Malaysia perlu perkasa eksport melalui strategi, pelan baharu

Malaysia perlu perkasa eksport melalui strategi, pelan baharu

REEZAL Merican Naina Merican (tengah) bergambar dengan ahli panel segmen 'Fireside Chat : Charting Our Game Plan' sempena Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Peringkat Pertengahan 2023 di Kuala Lumpur, hari ini. Turut serta, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Mohd. Mustafa Abdul Aziz (kiri) -UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memperkasa pertumbuhan eksport dengan strategi dan pelan baharu, kata Pengerusi  Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata, negara juga perlu mempunyai inisiatif di luar kotak supaya terus pertumbuhan eksport dapat terus pertumbuhan ekonomi, seterusnya memberi manfaat yang lebih besar kepada rakyat.

Menurut Reezal Merican, dalam konteks perniagaan yang dinamik pada masa kini, kerjasama menjadi elemen penting dalam memastikan kelestarian, daya saing, dan kesinambungan syarikat.

Katanya, keberkesanan kerjasama adalah kunci untuk mencapai kejayaan jangka panjang dan memastikan ia kekal relevan dalam persekitaran perniagaan yang berubah dengan cepat.

“Pandemik COVID-19 telah mengubah lanskap perniagaan kita dan berfungsi sebagai gangguan terhadap ekosistem. Saya tahu ada yang kecundang, banyak yang melihat pandemik ini sebagai titik perubahan untuk mencipta lebih banyak peluang perniagaan baharu khususnya dalam perniagaan hijau, berasaskan digital, dan mampan,” katanya dalam ucaptama Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Peringkat Pertengahan 2023 di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Deloitte Consulting Malaysia, Azhar Hussin; Presiden Konsortium Syarikat Peringkat Pertengahan Malaysia (MCMTC), Callum Chen dan Naib Presiden Jualan dan Acara Antarabangsa VfL Wolfsburg, Andreas Kruse.

Dalam pada itu Reezal Merican menambah, beliau ingin SPP melebarkan sayap kerjasama, kolaborasi strategik perniagaan merangkumi empat prinsip iaitu pilih rakan kerjasama yang betul, tetapkan matlamat yang jelas dan tahu ke mana arah tuju perniagaan, komunikasi secara efektif dan berfikiran terbuka, bersedia untuk berunding dan berkompromi.

Di samping itu, beliau berkata, MATRADE akan terus mempergiatkan agenda pembangunan rantaian bekalan yang menggabungkan elemen kemampanan yang kukuh pada 2024, bersama-sama alumni SPP diterajui oleh MCMTC.

“MATRADE juga menyedari kepentingan sistem penyampaian pendigitalan yang holistik dan inklusif untuk pengeksport Malaysia dalam perjalanan ke pasaran Antarabangsa. Semua platform yang ada akan diintegrasikan di bawah MATRADE Digital Trade Platform (MDTP), yang akan diberi nama baharu iaitu myTRADEDIGITAL.

“Platform dengan kekuatan MATRADE yang mempunyai 46 pejabat global dengan penambahan 49 menjelang 2024, akan meningkatkan visibiliti jenama Malaysia di pasaran antarabangsa dan memperkuat eksport secara digital.

“Saya mempelawa syarikat peringkat pertengahan untuk menyertai MyTRADEDIGITAL dan memanfaatkan platform ini untuk mencapai tahap baru dalam eksport global,” katanya.

Tambahnya lagi, MATRADE akan mempertahankan momentum itu dan meningkatkan keyakinan untuk terus berkembang dengan harapan tinggi diletakkan pada Mid-Tier Companies (MTCs) sebagai pendorong ekonomi dan pertumbuhan eksport.

“MATRADE berkomitmen untuk menubuhkan dan memajukan lebih banyak MTC baru di seluruh negara, mencipta juara global masa depan untuk memimpin industri dan membimbing PKS dalam pengembangan perniagaan serta merealisasikan aspirasi keusahawanan mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×