Pengganti Salahuddin ditentukan pada pemilihan parti Disember ini -Mahfuz

Pengganti Salahuddin ditentukan pada pemilihan parti Disember ini -Mahfuz

MAHFUZ Omar ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Tahunan Amanah Kawasan Pasir Mas 2023 di Dewan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Tendong, Pasir Mas, Kelantan. UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Parti Amanah Negara (Amanah) mengesahkan pengganti jawatan Timbalan Presiden yang sebelum ini disandang oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub akan ditentukan pada pemilihan parti itu Disember ini.

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang pencalonan termasuk individu yang menawarkan diri untuk jawatan berkenaan.

“Lagipun Mesyuarat Agung parti baru sahaja bermula. Sistem pemilihan Amanah agak berlainan kerana tidak bertanding untuk satu-satu jawatan tetapi kita bertanding untuk pemilihan  27 orang calon di peringkat nasional.

“Kesemua 27 calon yang dipilih ini akan bermesyuarat bagi menentukan siapa yang layak untuk memegang jawatan Presiden dan jawatan-jawatan lain,”katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Tahunan Amanah Kawasan Pasir Mas 2023 di Dewan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Tendong di sini hari ini.

Mahfuz memberitahu, pihaknya berharap pemilihan parti kali ini akan berlangsung dalam suasana penuh kekeluargaan.

Media sebelum ini melaporkan, Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah, pada 23 Julai lalu.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram disahkan mengalami pendarahan otak sebelum menjalani rawatan di hospital berkenaan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×