PONTIAN: Persatuan Belia Pewaris (PBP) Permatang Palas Darat, Benut, dekat sini giat mengusahakan kawasan wakaf tanah perkuburan dengan menanam ubi bagi mengisi tabung persatuan itu.
Ketua projek, Mudzakir Nordin, 31, berkata, penanaman sebanyak 1,700 pokok ubi putih atau lebih dikenali sebagai ‘ubi indon’ tersebut dimulakan Jun lalu di kawasan seluas 0.4 hektar.
Katanya, projek itu sebagai perintis bagi PBP melaksanakan lebih banyak tanaman ubi menerusi usahasama penduduk untuk mengusahakan tanah terbiar yang boleh memberi pendapatan kepada mereka.
“Projek ini sebagai permulaan untuk kami menjadikan tanaman ubi sebagai salah satu tanaman kontan utama selain pisang, tebu dan nanas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mudzakir berkata, tanaman tersebut dijangka dapat dituai sepenuhnya pada Februari tahun depan dengan setiap pokok boleh mengeluarkan antara tiga hingga lima kilogram (kg) ubi.
“Masa tuaian juga bertepatan dengan kedatangan musim perayaan (Hari Raya Aidilfitri) dan permintaan ubi dijangka meningkat daripada pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS),” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Permatang Palas, Zakaria Omar berkata, pihaknya menyokong usaha dilakukan oleh golongan belia di kampungnya bagi menambah pengeluaran makanan.
Katanya, langkah yang dipelopori oleh PBP diharap mampu menghijaukan kawasan belukar dan semak di kampungnya dengan tanaman yang memberikan pulangan ekonomi tambahan. – UTUSAN










