Kepercayaan membina kejayaan; Deepavali Valthukal

Kepercayaan membina kejayaan; Deepavali Valthukal

KAKITANGAN dan Petugas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia ( MITRA) bergambar menjelang sambutan Deepavali di pejabat unit itu di Putrajaya semalam. Majlis tersebut diceriakan dengan kehadiran Pengerusi Pasukan Petugas Khas MITRA Datuk R. Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh. Suasana diserikan dengan nyalaan “ kuthu vilaku” dan ucapan Deepavali antara satu sama lain – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAMAT menyambut Hari Deepavali kepada semua pembaca Utusan Malaysia yang beragama Hindu serta seluruh rakyat Malaysia.

Saya mendoakan semoga perayaan tahun ini membawa sinar cahaya kegembiraan, kebahagiaan, kegemilangan dan kesejahteraan kepada semua penganut agama Hindu. Percayalah, setiap harapan nambikei sudah tentu akan membawa kejayaan vetri.

Harapan atau kepercayaan merupakan elemen yang cukup penting dalam kehidupan harian. Bak kata pepatah Tamil nambikeithan valkai (harapan adalah kehidupan).

Namun untuk mencapai kejayaan, kita memerlukan semangat perjuangan dan iltizam yang kuat. Kejayaan tidak akan muncul dalam sekelip mata. Tidak ada saluran percuma. Kita perlu bersedia berdepan dengan realiti dan segala kemungkinan untuk meraih kejayaan dalam kehidupan.

Sudah tentu sejarah negara boleh menceritakan segala-galanya apabila bercakap mengenai kejayaan, pengorbanan dan penglibatan masyarakat India dalam proses pembangunan negara.

Sebelum dan selepas negara mendapat kemerdekaan, peranan penglibatan dan pengorbanan besar masyarakat India dalam proses pembangunan negara memang tidak dinafikan.

Sebagai contoh, sekiranya pokok getah memiliki nyawa untuk bercakap, sudah pasti banyak nama dari komuniti India akan muncul . Begitulah hebatnya pengorbanan mereka dalam sektor perladangan. Malah ramai juga telah melakukan pengorbanan meninggalkan estet untuk memberi ruang kepada proses pembangunan.

Sekiranya kita kaji secara mendalam, pengaruh komuniti India cukup signifikan dalam bidang ekonomi, perladangan, perindustrian, barisan hadapan, tadbir urus, perkhidmatan awam, perniagaan, hiburan, pendidikan dan makanan.

Namun disebabkan faktor politik, nasib dan masa depan komuniti India sering menjadi persoalan dan atas alasan itu juga parti dan ahli-ahli politik ‘menguna pakai’ mereka untuk modal meraih punca kuasa. Sejarah politik negara boleh membuktikannya ketika era Barisan Nasional (BN) dan juga selepas kemunculan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) pada 2007.

Ketika kuasa berada ditangan, pemimpin politik yang kononnya berjuang membela nasib masyarakat India di negara ini masih gagal untuk melihat realiti sebenar. Mereka sering bercakap besar mengenai perubahan politik seiring situasi semasa tetapi sayang sekali sekumpulan ini masih tercari-cari apakah definisi sebenar untuk perubahan.

Cukuplah! Keluarlah dari sindrom penafian. Permainan politik ala kosmetik memang syok tapi itu sekadar syok sendiri.

Bacalah suara dan bisikan hati masyarakat India dengan ikhlas dan telus. Pemimpin datang dan pergi.

Parti-parti politik yang bertekad mahu memperjuangkan nasib kaum India ataupun pemimpin politik beragama Hindu perlu sedar bahawa fenomena politik negara ketika ini dan pada masa akan datang agak sukar untuk diramalkan.

Masa berubah dengan cukup pantas. Landskap politik negara juga tidak sama seperti dulu. Kita sudah masuk era perpaduan politik yang mana musuh ketat sudah jadi kawan karib atas nama kestabilan politik. Trend seperti ini memang luar biasa di Malaysia tetapi itulah hakikat yang perlu diterima.

Komuniti India merupakan kaum ketiga terbesar di negara ini namun kuasa mereka menjadi rebutan, sasaran setiap kali munculnya pilihan raya umum (PRU) ataupun pilihan raya kecil (PRK). Undi kaum India di klasifikasikan sebagai king makers ataupun kuasa penentu.

Negara sudah melalui pemerintahan sembilan Perdana Menteri dan ketika ini giliran Datuk Seri Anwar Ibrahim pula memimpin negara. Setiap bekas Perdana Menteri ada cara tersendiri untuk menangani kehendak, keperluan dan keinginan masyarakat India.

MINORITI
Bagi saya, tidak perlu lagi kaum India di istilahkan sebagai kaum minoriti. Setiap kaum di negara ini adalah bangsa Malaysia dan anak Malaysia. Apabila tiba musim perayaan, kita merayakannya tanpa mengira kaum dan agama dalam suasana yang cukup ceria dan harmoni. Inilah semangat Negaraku Malaysia sepertimana konsep 1Malaysia, Keluarga Malaysia dan Malaysia Madani.

Justeru, sudah tentu dalam isu-isu tertentu masyarakat India memerlukan perhatian yang lebih mendalam. Segala perancangan yang dijalankan sebelum ini perlu diteruskan ataupun ditambah nilai dan proses penambahbaikan perlu dilakukan secara tersusun serta terancang khususnya berkaitan pendidikan, ekonomi dan kebajikan.

Pemimpin politik mewakili masyarakat India perlu bekerjasama antara satu sama lain. Ini bukan soal kejar kuasa atau jawatan, tetapi demi menjamin harapan dan masa depan masyarakat India. Janganlah terlalu ego.

Saya juga yakin sebagai seorang pemimpin yang cukup berpengalaman di arena politik negara, Anwar ada jawapanya dan akan bertindak bila tiba masanya sepertimana tindakan tegasnya menubuhkan Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India ( MITRA) untuk membersihkan imejnya yang tercalar, terjejas dengan pelbagai dilema dan kontroversi berhubung penyalahgunaan dana dan dakwaan pengurusan sebelum ini.

Imej MITRA kini semakin segar, menyerlah melalui proses reformasi dan transformasi yang dikendalikan oleh pasukan petugas khas di bawah kepimpinan Datuk R. Ramanan sebagai Pengerusi.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh memikul tanggungjawab yang cukup mencabar umpama berjalan dalam api. Kepercayaan yang diletakkan oleh Perdana Menteri terhadap pemimpin muda itu sudah menampakkan hasilnya hari ini. MITRA semakin padu dan mantap. Teruskan perjuangan!

Diharapkan perayaan Deepavali tahun ini akan membawa kejayaan yang cukup bermakna untuk kita semua.

Deepavali Valthukal-UTUSAN

DATUK Anbumani Balan merupakan penganalisis politik

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×