Bahaya ledakan ‘sensasi, populis’

Bahaya ledakan ‘sensasi, populis’

ISU petisyen mencabar enakmen kanun jenayah syariah Kelantan yang jika tidak diuruskan dengan baik, boleh mengakibatkan ‘ledakan’ yang tidak menguntungkan sesiapa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada 25 November 2005, Perdana Menteri ke-5 waktu itu mengarahkan menteri hal ehwal dalam negeri meminta maaf kepada China berhubung satu insiden kononnya layanan buruk telah diberikan kepada seorang wanita rakyat China yang melawat negara ini.

Ia susulan kemunculan satu klip video menunjukkan seorang pegawai polis wanita bertudung sedang mengarahkan seorang wanita yang kelihatan seperti seseorang berbangsa Cina membuat ketuk ketampi. Dan menteri berkenaan diarah pergi ke Beijing, China untuk meminta maaf dalam ‘memulihkan keyakinan’ rakyat negara itu.

Namun identiti sebenar wanita yang diarah ketuk ketampi dalam keadaan mengaibkan itu adalah wanita Melayu berusia 22 tahun yang ditahan polis atas kesalahan dadah.

Dalam kehidupan ini, banyak insiden ditemukan dan ditempuh kita yang ‘meledak’ dan sensasi. Tanpa usul periksa atau atas nama populis, akhirnya mendatangkan kerugian dan mengundang malu besar.

UNTUNGNYA SIAPA?

Demikian hal-hal yang melintas depan mata termasuk melibatkan soal dasar dan agama seperti usaha mengekang perokok lahir 2007 dalam Rang Undang-Undang (RUU) GEG dan petisyen mencabar enakmen kanun jenayah syariah Kelantan – yang jika tidak diuruskan dengan baik, boleh mengakibatkan ‘ledakan’ yang tidak menguntungkan sesiapa.

Apabila pergi kepada fakta yang dibaca dengan fikiran terbuka, isu RUU Generasi Penamat berkenaan melibatkan pelanggaran Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Yang satu lagi soal petisyen enakmen syariah itu pula dikatakan membabitkan soal pokok – polemik bidang kuasa antara mahkamah keadilan Persekutuan dengan mahkamah syariah.

Waima apa pun, tidak dapat kita menolak tidak unsur-unsur ‘politik dan populis’ bersangkut-paut dengan ledakan sensasi isu-isu semasa hari ini.

Dalam kecenderungan kepada politik kepartian yang cukup mencabar ini, kalangan kita barangkali sudah tiba masanya beralih memilih naratif politik baharu. Iaitu politik amal dan politik bakti. Bukannya politik yang mengganggu. Jauh sekali memandang ahli-ahli politik yang cauvinis dan cuba menangguk di air keruh atas nama apa sahaja demi matlamat menghalalkan cara.

Berbicara tentang karakter orang politik, ada kalangannya yang boleh naik rostrum huraikan secara spontan melalui ucapan off the cuff sahaja.

Ada pula yang sering kali berlagak sinis. Buat lawak jenaka terhadap ucapan-ucapannya sendiri sehingga membuat orang tergelak. Mesej yang menyebabkan orang ketawa ini mudah diterima sebilangan orang. Juga, ada yang `cekap’ temberang sehingga berjaya mengaburi mata khalayak, dan berjaya meraih undi pilihan raya.

Sama ada kita orang politik atau di luar lingkungan itu, kita wajar memilih masa depan yang stabil, sejahtera dan lebih terjamin buat semua. Bukan masa depan yang tidak berpijak di bumi nyata – berada di luar kemampuan yang ada.

Di dunia Barat, timbul kebimbangan ledakan penyebaran maklumat melalui media sosial bukan membawa kepada kestabilan. Pernah berlaku di Eropah selepas penciptaan mesin cetak oleh Johannes Gutenberg pada pertengahan abad ke-15, bukan hanya membawa kepada reformasi tetapi juga perang agama yang menyusulinya.

PEMBINA BANGSA

Robert D. Kaplan dalam bukunya, Warrior Politics: Why Leadership Demands a Pagan Ethos, mengingatkan bahawa kekalutan dan kecelaruan pada abad ke-21 mungkin juga berbangkit daripada gerakan populis. Iaitu mengambil kesempatan daripada pendemokrasian, dirangsang pula oleh kepercayaan agama dan sektarian atau taifah. Dan diperkasa oleh Revolusi pasca-Perindustrian, terutamanya teknologi maklumat.

Tambah Kaplan, pelampau Hindu yang meruntuhkan masjid di India pada awal tahun 1990-an dan menyerang orang Kristian pada akhir tahun 1990-an merupakan gerakan kelas pekerja dalam demokrasi India yang menggunakan kaset video dan Internet untuk menyebarkan mesej.

Kaplan yang pemikirannya dianggap setaraf Samuel Huntington, Francis Fukuyama dan Paul Kennedy menambah bahawa fenomena sama berlaku di Indonesia, Iran, Nigeria, Algeria, Mexico, Fiji, Mesir, Pakistan, Tebing Barat, dan Arab Nazareth – sekadar menyebut beberapa buah tempat – yang kumpulan agama dan etnik kebanyakannya kelas pekerja yang dirangsang oleh pendemokrasian menggunakan teknologi komunikasi moden untuk mencetuskan kekacauan.

Pengalaman di beberapa tempat di dunia menunjukkan bahawa persengketaan agama amat bahaya, merupakan permainan hasil tambah sifar (zero-sum game) dan tidak akan ada tolak ansur sama sekali.

Mengamati apa yang berlaku dalam arena politik tanah air, kita wajar mencubit diri sendiri. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ada ahli politik cuba menabur benih politik kebencian. Sebahagiannya ghairah memecahbelahkan perpaduan dan merosakkan keharmonian. Lantas kesannya lebih dahsyat terhadap kestabilan dan ekonomi.

Bagaimanapun, kita masih bernasib baik kerana politik kebencian belum lagi melahirkan individu yang diperkasa atau dimotivasikan untuk bertindak melancarkan serangan terhadap orang awam. Setakat ini yang berlaku di sini hanya perang mulut terutamanya dalam dunia maya daripada kem-kem politik yang bersaing antara satu sama lain.

Namun jangan pandang ringan kemungkinan akan datang berlaku. Ia bukanlah asing di negara tertentu sehingga mendatangkan kemudaratan besar dan korban jiwa seperti sering berlaku di Amerika Syarikat dan Eropah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×