Cuti panjang, rakyat Malaysia serbu Thailand - Utusan Malaysia

Cuti panjang, rakyat Malaysia serbu Thailand

Kenderaan menunggu giliran di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga pintu sem­padan menuju ke Thailand mulai sesak sejak pagi semalam berikutan rakyat Ma­laysia mengambil kesempatan sempena cuti Deepa­vali dan hujung ming­gu me­lancong ke nega­ra gajah putih itu.

Tiga pintu sempadan ter­sebut ialah Kompleks Imigre­sen, Kastam, Kuarantin dan Ke­­selamatan (ICQS) Padang Be­sar di Perlis; ICQS Rantau Panjang di Kelantan dan ICQS Bukit Kayu Hitam di Kedah.

Tinjauan di ICQS Padang Besar atau pos sempadan imigresen Malaysia-Thailand mula sesak sejak pukul 6 pagi apabila kenderaan beratur sepanjang satu kilometer menungg giliran untuk proses dokumentasi.

Seorang ejen insuran kenderaan negeri ini memaklumkan, bermula semalam sehingga Selasa ini, ICQS Padang Besar dijangka menerima lebih 1,000 orang sehari untuk me­lancong ke negara jiran itu.

Katanya, ramai membeli insurans kereta apabila tiket Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) habis dijual sehingga Januari tahun depan.

Imigresen negeri pula menjangkakan 4,000 sehingga 5,000 orang sehari akan masuk Thailand mulai semalam hingga hujung minggu ini.

PERTAMBAHAN

Di ICQS Bukit Kayu Hitam turut mengalami pertambahan rakyat Malaysia dari beberapa negeri seperti Johor, Pahang dan Perak mahu bercuti di Thailand sempena Deepavali.

Pintu sempadan itu mulai ramai pelancong sejak pukul 9 pagi dan keadaan menjadi sesak dua jam kemudian.

Bagaimanapun, mengikut sumber imigresen negeri, orang ramai bertambah semalam ke­rana bilangan pengunjung mula bercuti semakin ramai.

Sumber itu berkata, ICQS Bukit Kayu Hitam menjadi pilihan kerana pihak berkuasa Thailand mengecualikan pengisian dokumen kad putih (T.M.6) bagi pengembara yang melalui pintu masuk itu bermula 1 November lalu.

Pengecualian itu dijangka menjimatkan masa pengembara untuk urusan dokumentasi Imigresen Thailand di Sadao.

Seorang pelancong dari Su­ngai Petani, Hasbullah Halim, 37, berkata, dia memilih untuk ke Hatyai semalam kerana sekolah di Kedah sudah mula bercuti.

“Saya rasa pelancong dari Lembah Klang akan mula bergerak malam ini (tadi) untuk ke pintu-pintu sempadan di sebelah utara, jadi sebab itu saya pilih masuk Thailand hari ini (semalam).

“Memang mudah ikut sini kerana tak perlu isi kad putih tetapi memandangkan saya memandu ke sana, masih perlu isi borang maklumat ken­deraan dan borang maklumat penum­pang seperti biasa,” katanya.

DEEPAVALI

Terdahulu, imigresen memaklumkan sempena Deepa­vali dianggarkan kira-kira 15,000 sehari pengembara termasuk pelancong dari negara ini akan menggunakan ICQS Bukit Kayu Hitam setiap hari untuk ke Thailand.

Selain itu, hampir 90 peratus tempahan hotel secara dalam talian yang diterima pengusaha di Hatyai dibuat oleh rakyat Malaysia bagi menghabiskan cuti mereka di negara itu.

Sementara itu, ICQS Rantau Panjang turut sesak ‘diserbu’ warga tempatan yang mula beratur seawal pukul 7 pagi untuk urusan mengecop pas sempadan atau pasport.

Tinjauan mendapati, orang ramai ketika ini memilih bercuti ke Thailand kerana mereka berpendapat makanan di negara itu lebih sedap dan banyak pilihan, selain harganya murah.

Seorang warga tempatan Nur Suhaili Abdul Rahman, 35, berkata, dia memanfaatkan cuti Deepavali tiga hari untuk ‘makan angin’ dan memilih Hatyai sebagai lokasi utama.

“Ramai kata makanan di­sana sedap dan banyak pilihan. Selain itu harganya yang murah membuatkan saya memilih untuk ke Hatyai,” katanya.

Bagi Haslinda Mohamad, 51, pula, dia memilih ke Thailand disebabkan harga yang murah selain mempunyai banyak tempat-tempat menarik.

Katanya, dengan serendah RM300 dia sudah mampu untuk melancong ke negara ber­kenaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×