Usah kejar kemegahan, pendidikan bukan untuk dipertandingkan

Usah kejar kemegahan, pendidikan bukan untuk dipertandingkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADAKAH keberkesanan pembentukan nilai-nilai manusiawi dalam kalangan pelajar diambil kira dalam proses menentukan penilaian atau ranking sesebuah institusi pendidikan? Kadangkala kita terlalu sibuk mengejar kemegahan sehingga lupa tujuan sebenar kehidupan kita. Begitu juga dalam dunia pendidikan, bermula dari prasekolah sehinggalah peringkat pengajian tinggi, yang dibanggakan oleh kebanyakan institusi ini hanyalah penilaian dan gred pelajar semata-mata.

Sering juga saya ditanya, kenapa memilih untuk belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan tidak memohon masuk ke pusat pengajian tinggi yang mempunyai penilaian antarabangsa tinggi? Bagi saya, manusia mempunyai pertimbangan yang berbeza-beza dalam menentukan arah hidup masa depan. Malah, saya amat bersyukur kerana dikurniakan rezeki untuk menuntut ilmu di sebuah universiti yang mempelopori konsep komuniversiti di tanah air kita.

Sebagai pelajar, saya menganggap universiti sebagai tempat menimba ilmu, mengasah bakat dan memperkasakan keterampilan diri. Para pensyarah yang bertungkus-lumus mendidik kami, suasana pembelajaran kondusif, rangka akademik komprehensif serta rakan-rakan berkeperibadian baik menjadikan kehidupan saya sebagai pelajar menyeronokkan walaupun dihambat tugasan, pembentangan dan ujian.

Peluang yang ada untuk menyertai dan melibatkan diri dalam pelbagai persidangan, pembentangan dan program di dalam dan luar universiti memberi ilmu serta kemahiran berbeza yang tidak akan dapat kita peroleh dari dewan kuliah. Semua ini dapat meningkatkan keterampilan, keupayaan serta membuka peluang untuk kita melangkah keluar dari lingkungan selesa universiti. Apatah lagi apabila menerima jemputan menghadiri persidangan antarabangsa di luar negara.

Sebagai mahasiswa, peluang dan pendekatan sebegini lebih berharga berbanding penilaian universiti. Memang tidak mudah untuk melakukan pelbagai perkara dalam kesibukan belajar. Namun, inilah realiti kehidupan hari ini. Kita mesti bergerak pantas dan berusaha mempelajari pelbagai kemahiran agar kekal berdaya saing. Jika tidak dipecah ruyung, di mana boleh mendapat sagunya.

Pendidikan harus berjalan secara holistik agar manusia bukan sahaja berilmu tetapi bersifat manusiawi dan berakhlak tinggi. Pendidikan secara holistik merupakan satu proses di mana berlakunya perkongsian ilmu secara menyeluruh termasuk penerapan nilai-nilai kerohanian dan kemanusiaan di dalam ilmu yang dipelajari. Semua ini harus diadun dengan baik supaya lahir kesedaran, keinsafan serta kebertanggungjawaban dalam jiwa setiap pelajar.

Jelas, tujuan pendidikan bukan sekadar proses menyampaikan maklumat untuk dihafal dan dipindahkan ke kertas peperiksaan semata-mata. Maka, tumpuan pengajaran bukan sekadar untuk memastikan capaian gred tinggi sahaja tetapi harus berlaku proses pengembangan minda secara efektif. Pada masa sama, harus berlaku juga proses pembentukan sahsiah diri tinggi dan murni.

LINEAR

Seseorang yang bijaksana bukanlah sekadar berkebolehan mengira dalam sekelip mata ataupun berkeupayaan menghafal segala teori dan fakta semata-mata. Sebaliknya, mereka mesti boleh berfikir secara konstruktif serta mampu menerapkan ilmu dipelajari untuk kesejahteraan masyarakat. Kepandaian tanpa kemanusiaan bukanlah satu resipi tepat untuk menjamin kesejahteraan dan kemampanan dunia. Parah jika akibatnya, ramai yang bersifat tak berpucuk di atas enau.

Kedudukan tinggi pada penilaian antarabangsa bukanlah satu jaminan bahawa mahasiswa mereka mampu menerapkan apa yang telah dipelajari di dewan kuliah ke alam nyata. Ini semua bergantung pada konsep pengajaran serta kerangka akademik yang disediakan. Mengguna pakai konsep komuniversiti, para mahasiswa UIAM harus belajar mengaplikasikan ilmu yang dipelajari untuk membantu menyelesaikan masalah dan memakmurkan masyarakat setempat serta berusaha mencipta inovasi baharu bersifat mampan.

Mahasiswa harus dididik supaya berfikir secara sistem dan bukan lagi secara linear. Mereka harus mempunyai daya tahan kuat, berkebolehan menyesuaikan diri dalam keadaan berbeza-beza serta bersiap siaga untuk berdepan krisis luar jangka yang mungkin melanda secara tiba-tiba. Keadaan getir ketika pandemik Covid-19 mula mengancam dunia empat tahun lalu harus dijadikan iktibar oleh semua pihak dalam menyediakan kerangka pendidikan tinggi masa depan.

Di sini kita melihat betapa pentingnya kemahiran asas dan insani, iaitu sesuatu yang sukar dihayati melalui sistem pendidikan sedia ada. Malang sekali, hal sebegini tidak dianggap penting dalam penarafan institut pengajian tinggi (IPT).

Penarafan lazimnya hanya menggunakan statistik kasar sebagai kayu ukur, contohnya keputusan akademik pelajar dan bilangan penerbitan.

Isu ranking IPT oleh QS World University Rankings menjadi topik panas selepas ia dibangkitkan Rektor UIAM, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dalam akhbar Utusan Malaysia. Beliau yang juga bekas Presiden Persatuan Universiti Antarabangsa (IAU) mengulas laporan Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU) yang membongkar masalah penarafan IPT terutama oleh syarikat perniagaan seperti QS.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut menegaskan bahawa kedudukan penilaian universiti tidak boleh mengukur semua universiti secara umum kerana setiap universiti diwujudkan untuk tujuan dan matlamat berbeza.

Berdasarkan hal sebeginilah, UIAM tidak mendaftar dan membayar untuk diberi penilaian antarabangsa. Sebabnya mudah, pendidikan bukanlah bersifat eksklusif dan untuk dipertandingkan. Pendidikan harus berteraskan semangat kerjasama dan keterbukaan serta perkongsian maklumat dan hasil penyelidikan untuk kebaikan bersama. Ilmu haruslah bersifat terbuka dan boleh dicapai oleh semua insan tidak kira siapa dan di mana.

Ketika di Stockholm menghadiri Forum Internet Stockholm, baru-baru ini, ramai peserta dari pelbagai negara menyatakan kekaguman mereka serta memandang tinggi prestasi UIAM. Ini membuktikan walaupun tanpa kedudukan pada penilaian antarabangsa pun, sesebuah universiti masih mampu menjadi pilihan pelajar luar negara. Hentikanlah ketaasuban nilai material. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×