PASCAPANDEMIK Covid-19, keributan ekonomi, politik dan sosial serta tuntutan kehidupan yang semakin mendesak telah menggugat tahap kesihatan mental pelbagai lapisan masyarakat pada hari ini. Kecaman hebat oleh warga maya bagi pengguna yang aktif di media sosial atas sebab tertentu juga menyumbang kepada suasana tidak selamat seterusnya mampu menjejaskan kesihatan mental.
Inilah realiti sebenar kehidupan tidak dapat disangkal, sekalipun pada asalnya media sosial menjadi periuk nasi segelintir individu tetapi menyumbang kepada masalah kesihatan mental yang akhirnya boleh menjejaskan kehidupan seharian.
Tekanan mental juga dihadapi oleh anak-anak terabai yang terpaksa ditinggalkan ibu bapa disebabkan seharian sibuk bekerja bagi memenuhi keperluan ekonomi. Golongan remaja yang menghadapi masalah hubungan dan konflik perubahan diri juga berisiko berhadapan masalah mental. Sedangkan negara harus membina generasi muda proaktif, berdaya maju dan dinamik yang menjadi tonggak pembentukan masa depan lebih gemilang.
Hakikatnya, seramai 424,000 kanak-kanak di negara ini mengalami isu kesihatan mental pada 2022 dengan trend peningkatan satu daripada lima remaja berbanding satu daripada empat remaja mengalami gejala kemurungan pada 2019.
Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 menunjukkan berlaku kemorosotan kesihatan mental dalam kalangan remaja terutama perempuan yang didapati lebih dua kali ganda murung berbanding lelaki.
Lebih membimbangkan, 13.1 peratus (NHMS 2022) remaja terfikir untuk membunuh diri berbanding 7.9 peratus (NHMS 2012) dan 9.5 peratus (NHMS 2022) terlibat dalam cubaan membunuh diri berbanding 6.8 peratus (NHMS 2012).
Peningkatan trend selama satu dekad ini melahirkan kebimbangan yang signifikan bukan sahaja dalam kalangan ibu bapa dan keluarga, malah sekolah, pihak berwajib dan masyarakat awam.
Belanjawan 2024 yang membabitkan penambahan peruntukan dalam sektor kesihatan sebanyak RM4.89 bilion (13.45%) berbanding RM36.33 bilion pada tahun sebelumnya, kapasiti dan fokus dalam segmen kesihatan mental harus diberikan keutamaan. Penyakit yang boleh menyebabkan ketidakmampuan (disabilities) seperti penyakit mental yang berterusan memberi beban kepada negara.
Kuasa politik dan faktor ekonomi tidak dapat dinafikan mempunyai saling perkaitan yang boleh menyebabkan kekangan dalam fraterniti kesihatan. Justeru, perkara ini harus diberikan perhatian khusus demi membangunkan generasi yang sihat dan bebas gangguan mental.
Stigma kesihatan mental harus dihentikan bagi mengelak diskriminasi berterusan dalam masyarakat dan kesukaran individu yang dikaitkan dengan masalah mental mendapatkan bantuan profesional.
Oleh itu, kempen kesedaran berkaitan isu ini harus dilaksanakan secara holistik agar tiada individu yang mempunyai ciri-ciri gangguan mental didiskriminasikan dan ketinggalan dalam mendapatkan rawatan sewajarnya.
Platform media konvensional mahupun media baharu harus bergembleng peranan dalam menyebarkan aktiviti advokasi dan maklumat berkaitan kesihatan mental. Penyampaian mengikut saluran yang betul dapat memastikan maklumat disampaikan secara tepat dan tuntas.
PSIKO PENDIDIKAN
Peranan pempengaruh sudah pasti akan memberikan kesan signifikan dalam meningkatkan literasi kesihatan mental setiap lapisan masyarakat.
