KONFLIK antara rakyat Palestin dan penjajah Israel sering tersiar di media massa, namun mungkin masih ramai warga Malaysia kurang mendapat pencerahan tentang isu ini terutama generasi muda yang tidak mengikuti perkembangan sejarah yang berkaitan penubuhan negara haram Israel di bumi Palestin.
Justeru itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor tampil memberi penjelasan mengenai isu berkenaan agar lebih ramai pihak mendapat pemahaman yang jelas mengenai isu berkenaan.
Menurut Wan Salim, isu Palestin dan Islam adalah isu keadilan dan isu kemanusiaan sejagat, namun bagi umat Islam ia juga ada kaitan dengan agama mereka.
Ini kerana, Wan Salim berkata, Palestin amat rapat hubungannya dengan umat Islam terutama kerana di bumi tersebut terletak Baitulmaqdis (Jerusalem) yang merupakan kiblat pertama umat Islam sebelum diperintahkan beralih ke arah Kaabah di Makkah.
“ Baitulmaqdis juga adalah bumi Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW, sepertimana dinyatakan di dalam al-Quran, surah al-Israk yang bermaksud “Maha suci (Allah) yang memperjalankan hambaNya ( Nabi Muhammad SAW) dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Palestin) yang Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Kami”
“Kita sedia maklum bahawa umat Islam amat memberi perhatian kepada Masjidil Haram, tetapi bagaimana pula dengan Masjidil Aqsa yang merupakan tempat suci ketiga bagi umat ini setelah Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah? Ketiga-tiga masjid ini sewajarnya diberi perhatian yang sama,” katanya di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, dari segi sejarah Baitulmaqdis, umat Islam telah mengambil alih kuasa pemerintahan dan pentadbiran Baitulmaqdis daripada Kerajaan Byzantium pada tahun 15 Hijrah / 636 Masihi pada era pemerintahan Khalifah Umar Ibnu al-Khattab.
“Namun ia telah dirampas oleh tentera Perang Salib pada akhir abad ke sebelas. Ia kekal di bawah takluk orang-orang Barat sehingga dirampas semula oleh Sultan Salahuddin al-Ayyubi pada Oktober tahun 1187 Masihi dalam pertempuran Hathin.
“ Baitulmaqdis terus kekal berada dibawah pemerintahan umat Islam sehingga bekas Perdana Menteri Israel, Manachem Begin mengisytiharkan penguasaan Israel ke atasnya (Baitulmaqdis) pada 7 Jun 1967,” katanya.
Kemudian, Wan Salim menjelaskan di bawah pemerintahan umat Islam, masyarakat Yahudi dan Kristian di Palestin hidup dalam suasana aman damai.
‘Keselamatan diri, harta benda, agama dan rumah-rumah ibadat (sinagog dan gereja) mereka terpelihara dengan baik. Bagaimanapun keadaan telah berubah apabila tertubuhnya negara Israel di bumi tersebut.
“Sejak tahun 1948 sehingga ke hari ini negara Palestin dijajah oleh Israel. Gagasan penubuhan negara haram ini tercetus di dalam suatu kongres di bandar Basle, Switzerland.
“Seorang wartawan bernama Theodore Herzel telah mencadangkan penubuhan sebuah negara untuk bangsa Yahudi di bumi Palestin,’’ katanya.
Wan Salim menjelaskan, kemudian gagasan itu dimuktamadkan dengan satu pengisytiharan yang dikenali sebagai Balfore Declaration, sempena nama Menteri Luar Britain ketika itu dan dengan perancangan yang rapi serta kerja keras, akhirnya tertubuhlah negara Israel di bumi Palestin pada 1948.
BEBAS PALESTIN
Sehubungan itu, Wan Salim berkata, setiap umat Islam wajib menyokong serta membantu rakyat Palestin dalam perjuangan untuk membebaskan negara mereka daripada cengkaman penjajah Zionis Israel.
“Perlu ditegaskan bahawa kita tidak menentang penganut agama Yahudi.
Tetapi yang ditentang ialah penjajah Israel dan pendatang dari pelbagai negara Eropah dan merata dunia, lalu mendiami bumi Palestin dengan mengusir penduduk asal menjadi pelarian di beberapa negara jiran.
“Sementara yang masih tinggal menjadi mangsa diskriminasi dan dilayan sebagai warga kelas kedua atau lebih teruk lagi,’’ katanya.
Justeru itu, katanya, setiap individu Muslim malah juga orang bukan Islam, atas nama kemanusiaan, mestilah membantu perjuangan rakyat Gaza dan Palestin dengan apa jua bantuan mengikut kemampuan masing-masing.
“Sesiapa yang ingin membantu dalam bentuk kewangan bolehlah menyalurkan bantuan itu menerusi akaun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu yang bertanggungjawab.
Sementara itu, Wan Salim berkata, persidangan tergempar Pertubuhan Kerjasama Negara-negara Islam (OIC) baru-baru ini telah menggesa operasi ketenteraan Israel di semenanjung Gaza dihentikan.
“Persidangan itu juga menuntut jenayah perang dan kemanusiaan yang dilakukan oleh Israel diadili di Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Kita bersetuju dengan tuntutan tersebut.
“Namun kita juga ingin mengingatkan kerajaan Malaysia, pemimpin-pemimpin umat Islam dan pihak-pihak lain, bahawa Israel tidak pernah mengenal bahasa rundingan atau diplomasi. Negara itu juga tidak pernah menghiraukan keputusan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Sehubungan itu, katanya, terpaksalah kekerasan digunakan kerana hanya dengan menggunakan bahasa senjata sahajalah yang boleh memaksa Israel berundur dari kawasan-kawasan yang ditaklukinya dalam peperangan pada Jun 1967.
“Maka penduduk Palestin dengan bantuan negara-negara Islam dan bukan Islam yang bersimpati dengan rakyat Palestin, mesti membekalkan kelengkapan tentera untuk kumpulan Hamas di Gaza dan untuk rakyat Palestin seluruhnya.
“Ini sebagai menyahut seruan al-Quran supaya disediakan untuk para mujahidin kekuatan ketenteraan semaksimum yang termampu untuk menimbulkan kegerunan di hati pihak musuh,”ujarnya.
Selain itu, katanya, beliau berharap pandangan yang telah diberikan itu dapat memberi pencerahan kepada warga Malaysia tentang isu konflik Palestin-Israel.
“Semoga dengan memahami latar belakang isu yang besar ini akan menimbulkan lebih rasa simpati warga Malaysia terhadap rakyat Gaza khasnya dan rakyat Palestin amnya yang sekian lama menderita, menjadi mangsa kekejaman dan penganiayaan rejim Zionis yang zalim.
“Sama-samalah kita menyokong perjuangan saudara-saudara kita yang malang serta menghulurkan bantuan apa yang termampu kepada mereka,” katanya.-UTUSAN










