Ramai tak sabar tunai umrah, haji - Utusan Malaysia

Ramai tak sabar tunai umrah, haji

Gambar hiasa AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat pengen­dali umrah dan haji berharap ke­rajaan Arab Saudi tidak menangguhkan lagi urusan ke­dua-dua iba­dah itu menjelang Jun ini bagi mengurangkan bilangan menunggu lebih ramai atau bertindan.

Penangguhan dua tahun ber­turut-turut juga tentu mengundang kekecewaan selain dikhua­tiri ada dalam kalangan mereka ‘tidak sempat’ menunaikan hajat beribadah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, penangguhan akan menyebabkan sekurang-kurang­nya tiga kumpulan bakal jemaah ‘tersumbat’, sekali gus jumlah itu berganda dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, terdapat 1,000 bakal jemaah di bawah Andalusia dan walaupun kuota memasuki tanah suci kali ini dijangka lebih kecil, pihaknya sangat berharap urusan mengerjakan ibadah tersebut dibuka.

“Kita menunggu kelulusan kuota oleh Tabung Haji. Kalau sudah lulus, kita (agensi) akan mengikut prosedur ditetapkan. Agensi juga akan menawarkan bagi sesiapa yang tidak sanggup pergi akibat kos tinggi, kita akan berikan kepada jemaah lain.

“Itu pun jika Tabung Haji mensyaratkan jemaah yang benar-benar mahu pergi kena buat rayuan sebelum 12 Jun. Kalau tiada rayuan maka tidak dipanggillah untuk menunaikan haji,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sabtu lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melawat Arab Saudi dan bertemu dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Sau akan membincangkan isu kuota haji dan umrah bagi jemaah Malaysia.

Mengulas lanjut, Md. Daud berkata, prosedur operasi standard (SOP) kepada bakal jemaah dijangka berbeza dan lebih ketat apabila kerajaan Arab Saudi me­netapkan tempat penginapan ba­kal jemaah mesti menempah bilik hotel bertaraf lima bintang berbanding tiga bintang sebelum ini.

Malah, kos dijangka mening­kat apabila sebuah bilik penginapan yang memuatkan empat orang bakal jemaah kini dihadkan untuk dua jemaah.

“Jemaah haji juga tidak boleh bebas keluar dan masuk dari dan ke Masjidil Haram. Ada pengawal kepada semua penduduk dan jemaah di sana,” katanya.

Senada dengan beliau, Presi­den Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera (Bumitra), Datuk Harun KC Ahmmu berkata, syarikat berharap Perdana Menteri bakal membawa berita gembira khusus untuk bakal jemaah selepas bertemu dengan Raja Salman.

Menurut beliau, selain kebenaran menunaikan haji dan umrah, isu besar lain ialah me­ngenai kuota diluluskan kerajaan Arab Saudi.

“Kalaulah perkara ini direa­lisasikan, sektor pelancongan kita yang selama ini terhenti sejak tahun lalu dapat bergerak kembali.

“Kami (agensi) bersedia mematuhi semua SOP yang bakal ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini