PERGELUTAN antara Palestin dan Israel bukanlah satu perkara yang patut dipandang remeh oleh masyarakat dunia termasuk di Malaysia sendiri. Ia adalah salah satu konflik terlama dan paling rumit dalam sejarah kontemporari menyebabkan isu ini patut ditangani atas dasar kemanusiaan dan bukan hanya konflik keagamaan atau sempadan antara dua negara.
Peranan besar Malaysia dalam konflik Palestin-Israel ini tercatat sejak sekian lama. Malaysia mengecam dengan tegas tindakan Israel yang dianggap melanggar hak asasi manusia dan kedaulatan Palestin. Salah satu contoh paling ketara adalah pengiktirafan Malaysia terhadap negara Palestin pada 1988. Langkah ini merupakan usaha untuk memberikan pengiktirafan antarabangsa kepada hak kemerdekaan Palestin.
Sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri berucap lantang bagi membela nasib rakyat Palestin dalam Sesi Debat Umum pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) pada 22 September lalu.
Dengan gelombang serangan rejim Zionis selepas serangan mengejut pejuang Hamas pada 7 Oktober, Anwar menegaskan di Parlimen pada 16 Oktober bahawa sudah tiba masanya untuk Malaysia melakukan apa sahaja yang perlu untuk menyelesaikan isu ini. Turut dijanjikan oleh Anwar ialah penyaluran bantuan kemanusiaan berjumlah RM10 juta dengan tambahan RM100 juta lagi untuk tabung kemanusiaan dan perubatan rakyat Palestin.
Anwar juga bersuara lantang dalam Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di Riyadh pada 20 Oktober dengan menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan untuk menangani punca konflik Palestin-Israel. Anwar juga membincangkan konflik Palestin-Israel secara peribadi dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman; Raja Bahrain, Hamad bin Isa; Presiden Emiriah Arab Bersatu, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan; Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan serta Presiden Mesir, Abdel Fatah El-Sisi.
Anwar juga menghadiri Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Stadium Axiata Bukit Jalil pada 24 Oktober dalam mana beliau menyelar kegilaan Israel mengebom kawasan orang awam, hospital dan kediaman yang menyebabkan ramai penduduk Gaza mati syahid tanpa memberikan siren amaran mahupun peluang penghuni mengosongkan bangunan.
Selain kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga memainkan peranan penting dalam menyokong rakyat Palestin. Pelbagai NGO di negara ini aktif dalam mengumpulkan dana, menghantar misi kemanusiaan dan menyediakan bantuan untuk rakyat Palestin yang terjejas oleh konflik.
SOKONGAN MORAL
Rakyat Malaysia juga aktif dalam menyuarakan sokongan moral kepada rakyat Palestin termasuk mengadakan demonstrasi, memberi sumbangan dan membuat kempen kesedaran sosial termasuk memboikot produk syarikat yang menyalurkan dana ke Israel. Walaupun rakyat tiada kuasa autonomi untuk membantu secara terus, namun tindakan utilisasi media sosial dan memanfaatkan kuasa pengguna adalah cukup besar.
Semua ini selari dengan titah raja-raja Melayu pada 24 Oktober lalu yang menggesa kerajaan supaya terus mengambil inisiatif dan langkah proaktif di pentas antarabangsa bagi mencari jalan penyelesaian kepada konflik Palestin-Israel serta menyeru rakyat terus bersolidariti dan menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin.
Ketegasan kerajaan menyokong Palestin dan tidak ikut mengutuk Hamas sebagai pengganas sehingga membawa kepada penerimaan tiga demarche (tatatindak) oleh Kementerian Luar daripada kerajaan Amerika Syarikat bertarikh 13, 18 dan 30 Oktober sewajarnya disokong secara bulat dan padu oleh semua golongan rakyat.
Dalam soal begini, tiada masa untuk mana-mana pihak berpolitik. Rakyat seharusnya bersatu dalam satu suara bagi menyokong kerajaan dalam isu Palestin. Apa sahaja tindakan solidariti yang dianjurkan seperti perancangan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam menganjurkan Minggu Solidariti Palestin di sekolah wajib disokong sepenuhnya dengan mengetepikan apa-apa isu remeh yang berbangkit daripadanya.
Sebagai sebuah negara berdaulat, kita tidak perlu takut dengan respons negatif Barat terhadap kelantangan Malaysia dalam isu ini. Malaysia perlu terus memainkan peranan aktif dalam diplomasi antarabangsa untuk mencari penyelesaian adil dan berkekalan kepada konflik Palestin-Israel, terus mendedahkan hipokrasi negara-negara Barat, terus memberi sokongan moral dan bantuan kemanusiaan kepada Palestin serta terus meningkatkan kesedaran rakyat dan masyarakat dunia tentangnya.
Solidariti untuk Palestin wajib diusahakan dengan melibatkan semua golongan. Isu ini tidak perlu dipolitikkan bagi mendapat keuntungan sementara untuk mana-mana pihak. Semua aktiviti solidariti perlu diselaraskan di bawah satu bumbung bagi menguatkan lagi suara rakyat Malaysia. Kita mempunyai media sosial yang boleh dijadikan senjata untuk menyebarkan kekejaman Israel. Saban hari kita perlu berkongsi video dan gambar kejadian sebenar berlaku di Palestin bagi memaksa mereka yang berpihak kepada Israel berubah pendirian.
Kerajaan perlu terus-menerus menyalurkan suara kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk diberikan mandat dalam menyalurkan bantuan ketenteraan atau mana-mana bentuk bantuan kepada Palestin dalam konflik Palestin-Israel. Masyarakat antarabangsa perlu terus ditekan untuk menilai kembali tindakan Israel menyerang orang awam mengikut resolusi berdasarkan undang-undang antarabangsa.
Justeru, kita yang berada di negara aman tanpa pergolakan perang perlu menggunakan sepenuhnya suara rakyat tanpa melibatkan ideologi politik dan terus bersatu hati sehingga titik perjuangan terakhir. Marilah kita bersama-sama menghentikan hipokrasi politik antarabangsa demi perjuangan hak kedaulatan rakyat Palestin ke atas tanah mereka sendiri. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar tahun akhir Ijazah Falsafah, Undang-Undang & Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM).










