MUKADIMAH
PENGALAMAN selama dua minggu di Semenanjung Gaza kira-kira 10 tahun lalu dan menyaksikan sendiri penderitaan rakyat Palestin ketika menyertai Misi Kemanusiaan Jalan Ke Gaza dari 3 hingga 16 Disember 2012 memang tidak dapat dilupakan oleh pemilik klinik Kumpulan SP Care, DR. N. SATHIA PRAKASH.
Ketika berada di sana, beliau sempat memuat naik status dalam Facebook meluahkan trauma yang dialaminya setelah terjaga dari tidur kerana mendengar bunyi jet pejuang F-16 Israel terbang mengelilingi Gaza tanpa henti selama tiga jam.
Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM, baru-baru ini, beliau menyatakan dalam tempoh singkat itu dirinya dapat merasai sendiri pengalaman menakutkan yang boleh meninggalkan kesan trauma berpanjangan terutama kepada kanak-kanak termasuk melihat dinding hospital terbesar di situ, Hospital Al-Shifa penuh dengan kesan peluru tembakan senjata api dan bangunan-bangunan musnah dibom.
UTUSAN: Boleh ceritakan pengalaman ketika berada di Gaza?
SATHIA PRAKASH: Saya berada di Gaza 10 tahun lalu bagi bantuan misi kemanusiaan. Saya pernah hadir ke sana, saya melihat sendiri bagaimana keadaan bangunan yang runtuh, kanak-kanak dan orang tua di sana yang memerlukan bantuan.
Saya merupakan salah seorang daripada 14 sukarelawan Malaysia yang mengambil bahagian dalam misi kemanusiaan ke Gaza. Saya seorang sahaja bukan Muslim. Pengalaman di Gaza bersama-sama rakyat Palestin sentiasa berada dalam hati dan fikiran saya. Saya sangat sedih dengan apa yang berlaku.
Gaza diserang dan dibedil, wanita, kanak-kanak dan orang tua terbunuh. Ini adalah soal kemanusiaan. Kekejaman berlaku di Palestin adalah kenangan yang menyedihkan bagi seluruh umat manusia. Marilah kita bersama-sama berdoa dan bekerjasama untuk membawa perdamaian ke wilayah ini.
Sebagai seorang bukan Muslim, apakah persepsi terhadap genosid ini?
Saya menyelami perasaan terasing dan seolah-olah dunia mengabaikan penderitaan mereka dan apa yang saya pelajari di sana adalah ini bukanlah krisis agama atau etnik.
Mari kita berhenti berdebat tentang siapa yang betul dan siapa yang salah. Yang penting adalah keselamatan dan masa depan rakyat Gaza dan yang terutama kedaulatan negara Palestin.
Seperti diucapkan oleh Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kanak-kanak di Gaza juga adalah anak-anak kita. Kami mahu anda tahu bahawa kami rakyat Malaysia dari pelbagai agama dan kaum adalah saudara anda dan kami percaya hak asasi manusia anda untuk keamanan, kebebasan dan keadilan akan terbela.
Kami menghantar solidariti, dan sokongan kami. Semoga kekejaman yang berlaku akan menghampiri titik noktahnya. Marilah sama-sama kita berdoa kesejahteraan mereka di sana.
Boleh cerita pengalaman semasa bertugas di Hospital Al-Shifa?
Seperti kita semua tahu, Hospital Al-Shifa menghadapi pelbagai kesukaran termasuk ramai pesakit meninggal dunia disebabkan bekalan elektrik terputus di hospital tersebut dan turut diletakkan di bawah kawalan tentera Israel.
Semasa saya di sana 10 tahun lepas, apabila saya masuk dan bekerja di hospital itu, saya tidak nampak apa-apa yang salah. Saya tidak tahu (sekarang), tapi pada masa itu jelas saya tidak nampak apa-apa di sana (aktiviti Briged al-Qassam, Hamas).
Satu kelebihan ketika saya bertugas sebagai sukarelawan di hospital ini adalah kebanyakan doktor pakar di Jabatan Kecemasan di situ merupakan graduan lulusan bidang kedoktoran dari Russia sama seperti saya dari Crimea State Medical University (CSMU). Jadi, kita berkomunikasi dalam bahasa Russia ketika bertugas bersama-sama.
Adakah Dr. akan sertai lagi jika ada misi kemanusiaan ke Gaza?
Kalau dihantar misi kemanusiaan, saya tidak kisah untuk masuk sekali lagi ke sana atau mungkin mengetuai misi ini. Setakat ini yang saya tahu hanya ada rancangan dan tak dapat apa-apa lagi lampu hijau, kerana pertama, kita tidak tahu apa risiko di sana.
Jika anda bertanya kepada saya sekarang, saya tidak akan mengatakan Gaza adalah ground zero, masih medan pertempuran dan masih zon perang. Jadi, untuk menghantar orang menyelamat, mungkin kita perlu mendapatkan seluruh dunia untuk menyokong.
Kedua, yang penting ini apabila kita pergi ke ground zero itu, kita jangan menjadikan beban kepada mereka untuk menyediakan pelbagai kemudahan seperti pengangkutan kepada kita. Kebanyakan pergi ground zero langsung tak tahu
bahawa duit yang kita ada tiada apa-apa nilai di sana, tak ada petrol pun.
Saya bercakap berdasarkan pengalaman ketika menyertai beberapa misi kemanusiaan di luar negara sebelum ini, antaranya di Nepal (tragedi gempa bumi), Filipina (Taufan Haiyan) dan Myanmar.
Di Filipina, saya pernah tidur di atas trek penghantaran beg di lapangan terbang yang musnah dan lima hari tak boleh pergi tandas kerana kemudahan asas itu tiada. Saya buat pembedahan tiada dewan bedah dan elektrik pun tak ada. Ini cabaran di ground zero yang perlu dihadapi, sedangkan banyak merasakan pergi ke kawasan seperti itu adalah seperti pergi tempat hiburan.
Apakah kesan kepada penduduk jika konflik Gaza berterusan?
Keadaan yang paling kritikal untuk kita beri perhatian adalah dari segi faktor sosial dan mental kerana konflik ini menyebabkan trauma kepada penduduk. Walaupun akan ada banyak pertolongan datang, kita hendaklah membantu menyediakan kehidupan yang selamat dan memulihkan kesan-kesan trauma.
Keadaan sekarang sama juga seperti 10 tahun lalu. Kita bawa pertolongan perubatan dan kebanyakan kita tolong ialah kanak-kanak yang hilang ibu atau bapa dan ada yang hilang kedua-duanya. Ini situasi psikososial di sana yang tidak aman, penduduk tak tahu apa akan jadi hari ini dan mereka juga tidak dapat menjangka apa akan berlaku esok.
Trauma ini makin lama makin teruk sekiranya peperangan ini tidak selesai. Hakikatnya, kanak-kanak terjejas, wanita terjejas dan generasi muda terjejas. Mengapa tentera Israel mahu membunuh mereka semua? – UTUSAN