Setiap ahli masyarakat berperanan mencari ilmu dan maklumat, seterusnya menyampaikan kembali kepada masyarakat serta mempraktikkannya dalam kehidupan. Usaha ini mampu mengubah stigma dan diskriminasi terhadap pesakit mental.
Kajian oleh Institut Kebangsaan Kesihatan Amerika Syarikat mendapati penggunaan bahasa yang sesuai untuk menggambarkan penyakit mental dan ketagihan mampu membantu meminimumkan stigma. Hal ini juga dapat memperbaiki kaedah rawatan kepada pesakit mental. Ini kerana stigma akan menyumbang impak ketara kepada kualiti kesihatan. Stigma boleh membawa kepada perasaan dan harga diri lebih rendah dan mewujudkan keterbatasan yang boleh memburukkan lagi gejala masalah mental seterusnya menjadi halangan kepada kejayaan rawatan bagi individu berkaitan.
Pendidikan kesihatan masyarakat merupakan aspek tidak harus dipandang mudah kerana dengan wujudnya kesedaran, maka akses untuk mendapatkan rawatan atau perkhidmatan kesihatan menjadi lebih mudah. Kerajaan menyediakan perkhidmatan kesihatan mental yang sewajarnya, namun penyampaiannya tidak mungkin menjadi efisien dan tepat sekiranya tiada ilmu dan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk mengaksesnya.
Dalam usaha meningkatkan literasi kesihatan mental masyarakat awam, aspek psiko pendidikan tidak harus diketepikan. Psiko pendidikan merupakan cara untuk mendidik masyarakat supaya berlaku perubahan tingkah laku. Oleh itu, pakar psikiatri dan psikologi perlu memahami situasi dan kehendak serta kecenderungan masyarakat dewasa ini supaya ilmu dan maklumat boleh disampaikan dengan tepat.
Bagi meningkatkan pengetahuan kesihatan mental dan cara menangani masalah serta kemurungan dalam kalangan remaja, dicadangkan program kesihatan mental diperkenalkan di masjid atau dewan komuniti dengan kehadiran golongan agama dan pakar kesihatan sama ada berbentuk promosi, kaunseling, ceramah, aktiviti dan sebagainya. Hal ini juga merupakan langkah mendekatkan diri remaja dan anak-anak kepada Islam sebagai penyelesaian kepada tekanan dihadapi.
Kembali kepada ajaran Islam selain didekati profesional kesihatan sewajarnya mampu mengelak golongan tersebut terfikir bahawa membunuh diri ialah pilihan untuk menamatkan permasalahan dihadapi dan tidak terlibat dengan cubaan bunuh diri.
Dalam Islam, kesihatan mental merupakan aspek penting untuk kesejahteraan hidup seseorang, sama seperti kesihatan fizikal. Memelihara status kesihatan mental penting untuk menjalani kehidupan sihat dan seimbang.
Maqasid syariah juga menekankan kepentingan pemeliharaan akal sebagai salah satu elemen utama perlu dilindungi. Akal yang sihat adalah penting untuk seseorang menjalani kewajipan dunia dan agama. Jika diabaikan dan tidak dijaga, seseorang akan mudah terjebak dalam kancah kemerosotan kualiti kehidupan.
Ahli falsafah dan pakar perubatan Islam lampau seperti Abu Bakr Muhammad Ibn Zakariya Al-Razi dan Abu Zayd Al-Balkhi mengakui realiti penyakit mental yang boleh menggugat kehidupan manusiawi. Mereka menganjurkan pendekatan seimbang untuk kesejahteraan hidup dengan mengintegrasikan kedua-dua aspek kesihatan psikologi dan fizikal. Justeru, bagi melahirkan generasi muda yang kalis cabaran semasa dan berdaya tahan, kesihatan serta kekuatan dalam aspek tersebut tidak boleh dipinggirkan. – UTUSAN
PENULIS ialah Felow Pusat Kajian Sains & Alam Sekitar (KIAS), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










