PETALING JAYA: Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS pada hari dagangan terakhir minggu ini, apabila beberapa bank pusat utama `berehat’ daripada menaikkan kadar faedah.
Di pasaran tempatan, Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) 3.0 peratus pada mesyuarat terakhirnya tahun ini.
Memetik laporan Bernama, pada pukul 9.05 pagi, ringgit menambah nilai sedikit kepada 4.7470/7525 berbanding dolar AS daripada 4.7485/7525 pada penutup semalam.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, Rizab Persekutuan AS (Fed) dan Bank of England adalah antara bank pusat utama yang memutuskan untuk mengekalkan kadar dasar mereka.
Malah, kata beliau, beberapa negara sudah mula menurunkan kadar faedah mereka. Sebagai contoh, China telah menurunkan kadar Kemudahan Pinjaman Jangka Sederhana satu tahun sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.50 peratus.
Begitu juga, Brazil dan Chile telah mengurangkan kadar faedah penanda aras mereka sebanyak 150 mata asas dan 225 mata asas, masing-masing kepada 12.25 peratus dan 9.00 peratus.
“Jika trend ini berterusan, kami percaya ringgit bersedia untuk pulih. Bagaimanapun, ia mungkin bukan perjalanan yang lancar kerana risiko geopolitik boleh membawa kepada mod penghindaran risiko, meningkatkan permintaan untuk mata wang selamat seperti dolar AS,” katanya.
Mohd. Afzanizam menjangkakan ringgit akan mencatatkan prestasi yang lebih baik hari ini berikutan kemungkinan kadar faedah penanda aras global telah mencapai kemuncaknya.
Sementara itu, mata wang tempatan didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1552/1591 daripada 3.1593/1622 semalam. Ia lebih tinggi berbanding euro pada 5.0399/0457 daripada 5.0448/0491 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7847/7914 daripada 5.7860/7909.
Dalam pada itu, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding kebanyakan mata wang ASEAN lain.
Ia menambah nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.4784/4827 daripada 3.4798/4830, meningkat berbanding rupiah Indonesia pada 299.3/299.8 daripada 299.4/299.8 dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.1824/2036 daripada 13.2156/2376 sebelumnya. Ringgit tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.38/8.40 pada penutup semalam. – UTUSAN










