yang tersayang. Ia memastikan pusaka anda dapat diagihkan mengikut hasrat anda.

Kelebihan melantik Amanah Raya sebagai pentadbir pusaka:

– Khidmat nasihat percuma

– Syarikat yang kukuh dan boleh dipercayai

– pentadbiran terus

– Fi yang berpatutan

– Perkhidmatan setempat

Perkhidmatan wasiat secara komprehensif di Amanah Raya:

  1. Penulisan

– penulis wasiat professional dan bertauliah

– Khidmat nasihat Percuma

– Tiada Fi tersembunyi

  1. Penyimpanan

– Penyimpanan wasiat secara percuma sepanjang hayat

– Lokasi penyimpanan yang dijamin selamat dan dilindungi

– kukuh dan dipercayai

3.Pelaksanaan

– Diberi kuasa melaksanakan proses perundangan

– Tidak perlu melantik peguam

-Tertakluk kepada Akta Perbadanan Amanah Raya 1995

UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×