KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia menegaskan tidak mengiktiraf sekatan dibuat secara sepihak atau unilateral termasuk Amerika Syarikat (AS), yang meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun AS telah meluluskan undang-undang tersebut, ia tidak akan mempengaruhi dasar dan keputusan Malaysia yang sentiasa berdiri teguh di belakang pejuang Hamas dan rakyat Palestin.
Katanya, Malaysia hanya mengiktiraf sebarang keputusan jika ia dibuat secara multilateral oleh Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Semalam (kelmarin) saya menghubungi beberapa sahabat dan negara Islam yang memberikan pendirian sama, sebab itu hubungan dengan Hamas kita teruskan dulu dan sekarang serta tidak menghukum mereka sebagai badan pengganas.
“Walaupun kita tidak memperakui Status Rom, maknanya kita tidak boleh bawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
“Tetapi, arahan kita jelas akan memberi sokongan pada mana-mana negara termasuk Palestin dalam membawa kes Palestin dengan isu penjajahan dan kezaliman penindasan ke atas rakyat Palestin,” katanya pada waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) meminta Perdana Menteri menyatakan pendirian kerajaan berhubung tindakan terkini Dewan Perwakilan Amerika Syarikat yang meluluskan RUU Pencegahan Pembiayaan Anatarabangsa Hamas.
Pada 2 November lalu media antarabangsa melaporkan, Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) meluluskan RUU yang akan membenarkan sekatan asing dikenakan terhadap penyokong Hamas dan pertubuhan Jihad Islam.
Perundangan itu dilaporkan memerlukan Presiden menyerahkan kepada Kongres laporan tahunan untuk tiga tahun akan datang yang mengenal pasti individu, agensi atau peralatan negara asing yang secara sedar dan material membantu Hamas, Jihad Islam, atau ahli gabungan atau pengganti salah satu organisasi terbabit.
Selepas mengenal pasti organisasi, Presiden mesti mengenakan dua atau lebih sekatan, termasuk menafikan jaminan eksport-import; sokongan pertahanan di bawah Akta Kawalan Eksport Senjata; eksport amunisi (senjata) kepada mana-mana perjanjian yang mana seseorang yang dikenal pasti adalah sebahagiannya; eksport barangan atau teknologi dikawal atas sebab keselamatan negara; pinjaman lebih daripada AS$10 juta (RM47.53 juta) dan menyita harta yang dipegang di dalam AS.
RUU itu juga menghendaki Presiden melaporkan kepada Kongres mengenai setiap kerajaan yang memberi sokongan tindakan dan material kepada pejuang Hamas, Jihad Islam, atau mana-mana organisasi gabungan atau pengganti atau Presiden memutuskan untuk terbabit dalam transaksi penting secara sedar dan secara material memberi sokongan kepada Hamas, Jihad Islam atau mana-mana organisasi gabungan atau pengganti.
Sehari selepas itu Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, kerajaan sedang memantau rapat keputusan Dewan Perwakilan AS yang meluluskan RUU itu dan akan melihat secara terperinci kandungannya sebelum melaksanakan tindakan susulan. –UTUSAN










