Kami tak perlu tunggu 'miss call' Nurul Ain lagi

Kami tak perlu tunggu ‘miss call’ Nurul Ain lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Kami seke­luarga sudah tak perlu bimbang jika Nurul Ain gagal dihubungi lagi”.

Itu kelegaan bapa kepada Nurul Ain Haron, 37, iaitu rak­yat Malaysia yang sebelum ini terkandas bersama suami­nya, Mohamed Adam Shaat, 33, di Semenanjung Gaza disebabkan peperangan antara Israel – Hamas sejak 7 Oktober lalu.

Bapanya, Haron Hamim, 65, berkata, mereka sekeluarga amat menantikan berita baik daripada semua pihak untuk membawa keluar Nurul Ain dan menantunya dengan selamat dari wilayah tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, mereka sekeluarga amat berterima kasih kepada seluruh jentera kerajaan Malaysia, Kementerian Luar Negeri (KLN) dan Kedutaan Malaysia di Mesir yang berhempas pulas berusaha membawa anaknya keluar dari Gaza.

Bagaimanapun, menurutnya, mereka sekeluarga masih tidak dapat bercakap dengan Nurul Ain sejak di­selamatkan malam kelmarin.

“Saya dimaklumakan oleh ahli keluarga yang berurusan dengan pihak Kedutaan Malaysia di Mesir bahawa Nurul Ain sudah selamat keluar. Anak angkat saya yang juga warga Palestin turut memberitahu perkara yang sama. Alhamdulillah.

“Tetapi setakat ini, Nurul Ain tak berjaya dihubungi lagi. Jadi kami tidak tahu apa perkembangan terkini dia dan suaminya, tetapi mengetahui bahawa kedua-dua mereka sudah selamat, ia satu berita baik buat kami,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut lelaki itu, sebaik sahaja berjaya keluar dari Semenanjung Gaza, Nurul Ain dibawa menuju ke Kaherah, Mesir oleh pihak kedutaan sebelum pulang ke Malaysia.

Haron berkata, mereka sekeluarga sebelum ini akan menghubungi Nurul Ain setiap hari untuk mengetahui perkembangan semasa kedua-dua pasangan tersebut namun kadang kala berdebar apabila tidak mendapat sebarang respon.

“Sebelum ini, sewaktu Nurul Ain berada di Gaza, kami kalau tak berjaya menghubungi Nurul Ain asalkan dia ‘miss call’ pun dah lega sebab kita tahu dia masih selamat. Jadi apabila dapat keluar memang sangat gembiralah.

“Lagi pun lebih baik dia dan suami bantu orang-orang di Gaza dari luar kerana bekalan makanan, minuman atau apa saja keperluan asas di dalam sudah sangat terhad. Jadi lebih baik keluar dan bantu dari luar,” katanya.

Nurul Ain Haron akhirnya telah selamat dibawa keluar dari Khan Younis, Gaza selepas 37 hari terkandas dalam konflik Palestin-Israel sejak 7 Oktober lalu melalui lintasan sempadan Rafah pada 2.23 pagi semalam waktu Malaysia.

Perkara itu disahkan oleh Kementerian Luar Negeri yang memaklumkan, Nurul Ain diselamatkan bersama suaminya, Mohamed Adan yang juga warganegara Palestin.

Nurul Ain yang berasal dari Keramat, Kuala Lumpur, berkahwin dengan rakyat Palestin iaitu Mohamed Adan, pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Gaza pada 1 Oktober lalu bersama suaminya yang sudah sembilan tahun tidak pulang bertemu keluarga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×