PETALING JAYA: Tarikan gaji dalam dolar Amerika Syarikat (AS$) dan ditawar ‘bekerja’ di luar negara termasuk di Emiriah Arab Bersatu (UAE) antara modus operandi menipu rakyat Malaysia sehingga menjadi mangsa pemerdagangan manusia.
Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), seramai 424 rakyat negara ini iaitu 351 lelaki dan 73 wanita dipercayai terpedaya dengan sindiket penipuan kerja sejak September 2021 hingga 31 Oktober lalu.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin berkata, sindiket-sindiket menawarkan kerja melalui media sosial dan laman web pencarian pekerjaan.
Menurut beliau, terdapat mangsa yang terdesak untuk mencari pekerjaan dengan pendapatan lumayan selain ingin mengambil peluang bekerja di luar negara terpengaruh menerima tawaran sindiket.
Bagaimanapun, kata beliau, mangsa yang menerima tawaran tersebut dipaksa menjadi scammer untuk Love Scam, sindiket perjudian dalam talian dan pelaburan palsu selain dihantar ke beberapa destinasi.
“Siasatan mendapati mereka dihantar ke Kemboja, Myanmar, Laos, Filipina dan negara UAE antaranya Dubai. Mangsa juga didakwa ditipu gaji, diugut, dikurung dan dicederakan sindiket.
“Sejak September hingga Oktober lalu, kita menerima 321 laporan polis membabitkan seramai 424 mangsa iaitu 147 mangsa di Kemboja; Myanmar (170 orang), Laos (54 orang) dan 53 mangsa di lain-lain negara.
DISELAMATKAN
“Daripada jumlah itu, 266 mangsa telah diselamatkan manakala 158 lagi masih terkandas di Myanmar, Laos, Kemboja dan beberapa negara lain,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau mengulas laporan media yang melaporkan kira-kira 2,000 rakyat Malaysia yang dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia, masih terperangkap dan tidak mampu menyelamatkan diri di beberapa negara jiran, sejak setahun lalu.
Dalam pada itu, menurut Razarudin, bagi negara Myanmar, pihaknya menerima sebanyak 119 laporan polis melibatkan seramai 170 orang mangsa.
Jelas beliau, daripada jumlah tersebut, seramai 75 mangsa telah berjaya diselamatkan dan telah pulang ke negara manakala 95 mangsa masih terkandas di negara tersebut.
“PDRM memandang serius perkara ini malah menumpaskan empat sindiket di Lembah Klang melalui tangkapan 24 individu menerusi operasi bersepadu bertujuan membanteras dan mencegah sindiket penipuan kerja sejak Ogos 2022 hingga Julai lalu.
“Kita mendapati kebanyakan mangsa tertarik dengan gaji lumayan selain kemudahan dan penginapan disediakan. Malah sindiket atau majikan turut menanggung segala perbelanjaan dan persediaan pasport dan kos penerbangan atau pengangkutan ke luar negara,” ujarnya.
Tegas Razarudin, PDRM berusaha gigih bekerjasama dengan pihak Polis Antarabangsa (Interpol) dan Polis ASEAN (Aseanapol) dan pihak berkuasa negara yang terlibat bagi membantu mengesan mangsa-mangsa terkandas.
“Kita juga bekerjasama dengan pihak Kementerian Luar bagi mempercepatkan proses menyelamat mangsa-mangsa untuk dibawa pulang,” kata beliau. – UTUSAN











