KUANTAN: Prosedur operasi standard (SOP) yang lestari berhubung aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di negeri ini sudah disediakan sejak 2019.
SOP tersebut dirangka Jawatankuasa Eksekutif Penilaian SOP yang ditubuhkan kerajaan Pusat bagi membolehkan aktiviti perlombongan dan pengeksportan bahan mineral itu dilaksanakan dengan baik tanpa mengulangi masalah terdahulu.
Jawatankuasa eksekutif penilaian itu dianggotai Prof. Datuk Azizan Abu Samah daripada Akademi Sains Malaysia, Pengarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Dr. Mazlin Mokhtar; Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) negeri, Noor Jehan Abu Bakar dan Pengarah Eksekutif Malaysian Chamber Of Mines, Muhamad Nor Muhamad.
SOP setebal 193 muka surat itu menjelaskan, keseluruhan rantaian aktiviti perlombongan bermula peringkat praperlombongan, semasa perlombongan dan pasca perlombongan termasuk pengendalian logistik dan penyimpanan stok di pelabuhan.
SOP itu dibuat kerana tidak mahu negeri ini kembali kepada keadaan dahulu yang membawa pelbagai masalah seperti debu merah dan pencemaran.
Mengulas SOP itu, Noor Jehan berkata, SOP tersebut mengambil maklum semua pandangan dikemukakan pelbagai pihak dalam sesi pendengaran awam yang diadakan sebelum dimuktamadkan.
“SOP berkenaan lengkap dan meletakkan asas supaya kegiatan perlombongan dan pengeksportan bauksit dilakukan secara lestari diikuti dengan peningkatan penguatkuasaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Akhbar ini kelmarin melaporkan harapan pelbagai pihak supaya kegiatan perlombongan bauksit yang dijangka dimulakan semula tidak mengulangi `episod duka’ sebelum ini.
Noor Jehan berkata, MNS Pahang berharap pematuhan SOP dikuatkuasakan oleh pihak-pihak bertanggungjawab sekiranya perlombongan bauksit dimulakan.
Katanya, seiring dengan status bandaraya Kuantan sekarang, sebarang ketidakpatuhan akan mencemarkan imej Kuantan sebagai bandaraya lestari dan akan dilihat sebagai tidak memenuhi indikator Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) United Nations.
“Kita perlu belajar daripada apa yang telah berlaku, kesannya masih ada hingga kini. Pelan mitigasi dan pemulihan mesti sudah ada sebelum perlombongan dimulakan. Bukan tunggu lepas habis baharu hendak buat pemuliharaan,” katanya.
Dalam pada itu, semua aktiviti pengeluaran bauksit boleh dijalankan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan arahan kerajaan negeri setelah moratorium berakhir pada 31 Mac 2019 seperti diumumkan Menteri Alam Sekitar dan Tenaga ketika itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penambahbaikan berkaitan aktiviti tersebut adalah secara menyeluruh meliputi aktiviti praperlombongan iaitu perancangan dan permohonan melombong, aktiviti pengorekan dan pengangkutan serta prosedur eksport yang diperketatkan.
“Persediaan negeri untuk aktiviti perlombongan bauksit termasuk pelaksanaan SOP secara berperingkat bermula aktiviti pengosongan stockpile di pelabuhan.
“Peringkat seterusnya adalah aktiviti perlombongan dalam lingkungan 10 kilometer dari pelabuhan sebelum diperluas ke seluruh kawasan lain yang berpotensi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Wan Rosdy berkata, sepanjang SOP diperkenalkan tiada isu besar berbangkit dan dilihat sesuai dilaksanakan.
Namun demikian beliau berkata, penilaian akan terus dibuat oleh jabatan-jabatan berkenaan seperti Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang. – UTUSAN











