SABAN tahun, masyarakat global menyambut Hari Falsafah Sedunia pada November. Sambutannya bermula sejak 2002 dianjurkan oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi meraikan sumbangan malar segar falsafah kepada kemajuan pemikiran, kebudayaan dan peradaban manusia hingga kini.
Meskipun begitu, sebahagian besar rakyat Malaysia belum mengenali hakikat dan kepentingan falsafah. Terdapat pihak berstigma negatif sehingga mengharamkan pembelajarannya dek bertaklid buta kepada fatwa ulama silam tanpa memahami konteks sebenar di sebalik fatwa tersebut.
Silibus kursus Falsafah dan Isu Semasa yang diwajibkan kepada semua mahasiswa pula sangat umum dan dipandang enteng kepentingannya. Keadaan-keadaan ini tentulah melebarkan kecelaruan mengenai hakikat dan kepentingan falsafah.
Walhal, sejarah membuktikan masyarakat yang menghidupkan dan membumikan falsafah menjadi tamadun yang luhur dan gemilang. Peradaban Islam memanfaatkan karya-karya falsafah Yunani, Parsi dan India Purba sehingga berjaya melahirkan Zaman Keemasan Islam dengan mewujudkan inovasi-inovasi baharu, mengembangkan pelbagai disiplin ilmu serta melahirkan ilmuan agung seperti al-Farabi, Ibn Sina dan al-Khawarizmi. Peradaban Barat masa kini juga terhasil kerana pengkajian terhadap karya-karya falsafah Ibn Sina, Ibn Rushd, Hume, Kant, Wittgenstein dan lain-lain dilakukan secara serius.
Persoalannya, apakah itu falsafah? Ada tiga perspektif untuk mengenali falsafah, yakni perspektif orang kebanyakan, ahli akademik, dan filsuf. Pertama, orang kebanyakan memahami falsafah sebagai pegangan dan kepercayaan peribadi. Hal ini dapat dilihat secara jelas dalam ungkapan seperti “Falsafah saya dalam isu ini ialah…” atau “Falsafah hidup saya ialah…” dan semisalnya.
Bagi ahli akademik, falsafah ialah disiplin ilmu yang membicarakan hakikat kewujudan ilmu dan nilai yang terbahagi kepada lima cabang iaitu metafizik, epistemologi, logik, etika dan estetika.
Para filsuf pula berpendapat, falsafah tidak boleh disempitkan sekadar satu subjek, misalnya kursus Falsafah dan Isu Semasa dek tabii falsafah yang luas dan luwes. Menurut mereka, falsafah itu sebuah proses panjang untuk menggapai kebijaksanaan menerusi penaakulan akal. Hal ini sejajar dengan takrifan asal falsafah yang menggabungkan dua istilah Yunani, iaitu philo sophia yang bererti mencintai kebijaksanaan.
Intisari falsafah ialah kaedah dan proses berfikir rasional, logik dan kritis untuk mengenali perbezaan antara salah dengan benar, jahat dengan baik, dan buruk dengan indah. Falsafah memupuk kesedaran bahawa manusia bertanggungjawab melaksanakan pertimbangan secara waras sebelum bertindak agar sejajar piawaian akhlak mulia.
RASIONAL, LOGIK, KRITIS
Akhlak dan piawaiannya memang dititikberatkan dalam perbahasan falsafah kerana tujuan akhir berfalsafah adalah menggapai kebenaran dan berlaku adil. Sehubungan itu, tidak dapat disangkal mustahaknya falsafah dalam menggerakkan perubahan pemikiran dan tindakan rakyat.
Tanpa falsafah, kedunguan akan membarah dek ketiadaan daya berfikir mengakibatkan masyarakat menerima apa-apa sahaja dakwaan, kandungan atau berita tanpa usul periksa. Kedunguan tersebut melahirkan tindakan-tindakan tidak bermoral sehingga diiktiraf menjadi kelaziman masyarakat. Jika tindakan tidak bermoral mendarah daging, maka kelak muncul pemimpin-pemimpin yang tidak memiliki keupayaan akliah, rohaniah dan ilmiah bagi mengemudi masyarakatnya.
Masyarakat yang dungu ini tentu tidak mengenali pemimpin-pemimpin palsu tersebut. Keadaan ini menjadi kitaran berterusan berdaya meruntuhkan peradaban dalam jangka panjang. Kedunguan melahirkan tindakan tidak bermoral. Tindakan tidak bermoral mendasari ketokohan pemimpin palsu yang kembali memburukkan dan meluaskan kedunguan.
Sebagai negara bercita-cita membina peradaban luhur seperti termaktub dalam slogan kerajaan masa kini, iaitu Malaysia Madani, pendekatan terbaik adalah dengan membumikan falsafah dalam kefahaman dan kehidupan masyarakat. Datuk Seri Anwar Ibrahim kerap menekankan pentingnya kemajuan fikrah atau pemikiran berfalsafah dalam diri individu sebagai teras menentukan kejayaan Malaysia Madani.
Nama-nama ahli falsafah sering meniti tutur bicara Anwar dan idea-idea mereka menjadi hujah setiap ucapan disampaikan atau tulisan dinukilkan olehnya. Beliau acap kali berpesan agar rakyat menelaah karya-karya falsafah merentas tradisi misalnya Islam, Daoisme, Konfusianisme dan lain-lain. Beliau turut menzahirkan keperluan untuk mengenalkan idea-idea falsafah dalam sistem pendidikan bagi menajamkan akal dan memperkaya perspektif rakyat dalam memahami hakikat sesuatu secara rasional, logik dan kritis.
Kita beruntung kerana masih wujud institusi dan organisasi yang berusaha memperjuang kemandirian falsafah di Malaysia. Misalnya, Universiti Utara Malaysia (UUM) menawarkan Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan dengan Kepujian (BPLB) di bawah kelolaan Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL), iaitu sebuah program rentas disiplin yang mendidik mahasiswa agar berpengetahuan luas, berfikiran matang dan kalis masa hadapan dengan menggabungkan tiga cabang ilmu iaitu falsafah, undang-undang dan perniagaan. Persatuan Pendidikan Falsafah dan Pemikiran Malaysia (PPFPM) pula menyediakan ruang dan pelbagai acara bagi mengenalkan falsafah kepada masyarakat umum di samping menguruskan pelajar-pelajar yang mewakili negara ke International Philosophy Olympiad.
Persatuan Falsafah Malaysia (MyPhilSoc) turut berusaha mengenalkan falsafah terapan bagi membuktikan falsafah bukanlah bersifat teori sahaja malahan memiliki nilai praktikal. Pusat Kajian Irfan (TRADISI) juga menghidupkan perbahasan falsafah Islam dengan menganjurkan pelbagai acara intelektual untuk penyertaan masyarakat umum di negara ini.
Justeru, kita tidak boleh menafikan potensi dan kapasiti falsafah untuk membawa kemajuan positif kepada masyarakat dengan membentuk pemikiran kritis dan tindakan bermoral. Usaha institusi dan organisasi yang menggiatkan aktiviti berfalsafah mestilah diberi sokongan jitu oleh semua pihak agar falsafah dapat dibumikan dalam pemikiran dan budaya masyarakat sebagai nadi keintelektualannya. Jika falsafah berjaya meresap ke dalam pemikiran dan budaya masyarakat, sudah tentu menjadi pemangkin kepada tercapainya Malaysia Madani yang beraspirasi membina peradaban luhur di negara ini. – UTUSAN
PENULIS ialah mahasiswa tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang & Perniagaan (BPLB), Universiti Utara Malaysia (UUM).











