Kita perlu bandar kebolehhidupan untuk hidup mampan

Kita perlu bandar kebolehhidupan untuk hidup mampan

PENGUKUHAN kesejahteraan sosial dalam Malaysia Madani perlu mengutamakan bandar kebolehidupan kepada warganya. – UTUSAN/ASWAD YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEADAAN hidup di bandar-bandar di seluruh negara telah pulih sepenuhnya daripada kemerosotan disebabkan pandemik Covid-19.

Indeks bandar kebolehhidupan terbaru menunjukkan beberapa perubahan yang drastik selepas tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tetapi dengan kejadian banjir yang sering melanda bandar-bandar di negara ini pula menunjukkan ketidakupayaan dari segi ketahanan menghadapi bala bencana. Ini boleh dibuktikan dengan kejadian banjir di Subang Jaya, baru-baru ini.

Malahan bandar-bandar di negara ini juga terdedah dengan kejadian jenayah dan ketidakstabilan kehidupan yang boleh menyebabkan penduduk berdepan risiko ketidakbolehidupan bandar.

Maka bagi pengukuhan kesejahteraan sosial dalam Malaysia Madani perlu mengutamakan bandar kebolehidupan kepada warganya.

STABIL
Ciri pertama dalam pengukuran bandar kebolehidupan Madani adalah kestabilan. Kestabilan yang diukur melibatkan lima faktor iaitu pertama, bebas daripada kemusnahan harta benda akibat daripada kecurian, rompakan dan jenayah kebencian. Kedua, bebas daripada kerosakan dari perbuatan vandalisme serta kemusnahan yang disengajakan seperti rusuhan dan demonstrasi.

Ketiga perlu bebas daripada perbuatan salah laku yang tidak bermoral dan melanggar perundangan. Keempat, mengenai kos sara hidup yang mampu menyebabkan ketidakstabilan keharmonian kehidupan keluarga dan masyarakat. Dan akhir sekali adalah melihat kepada keselamatan serta penjagaan kemudahan infrastruktur seperti kemudahan air, bangunan dan jalan raya.

KESIHATAN
Manakala ciri kedua adalah mengenai penjagaan kesihatan. Ini lebih tertumpu kepada soal bagaimanakah majlis bandaraya melaksanakan polisi kesihatan yang lebih mampan ke atas populasi yang tinggal di bandar, pinggir bandar dan luar bandar. Ini disebabkan populasi luar bandar selalunya akan memberikan input kepada pertumbuhan bandar seperti keselamatan makanan dan air.

Manakala pinggir bandar akan menjadi satu hub untuk pekerja-pekerja golongan kelas bawahan dan menengah yang bekerja di bandar untuk tinggal. Tanpa adanya kedua-dua iaitu luar bandar dan pinggir bandar akan menyebabkan kerencatan pertumbuhan bandar yang mampan dan sihat.

BUDAYA, ALAM SEKITAR
Seterusnya ciri ketiga dalam pengukuran bandar kebolehidupan adalah budaya dan alam sekitar. Setiap bandar yang hidup tidak boleh lari daripada budaya dan alam sekitar yang mencorakkan suasana bandar tersebut. Inilah yang membezakan antara satu bandar dengan bandar yang lain.

Dari segi budaya bandar adalah lebih melihat kepada keunikan ciri-ciri amalan budaya sesuatu populasi . Secara amalinya penduduk luar bandar yang berhijrah ke bandar akan mewarnai dan memperkayakan budaya bandar tersebut.
Akhirnya warisan asal penduduk bandar akan diasimilasikan dengan budaya penghijrah bandar dan terbentuk satu budaya yang lebih dinamik dan fleksibel.

Lanjutan daripada ini juga, kita melihat bagaimana populasi bandar yang terdiri daripada kemajmukan masyarakat mampu bersosial dan beradaptasi antara satu sama lain dalam mewarnai corak budaya bandar tersebut.

Keharmonian antara kaum memainkan peranan penting dalam kemadanian budaya penduduk bandar. Dalam erti kata lain juga melihat akan keprihatinan budaya sopan santun dan saling menghormati antara generasi muda dan tua dalam kehidupan aktiviti bandar. Ini dapat melihat melalui reaksi anak muda ketika melihat seorang warga emas yang melintas jalan.

Situasi yang lain adalah melihat ketertiban budaya masyarakat bandar semasa menaiki pengangkutan awam seperti transit aliran ringan (LRT) atau bas sama ada mereka beratur, menunggu giliran atau sebaliknya.
Budaya lain adalah seperti kebersihan dan amalan pembuangan sampah di sesebuah bandar.

PENDIDIKAN
Pendidikan merupakan ciri keempat dalam penentuan kemampanan bandar hidup. Pendidikan sebenarnya dapat menghasilkan satu kelompok kelas menengah yang lebih peka kepada inovasi kehidupan bandar, penyertaan masyarakat dalam akitivti-aktiviti pembangunan dan akhir sekali adalah membuat keputusan mengenai masa depan bandar tersebut.

Inovasi kehidupan bandar adalah lebih memfokuskan kepada bagaimana sesebuah bandar diolah mengikut perubahan zaman. Pengolahan bandar pada masa kini bukan hanya melihat fizikal bandar tetapi ciri-ciri futuristik situasi bandar.
Ini termasuklah penggunaan robotik, pendigitalisasian dan sebagainya untuk memperlihatkan kemajuan dan kemudahan futuristik yang disediakan bagi populasi generasi masa depan bandar.

Manakala membuat keputusan mengenai masa depan bandar amat penting terutama berkaitan keseimbangan suhu dan iklim yang dicorakkan sesuai dengan pembangunan dan keharmonian bandar kebolehidupan.

INFRASTRUKTUR
Ciri kelima dalam pengukuran bandar kebolehidupan adalah penyediaan infrastruktur yang disediakan dalam bandar. Infrastruktur selalunya melihat kepada lalu lintas trafik dan mobiliti untuk akses dari satu destinasi ke satu desitnasi dengan selamat dan tanpa sesat.

Lalu lintas trafik selalunya merupakan satu isu besar terutama di waktu puncak. Ini disebabkan pertambahan kereta dan kemampuan jalan raya untuk menampung bebanan jumlah kenderaan untuk sesuatu tempoh masa.

Sebagai jalan penyelesaian pada masa kini adalah digalakkan menggunakan LRT, Transit Aliran Massa (MRT) dan komuter sebagai medium pengangkutan untuk akitiviti-aktiviti penduduk bandar.

Galakkan ini juga dapat mengurangkan peningkatan gas karbon monosikda disebabkan penggunaan kenderaan yang menggunakan minyak petrol dan menurunkan suhu iklim.

Infrastruktur lain yang diperlukan dalam kategori ini adalah penyediaan kemudahan jalur lebar dan telekomunikasi.

Kedua-dua ini menjadi amat penting sebagai satu medium perhubungan utama.

Seterusnya pengukuran ke atas infrastruktur turut melihat keselesaan penghuni bandar seperti saiz rumah, struktur bangunan yang dihuni, kejiranan yang harmoni dan akhir sekali perasaan estetik.

Majoriti perumahan di bandar adalah sesak untuk golongan kelas bawahan dan menengah. Ini mengundang kepada timbulnya isu gejala sosial jika keselesaan penghuni bandar diabaikan dalam soal pembangunan bandar.-UTUSAN

DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×