PUTRAJAYA: Sebanyak 20 peruncit yang menjual benih padi sah (BPS) melebihi harga RM45 yang ditetapkan kerajaan ditarik lesen serta-merta dan tidak dibenarkan menjual BPS kepada pesawah.
Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood berkata, tindakan itu dilaksanakan bermula hari ini berikutan aduan daripada golongan pesawah yang sukar mendapatkan bekalan benih padi manakala harganya melambung tinggi.
Untuk itu, katanya, tindakan penguatkuasaan dilaksanakan bagi menyemak kesemua 439 peruncit benih padi di seluruh negara bagi memastikan tidak ada mana-mana pihak melanggar harga jualan yang ditetapkan.
LANGGAR
Tegas beliau, semua peruncit benih padi terutama di Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak yang didapati melanggar harga jualan itu, surat kebenaran jualan benih padi akan dibatalkan serta-merta.
“Saya sebagai Ketua Pengarah boleh membatalkan serta-merta surat jualan dan setakat ini terdapat 20 syarikat di Kedah sudah dibatalkan kerana menjual melebihi harga ditetapkan.
“Jika ada pesawah atau pihak berkenaan mempunyai bukti, tolong hantar laporan kepada kita melalui agensi Kawal Selia Padi dan Beras di empat negeri tersebut supaya kita boleh membatalkan serta-merta surat kebenaran jualan mereka,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, Azman berkata, kerajaan memberi jaminan stok bekalan BPS adalah mencukupi untuk kerja-kerja menanam musim kedua padi terutama di Perlis dan Kedah.
Beliau berkata, pengeluaran benih padi adalah dilaksanakan secara berperingkat bagi keperluan kawasan bertanam di utara yang memerlukan sekitar 900,000 kampit benih untuk tanaman musim kedua ini.
Menurut beliau, setakat ini, sebanyak 420,065 kampit benih sudah diluluskan bagi kegunaan di Kedah dan Perlis dengan rekod pengeluaran 89,723 kampit benih pada 18 Oktober lalu, 151,200 kampit benih pada 26 Oktober dan 179,142 kampit benih pada 3 November 2023.
MAKMAL
Pada masa sama, kata beliau, terdapat sekitar 914,225 kampit benih masih dalam proses kelulusan makmal oleh Jabatan Pertanian yang akan diluluskan pengeluaran secara berperingkat setiap minggu.
“Pengeluaran benih padi secara mingguan kerana ia mempunyai tempoh jangka hayat iaitu tidak boleh digunakan melebihi tiga atau empat bulan sahaja.
“Stok benih padi adalah mencukupi dan fasa kedua menabur benih padi masih belum berakhir dan masih berada dalam tempoh yang akan berakhir pada 21 November ini. Sekarang masih dalam tempoh fasa satu menabur yang hanya berakhir pada 11 November ini.
“Maknanya semua kena bersabar. Sekarang ini di Kedah musim hujan, kalau tabur benih sekarang air bertakung menyebabkan benih tidak boleh tumbuh dan perlu menabur sekali lagi menyebabkan berlaku pembaziran, jadi kena selari dengan cuaca sekarang,” katanya di sini semalam.
Azman berkata, kerajaan memberikan subsidi benih padi sebanyak RM1.03 per kilogram (kg) dan pesawah memerlukan sekitar tujuh hingga 10 beg (1 beg bersamaan 20 kg) untuk keluasan satu hektar sawah yang memerlukan 140 kg hingga 200 kg.
Mengulas lanjut, Azman berkata, berdasarkan semakan setakat ini, tidak ada unsur-unsur menyorok benih kerana setiap pengeluar dilantik oleh kerajaan.
Cuma, katanya, mereka tidak boleh lagi menjual pada masa ini kerana masih tidak ada kelulusan di pihak makmal yang dipantau setiap minggu.
“Pengeluaran adalah secara berperingkat, kita tidak boleh mengeluarkan secara besar-besaran kerana dikhuatiri akan ada manipulasi atau penipuan dengan menukar kepada benih padi tidak sah,” katanya.
Beliau turut memberitahu, benih padi tidak boleh diimport kerana 12 pengeluar berlesen itu menggunakan varieti padi yang disahkan, diproses secara kawalan di makmal bagi mengelak jangkitan penyakit dan melalui penilaian biosekuriti negara. – UTUSAN










