PETALING JAYA: MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) meminta sokongan kerajaan untuk normalisasi harga gula bagi membantu mengatasi kos input yang tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, industri gula menyaksikan permintaan yang lebih kukuh dalam pasaran tempatan dan eksport.
Beliau berkata, industri gula tempatan kekal berdaya tahan di tengah-tengah persekitaran mencabar dengan kos input tinggi disebabkan peningkatan kos gula mentah, kos pengangkutan dan gas asli yang tinggi serta kelemahan ringgit.
Kata beliau, kos input semasa yang tinggi terus menghalang peningkatan prestasi kewangan Kumpulan.
Segmen borong menyumbang 40 peratus daripada jumlah jualan yang terjejas oleh margin negatif kerana harga gula dikawal oleh kerajaan, katanya.
“Harga siling (gula) yang ditetapkan oleh kerajaan kekal tidak berubah dan tanpa subsidi sejak 10 tahun lepas.
“Harga terkawal gula Malaysia adalah yang paling murah di rantau ini dan dunia. Banyak negara lain di rantau ini seperti Indonesia dan Thailand telah menaikkan harga gula dan kita minta sokongan kerajaan pada normalisasi harga untuk membantu mengatasi kos input yang tinggi seperti dinyatakan.
“Kami percaya kerajaan akan memberikan pertimbangan dan sokongan yang sewajarnya untuk kemampanan industri gula tempatan,” katanya dalam kenyataan ke Bursa Malaysia sempena pengumuman prestasi kewangan suku ketiga tahun kewangan 2023 MSM.
Bagi suku ketiga (S3) tahun kewangan berakhir Disember 2023 (TK2023), syarikat itu mencatatkan kerugian lebih rendah selepas cukai (LAT) sebanyak RM36 juta, berbanding suku yang sama tahun lepas (S3 TK2022) sebanyak RM73 juta.
Syarikat merekodkan hasil lebih tinggi kepada RM807 juta, peningkatan 21 peratus daripada RM668 juta untuk suku yang sama tahun lepas.
Bagi sembilan bulan pertama 2023 (9B2023) hasil meningkat 13 peratus kepada RM2.14 bilion, daripada RM1.89 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.
“Peningkatan hasil bagi 9B2023 berpunca daripada kenaikan 13 peratus lebih tinggi dalam Harga Jualan Purata (ASP) untuk semua segmen walaupun jumlah jualan lebih rendah.
“Kerugian operasi bersih terutamanya disebabkan oleh yang lebih tinggi kos pengeluaran dalam tempoh itu disebabkan oleh 24 peratus lebih tinggi gula mentah NY11 antara lain kos yang semakin meningkat,” jelasnya.
Tambah Syed Feizal, walaupun menghadapi cabaran, Kumpulan berpuas hati dengan jualan yang dicatatkan untuk produk baharu MSM, Gula Prai Super yang dilancarkan pada Mei tahun ini yang menyumbang pendapatan tambahan kepada Syarikat.
MSM katanya, akan memastikan bekalan gula tidak terganggu di pasaran dan penting untuk mengiktirafnya di bawah agenda keselamatan makanan negara terutama mengintegrasikan dengan aktiviti huluan dalam membangunkan ladang tebu tempatan atau melalui pelaburan terbalik di kawasan berdekatan.
“Mengenai prestasi kewangan, kami mengambil semua langkah untuk memastikan pulangan kepada keuntungan seperti yang dicatatkan pada 2021 untuk memberikan pulangan kepada pemegang saham kami, memenuhi tanggungjawab korporat kami kepada pemegang kepentingan, dan menyumbang secara positif kepada ekonomi,” kata beliau.
MSM dimiliki 51 peratus oleh FGV Holdings Berhad. Pemegang saham kedua terbesar MSM ialah Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad dengan 15.3 peratus, diikuti Amanahraya Trustees Berhad sebanyak 7.5 peratus. – UTUSAN










